oleh Karthiges Rajamanickam

Isu perumahan adalah satu isu penting kepada rakyat sedunia. Sejumlah besar hasil titik peluh kita diagihkan untuk tempat tinggal setiap bulan, termasuk untuk rumah sendiri, menumpang, sewa, rumah pangsa, rumah PPR, rumah mewah sehinggalah mereka yang tidak mampu memiliki rumah dan tinggal di kawasan peneroka. Justeru, memenuhi keperluan asas perumahan ini sentiasa menjadi cabaran kepada rakyat dan kerajaan.

Tahun ini, kita menyambut Hari Habitat pada 7 Oktober 2024. Perumahan adalah satu keperluan asas rakyat, tetapi malangnya, selama ini rakyat tidak menikmati tawaran perumahan yang selesa dan mampu milik/sewa kerana ia dijadikan alat perniagaan (komoditi) yang menguntungkan kaum pemodal. Pertukaran rejim ternyata tidak menukar hala tuju sistem perumahan negara dan bagaimana kita melihat skim perumahan mampu milik, masih menjadi mimpi untuk majoriti rakyat Malaysia.

Adakah Kerajaan Perpaduan kini masih melaungkan tuntutan yang sama semasa mereka menjadi pembangkang? TIDAK. Mengapakah sehingga hari ini, kita masih mendengar peristiwa pengusiran paksa penduduk dari rumah mereka? Pengusiran orang Bajau Laut di Semporna, perobohan rumah Kampung Sri Makmur, pengusiran pekerja Ladang Soon Lee, pengusiran penduduk Kampung Setia Jaya dan sebagainya, adalah contoh bagaimana perumahan masih tidak dianggap sebagai satu hak asasi manusia oleh pihak berkuasa dan kita masih menggunakan sistem Torrens di mana pemilik geran adalah pemilik sah sesuatu tanah, dan mereka yang menghuni di tanah tersebut tanpa geran, walaupun berapa lama masih dianggap sebagai penghuni haram atau setinggan.

Pada masa yang sama, tahun ini, harga perumahan negara kita masih melambung tinggi sehingga seorang pekerja yang menerima gaji minimum tidak dapat diluluskan pinjaman perumahan daripada pihak perbankan.

Katakanlah harga sebuah rumah yang baharu dibina bernilai RM200,000 (di kawasan luar bandar), maka dengan pembayaran balik pinjaman bank selama 30 tahun untuk kadar bunga 4% hingga 4.5% , seseorang perlu membayar lebih kurang RM1,000 sebulan. Ini adalah 77% daripada gaji bersih seseorang yang menerima gaji minimum (selepas dipotong KWSP/PERKESO/SIP). Secara tidak langsung, kadar harga rumah ini adalah BUKAN untuk pekerja biasa. Jadi, untuk siapa rumah-rumah ini dibina? Inikan pula, kita hanya menghitung untuk harga perumahan di luar bandar. Bagaimana pula dengan rakyat di bandar- bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan sebagainya? Adakah mereka mampu beli atau mampu mimpi skim perumahan di sana?

Apakah alternatifnya?

Kerajaan seharusnya melihat keperluan perumahan secara keseluruhan dengan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Persoalan nasional mengenai perumahan yang amat penting dan perlu dicari penyelesaian oleh kerajaan ialah:

  1. Apakah harga paling logik yang harus ditetapkan sebagai Rumah Mampu Milik untuk rakyat Malaysia?
  2. Adakah kerajaan berkuasa untuk mengawal perumahan pertama untuk rakyat atau meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak pemaju swasta yang hanya mahu keuntungan semata-mata?
  3. Mengapakah Skim Perumahan Sewa Beli/ Mampu Sewa yang semakin dituntut oleh rakyat tidak diberi perhatian serius? Pada ketika kegawatan ekonomi dan rakyat kehilangan punca pendapatan, skim perumahan ini mampu menyelamatkan keperluan rumah mereka.
  4. Apakah dasar Kerajaan Negeri terhadap peneroka bandar dan pekerja ladang? Mengapa sehingga hari ini, masih wujud pengusiran paksa terhadap peneroka bandar dan pekerja ladang? Adakah mereka harus menerima nasib pengusiran ini padahal kerajaan yang gagal dalam menyediakan rumah untuk mereka sebelum tanah mereka dibangunkan?
  5. Bagaimana Kerajaan akan membantu dalam penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah?

Pada tahun ini, Hari Habitat Sedunia diraikan dengan tema “Penglibatan Belia bagi Mencipta Masa Hadapan Bandar yang Lebih Baik”. Kami, di Gabungan Marhaen menuntut pada kerajaan supaya mengambil kira segala persoalan yang ditujukan di atas serta cadangan kami untuk menyelesaikan perumahan, iaitu:

1. Perumahan mampu milik/sewa untuk semua

  • Menggubal satu dasar perumahan negara yang memastikan perumahan yang sesuai mampu milik dan menjalankan konsultasi dengan semua lapisan masyarakat, terutamanya dengan golongan anak muda dan B40.
  • Mengambil alih tanggungjawab menyediakan rumah pertama untuk rakyat di bawah naungan kerajaan dan seterusnya mengawal spekulasi harga rumah. Kerajaan seharusnya mengeluarkan perkhidmatan perumahan rakyat daripada pasaran dan menekankan bahawa ia bukannya satu perniagaan untuk keuntungan.
  • Perumahan untuk golongan miskin mesti ada jaminan pinjaman bank yang munasabah dengan faedah yang amat rendah oleh pihak berkuasa supaya rakyat mampu membeli rumah kos rendah yang ditawarkan kepada mereka.
  • Insurans rumah MRTA adalah diwajibkan untuk semua rumah yang dijual.
  • Gabungan Marhaen mencadangkan kepada Kerajaan untuk membina 200 rumah di setiap kawasan Parlimen di Malaysia, dan menyewakannya melalui skim perumahan mampu sewa untuk membolehkan anak muda yang bekerja luar serta masyarakat yang paling terpinggir juga mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.
  • Kuota rumah majlis (council housing) khas untuk gelandangan.

2. Iktiraf peneroka bandar dan kampung Tradisi. Hentikan pengusiran paksa!

  • • Kerajaan harus mengiktiraf peneroka bandar dan perkampungan tradisi yang diduduki oleh rakyat marhaen, dan sekiranya tanah tersebut adalah hak milik kerajaan, maka hak milik tanah tersebut sepatutnya ditawarkan kepada penduduk dan bukannya dijual kepada pemaju untuk keuntungan.
  • Wujudkan satu Enakmen/Akta di mana Kerajaan Negeri/Persekutuan harus menyediakan skim perumahan atau lot tanah alternatif secara automatik sekiranya peneroka/penduduk kampung tradisi terpaksa diusir keluar kerana pembangunan kerajaan.
  • Untuk pembangunan swasta pula, kos perumahan peneroka harus dikongsi bersama oleh pemaju sebagai ganti rugi, dan projek pembangunan swasta tersebut harus ditunda sehingga pemaju menunaikan kos tersebut.
  • Skim Perumahan Sendiri Tun Abdul Razak untuk pekerja Ladang harus digubal sebagai undang-undang. Hentikan pengusiran paksa pekerja ladang selepas usia persaraan mereka dan sedia skim perumahan ladang.

3. Moratorium lelong rumah B40 – Hentikan kekejaman pihak bank terhadap golongan miskin!

  • Moratorium untuk golongan bersasar harus dilanjutkan walaupun zaman COVID-19 sudah berlalu. Bank Negara harus memainkan peranan untuk memastikan pihak bank tidak memangsakan peminjam yang benar-benar tidak mampu membayar balik pinjaman perumahan.
  • Hentikan lelong rumah rakyat B40 dan sedia sistem penstrukturan semula untuk membolehkan peminjam membayar pada tahap yang mereka mampu. Pembeli rumah harus ditawarkan penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel (ialah jumlah yang kurang daripada yang dibayar sebelum ini) untuk satu tempoh tertentu (setahun contohnya). Tempoh ini mampu membantu pembeli rumah bertahan dengan dana daripada skim insurans pinjaman atau tabung pemberhentian kerja.
  • Wujudkan satu Skim Insurans Pinjaman, iaitu pembeli rumah dikehendaki membayar sejumlah wang (katakan 10% daripada jumlah pembayaran balik pinjaman) kepada kumpulan wang simpanan yang boleh digunakan untuk membantu memenuhi bayaran balik pinjaman bulanan jika keluarga terbabit mengalami kerugian dalam pendapatan. Skim insurans pinjaman akan membantu dalam mengurangkan kadar kelalaian melunaskan hutang yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi.
  • Skim Tabung Pemberhentian Kerja yang diperjuangkan oleh PSM/JERIT harus dilaksanakan sepenuhnya kerana ia turut membantu kaum pekerja yang kehilangan kerja untuk meneruskan bayaran pinjaman perumahan mereka. Skim SIP ini telah membantu jutaan pekerja semasa kegawatan, tetapi malangnya ramai majikan masih enggan mematuhi bantuan ini.

4. Majlis perbandaran tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah

  • Penghuni rumah pangsa kos rendah hanya perlu membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu ( 6 bulan sekali) seperti mana rumah teres kos rendah.
  • Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan rumah pangsa dan jalan raya dalam kawasan rumah pangsa.

5. Cukai hartanah yang progresif dan strategik

  • Kami mencadangkan cukai progresif dan strategik ke atas hartanah, terutamanya pemilik rumah mahal, rumah kedua, ketiga dan keempat serta cukai nilai tanah primer dan cukai keuntungan modal ke atas penjual hartanah primer.
  • Wang yang dikumpulkan hasil daripada cukai ini boleh disalurkan untuk membina perumahan mampu milik. Kami juga mencadangkan cukai ke atas hartanah yang tidak berpenghuni dan hartanah yang sebahagiannya tidak dihuni (under-occupancy tax). “Under-occupancy tax” akan mengurangkan spekulasi harga rumah, dan mengurangkan kelonjakan permintaan dalam pasaran perumahan.

6. Kita harus iktiraf titisan peluh pekerja migran dan membantu masyarakat pelarian

  • Kita harus sedar bahawa pekerja migran turut membantu dalam membangunkan negara ini sementara masyarakat pelarian pula ditindas di negara asal dan memerlukan sokongan kita.
  • Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian.
  • Jangan melakukan pengusiran paksa terhadap pekerja migran/pelarian yang tinggal di PPR dan sediakan perumahan alternatif untuk mereka.
  • Penempatan sementara di perumahan majlis (council housing) sehingga penyelesaian untuk perumahan mereka.

Kita sedar bahawa tuntutan-tuntutan ini adalah sangat penting dan rakyat jelata berhak untuk ditawarkan perumahan yang tidak berpaksikan keuntungan kaum pemodal. Pihak kapitalis dan kerajaan boneka pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Namun, kerajaan baharu harus sedar bahawa perumahan selesa mampu milik/sewa adalah hak asasi rakyat dan ia harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran.

Rumah adalah hak rakyat, bukannya komoditi untuk diniagakan!

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Nasional Gabungan Marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *