(foto: Lee Jin-man / AP Photo)

Selepas 10 hari kuasa rakyat Korea Selatan menggagalkan cubaan rampasan kuasa melalui undang-undang tentera yang diisytihar oleh Yoon Suk-yeol, Presiden Korea Selatan yang berhaluan kanan, Perhimpunan Kebangsaan Republik Korea (iaitu Parlimen di Korea Selatan) mengundi untuk memecat Yoon Suk-yeol daripada jawatan Presiden!

Pada 14 Disember 2024, dengan kira-kira 200,000 orang demonstran berhimpun di luar bangunan Perhimpunan Kebangsaan, 204 daripada 300 orang ahli parlimen mengundi untuk menyokong usul daripada parti pembangkang supaya memecat Presiden Yoon Suk-yeol. Ini merupakan satu lagi kemenangan penting bagi rakyat Korea Selatan dalam usaha mempertahankan demokrasi di negara itu daripada ancaman pemerintahan berhaluan kanan yang semakin autoritarian, anti-demokratik dan cuba mengundang peperangan dengan Korea Utara.

Sejak cubaan rampasan kuasa oleh Yoon Suk-yeol melalui undang-undang tentera yang hanya berkuat kuasa 6 jam digagalkan pada 4 Disember 2024, rakyat Korea Selatan telah bermobilisasi dalam jumlah yang besar untuk turun berprotes di jalanan Seoul setiap hari dengan tuntutan memecat Presiden Yoon Suk-yeol.

Seminggu sebelum itu, gabungan parti-parti pembangkang cuba membawa usul pemecatan Presiden Yoon Suk-yeol tetapi tidak dapat lulus kerana sokongan undi yang tidak mencukupi dalam parlimen. Pada 4 Disember 2024, kesemua 6 buah parti pembangkang dalam Perhimpunan Kebangsaan, iaitu Parti Demokratik, Parti Pembaharuan Korea, Parti Reformasi Baharu, Parti Progresif, Parti Pendapatan Asas dan Parti Demokratik Sosial, mengemukakan usul untuk memecat Yoon Suk-yeol dalam sesi pleno Perhimpunan Kebangsaan. Namun, parti pemerintah yang berhaluan kanan, Parti Kuasa Rakyat yang menguasai 108 daripada 300 kerusi parlimen, pada awalnya menyatakan bahawa ahli-ahli parlimennya akan menolak usaha pemecatan Yoon Suk-yeol secara sebulat suara. Undian pemecatan Presiden hanya dapat diluluskan dengan undian sokong melebihi dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Kebangsaan.

Pada 7 Disember 2024, hampir semua ahli parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat meninggalkan dewan persidangan Perhimpunan Kebangsaan sebelum pengundian pemecatan Presiden itu diadakan, maka pengundian tidak dapat dijalankan.

Pada 12 Disember 2024, Yoon Suk-yeol mengeluarkan satu kenyataan yang berikrar untuk “berjuang habis-habisan” dan menolak desakan untuk perletakan jawatannya. Pada hari yang sama, Parti Demokratik memfailkan satu lagi usul untuk memecat Yoon Suk-yeol, dengan pengundian dijadualkan pada 14 Disember 2024.

(foto: KCTU)

Rakyat Korea Selatan yang marah dengan tindakan Yoon Suk-yeol mengisytihar undang-undang tentera pada 3-4 Disember 2024 terus bermobilisasi untuk mendesak pemecatannya. Pada 5 Disember 2024, iaitu sehari selepas cubaan rampasan kuasa oleh Yoon Suk-yeol itu digagalkan, nombor telefon ahli-ahli parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat telah didedahkan dalam talian, sehingga mencetuskan gelombang mesej teks daripada orang awam kepada mereka untuk mendesak pemecatan Yoon Suk-yeol. Dengan pengundian untuk usul pemecatan Presiden digagalkan kerana boikot ahli-ahli parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat, kempen menghantar mesej teks kepada nombor telefon ahli-ahli parlimen Parti Kuasa Rakyat diteruskan dengan lebih hebat lagi. Salah seorang ahli parlimen daripada Parti Kuasa Rakyat, Shin Sung-bum, mendakwa bahawa dia telah menerima 10,501 mesej di telefonnya setakat 9 Disember 2024.

Hasil daripada kempen desakan rakyat yang hebat, sebelum pengundian usul kedua untuk memecat Presiden, beberapa orang ahli parlimen Parti Kuasa Rakyat menyatakan secara terbuka bahawa mereka akan mengundi untuk menyokong pemecatan Yoon Suk-yeol. Dalam pengundian yang diadakan di Perhimpunan Kebangsaan pada 14 Disember 2024, 204 orang ahli parlimen mengundi untuk memecat Yoon Suk-yeol daripada jawatan Presiden, sementara 85 orang mengundi untuk menolak usul itu, 3 orang berkecuali dan terdapat 8 undi tidak sah. Dengan undian pemecatan Presiden diluluskan dalam Perhimpunan Kebangsaan, Yoon Suk-yeol telah digantung jawatannya sebagai Presiden Korea Selatan serta-merta.

Proses pemecatan Presiden Korea Selatan hanya dapat dilengkapkan dengan Mahkamah Perlembagaan Korea memutuskan sama ada terus memecatnya atau tidak. Han Duck-soo, Perdana Menteri Korea Selatan, mengambil alih jawatan sebagai Pemangku Presiden sementara menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan Korea. Sebelum ini, terdapat 2 orang Presiden Korea Selatan pernah dipecat oleh Perhimpunan Kebangsaan, dengan Roh Moo-hyun yang dipecat oleh parlimen pada tahun 2004 masih dapat mengekalkan jawatannya kerana Mahkamah Perlembagaan menolak keputusan parlimen, dan Park Geun-hye yang dipecat oleh undian parlimen pada tahun 2016 kemudiannya disingkir daripada jawatan Presiden oleh Mahkamah Perlembagaan pada tahun 2017.

(foto: KCTU)

“Pencapaian ini dijayakan oleh puluhan ribu dan ratusan ribu orang rakyat yang berhimpun setiap hari di hadapan Perhimpunan Kebangsaan, untuk menuntut pemecatan Yoon Suk-yeol dan pembubaran Parti Kuasa Rakyat. Yang patut diberi perhatian ialah demonstrasi pada hujung minggu ini dan hari ini, yang menarik lebih sejuta orang peserta,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU) pada 14 Disember 2024. “Ketua kumpulan yang cuba memberontak telah berselindung di dalam pejabat Presiden. Apabila polis, sebuah institusi negara, tiba dengan waran penggeledahan, mereka dihalang oleh Perkhidmatan Keselamatan Presiden, sebuah lagi institusi negara. Ia benar-benar huru-hara dan penuh kecoh. Pengundian pemecatan ini telah menyelesaikan salah satu aspek kekecohan ini.”

“Pemecatan ini hanyalah pemulaan. Kita harus mewujudkan sebuah masyarakat di mana semua hak asasi pekerja terjamin,” kata KCTU yang mengadakan aksi protes setiap hari sehingga Perhimpunan Kebangsaan mengundi untuk memecat Yoon Suk-yeol. “Kita harus membina sebuah masyarakat di mana pekerja-pekerja tidak mati semasa kerja, dan perkhidmatan awam – kesihatan, jagaan, pendidikan, pengangkutan, perumahan dan tenaga – adalah terjamin. Kuasa pekerja dan rakyat yang mencegah undang-undang tentera yang melanggar perlembagaan dan berjaya memecat Yoon Suk-yeol sekarang ini harus ditujukan ke arah pembaharuan sosial yang besar.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *