oleh Gandipan Nantha Gopalan

Pendidikan tertiari telah kembali menjadi satu isu yang sangat hangat baru-baru ini. Daripada komen PMX Anwar Ibrahim mengenai orang kaya menikmati subsidi dalam pendidikan, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mendapat pelepasan cukai bernilai RM83 juta, sehingga komen Nga Kor Ming mengenai pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), adalah jelas bahawa aspirasi sebuah sistem pendidikan yang berkualiti, percuma dan inklusif semakin merosot di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan .

Ini adalah satu pengajaran yang baik untuk rakyat. Rakyat perlu berwaspada terhadap janji dan aspirasi politik arus perdana, dan menilai tentang siapa yang akan bermanfaat daripada inisiatif ini. Rakyat juga telah menjadi lebih arif dan bermula mendekati organisasi-organisasi politik yang mempunyai ideologi melangkaui janji-janji manis.

Pandangan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengenai masalah-masalah pendidikan tertiari dapat dirungkaikan seperti berikut:

1) Sistem kemasukan dan kuota

Sistem kuota dan meritokrasi untuk memasuki matrikulasi dan seterusnya institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sedang mewujudkan satu situasi yang tidak menyenangkan di negara kita. Tambahan pula, tidak ada jaminan untuk seorang pemohon mendapat kursus yang diminatinya untuk melanjutkan pendidikan tertiari. Alasan yang diberikan pula ialah tempat yang terhad tetapi permohonan yang lebih daripada jangkaan.

2) Pendidikan tertiari dalam tangan kapitalis dan pihak swasta

Situasi di atas mendorong kerajaan untuk membuka ruang kepada pihak swasta menubuhkan institut pengajian tinggi dengan menggubalkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan mewujudkan PTPTN. Akibatnya, telah wujudnya pelbagai bentuk kolej, universiti dan yayasan untuk memberi perkhidmatan pendidikan. Parti-parti politik seperti MIC dan MCA pun turut mengambil kesempatan untuk mewujudkan institusi-institusi pendidikan seperti UTAR, AIMST dan sebagainya untuk mengekalkan hegemoni politik mereka.

3) Adakah kita masih ingat lagi berapa buah universiti awam yang ada?

Situasi hari ini seolah-olah rakyat terpaksa menerima bahawa universiti awam baharu tidak akan wujud. Ia tidak ada dalam mana-mana agenda kerajaan BN, PN mahupun PH. Disebabkan kekurangan tempat di universiti awam, rakyat terpaksa berlumba-lumba untuk mencari tempat di universiti swasta yang kesemuanya berjanji untuk mewujudkan produk berkualiti. Dalam ini, kita telah pun lupa untuk bertanya, bilakah kali terakhir universiti awam dibina untuk rakyat kita?

4) Hutang

Anak muda yang keluar daripada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dibebankan dengan hutang yang tinggi. Kemungkinan ada IPTS yang menawarkan kursus dengan kadar di bawah harga pasaran untuk sesuatu kursus, tetapi IPTS hari ini tidaklah mempunyai satu perbezaan yang sangat ketara. Kadar pembayaran balik juga membebankan dalam situasi di mana gaji permulaan graduan masih kurang dan peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk graduan dan kemahiran tinggi tidak sepadan dengan bilangan graduan yang ada.

Jadi, apakah solusi Sosialis?

1) Pendidikan percuma

Pendidikan merupakan hak asasi manusia. Pendidikan akan meningkatkan kapasiti seseorang untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat sejagat dan menambahbaikkan sosioekonomi mereka. Hak asasi manusia tidak harus dipasarkan.

Pendidikan percuma akan membolehkan seorang anak muda berbelanja untuk diri sendiri dan keluarganya. Hal ini sangat penting disebabkan anak muda menghadapi banyak kekangan ekonomi dan tekanan daripada kenaikan harga barang. Dalam situasi sebegini, ia amat tidak bertanggungjawab apabila kerajaan hendak mengambil RM100-RM200 daripada poket mereka untuk membayar balik PTPTN.

Wacana mengenai penghapusan hutang pelajar telah diarusperdanakan dalam arena politik di Amerika Syarikat selepas kempen yang bersertakan fakta yang dilakukan oleh Bernie Sanders. Kita pula masih kekal dalam naratif “bayar balik hutang” dan langsung tiada kemajuan dari situ.

Pendidikan percuma hanya akan berjaya hanya selepas:

2) Pengembangan infrastruktur dan institusi awam

Banyak lagi universiti, kolej dan institusi yang perlu dibina. Sebagai langkah pertama, kerajaan perlu sedia untuk mengambil alih institusi-institusi bermasalah. Ini dapat meningkatkan jumlah institusi kerajaan serta kursus-kursus spesifik yang menjadi impian orang ramai.

Satu inisiatif pengembangan institusi pendidikan awam yang bermula daripada langkah di atas dapat menyelesaikan punca akar masalah kemasukan IPTA, iaitu tempat sedia ada yang terhad. Tempat-tempat baharu ini dapat menjadi asas tawaran percuma dan hanya boleh wujud apabila infrastruktur pendidikan dalam tangan kerajaan. Pengambilalihan dan pembinaan infrastruktur baharu adalah kunci untuk menjayakan pendidikan percuma.

Orang ramai juga perlu lebih cakna dengan institusi pendidikan tertiari swasta yang digunakan oleh parti politik untuk mengekalkan pengaruhnya. Sesetengah institusi hanya dapat wujud kerana adanya masalah kekurangan tawaran tempat yang diminati, yang juga terkesan oleh sistem kuota. Institusi ini dipergunakan sebagai penyelamat rakyat marhaen yang ingin menghantar anak mereka untuk belajar sesuatu kursus yang diminati tetapi hakikatnya masalah akar diwujudkan oleh parti yang sama dalam kerajaan. Jikalau kita ingin menghapuskan masalah akar, maka kita mestilah berani mengambil langkah pemiliknegaraan seperti di atas.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *