(grafik: The Guardian)

Pilihan Raya Umum United Kingdom (UK) atau Britain yang diadakan pada 4 Julai 2024 untuk memilih 650 orang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat UK, telah menyaksikan Parti Konservatif di bawah kepimpinan penyandang Perdana Menteri Rishi Sunak mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarah parti itu, sementara Parti Buruh mendapat kemenangan besar walaupun jumlah undi yang diperolehinya tidak begitu besar. Rishi Sunak telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pemimpin Parti Konservatif dan Perdana Menteri UK sejurus selepas mengetahui kekalahan teruk partinya dalam pilihan raya umum, sementara Keir Starmer, Pemimpin Parti Buruh, menggantikannya sebagai Perdana Menteri UK yang baharu pada 5 Julai 2024.

Parti Buruh telah memenangi 412 daripada 650 kerusi Dewan Rakyat UK, meningkat sebanyak 210 kerusi berbanding pilihan raya umum pada tahun 2019. Dari segi kerusi yang dimenangi, Parti Buruh memang nampaknya menang besar kerana menguasai 63.4% kerusi dalam Parlimen, tetapi jika melihat pada undi popular yang diperolehinya, Parti Buruh hanya meraih sebanyak 33.8% undian. Peratusan undi popular yang diperolehi Parti Buruh dalam pilihan raya umum terbaru ini adalah peratusan paling rendah yang pernah diperolehi mana-mana parti yang memerintah dengan kerusi majoriti dalam sejarah pilihan raya UK. Jika mencampurkan peratusan undi popular Parti Buruh dengan Parti Konservatif (23.7%), iaitu 57.5%, peratusan ini juga merupakan paling rendah untuk undian yang diperolehi kedua-dua parti politik utama itu dalam sejarah UK.

“Kemenangan besar” buat Parti Buruh dalam Pilihan Raya UK terbaru ini jelas bukan kerana Parti Buruh di bawah kepimpinan Keir Starmer adalah begitu popular, tetapi adalah disebabkan oleh pengundi-pengundi UK sudah muak dengan pemerintahan Parti Konservatif selama 14 tahun yang penuh dengan kepincangan dan gagal menangani masalah rakyat yang semakin serius, tambahan lagi dengan perpecahan dalam kalangan pengundi-pengundi yang menyokong parti berhaluan kanan. Parti Konservatif hanya memenangi 121 kerusi, menurun sebanyak 244 kerusi berbanding tahun 2019. Banyak pengundi yang mengundi Parti Konservatif sebelum ini telah mengalihkan sokongan kepada Reform UK, sebuah parti pelampau kanan yang dipimpin oleh Nigel Farage dan dikenali sebagai Parti Brexit sebelum ini. Walaupun hanya memenangi 5 kerusi dalam Dewan Rakyat UK, Reform UK yang mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit dan anti-migran telah meraih sebanyak 4.1 juta undi (bersamaan 14.3% undian). Dalam erti kata lain, Parti Buruh dapat menang besar kerana Reform UK memecahkan undi Parti Konservatif.

Keir Starmer mengambil alih jawatan Pemimpin Parti Buruh pada tahun 2020 selepas golongan berhaluan dalam parti itu melancarkan serangan hebat terhadap Jeremy Corbyn untuk menyingkirkan Pemimpin Parti Buruh yang berhaluan kiri dan agak popular dalam kalangan rakyat biasa itu. Malah, kepimpinan Parti Buruh telah menghalang Jeremy Corbyn daripada bertanding sebagai calon Parti Buruh dalam Pilihan Raya Umum 2024.

Jeremy Corbyn bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi Islington Utara yang disandangnya sejak tahun 1983, dan berjaya dipilih semula selepas menewaskan pesaing terdekatnya daripada Parti Buruh dengan undi majoriti sebanyak 7,247. Jeremy Corbyn meraih sebanyak 24,120 undi (bersamaan 49.2%) dan kawasan parlimen Islington Utara buat kali pertamanya sejak tahun 1937 tidak diwakili oleh ahli parlimen daripada Parti Buruh. Jeremy Corbyn berkata bahawa keputusan pilihan raya di kawasan Islington Utara merupakan “satu amaran kepada kerajaan yang akan datang bahawa perbezaan pandangan tidak boleh dihancurkan tanpa kesan”. “Idea-idea tentang kesamarataan, keadilan dan keamanan adalah kekal abadi. Harapan untuk sebuah dunia yang lebih baik adalah tidak dapat dipadamkan.” Corbyn juga tegas dalam pendiriannya bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menyeru gencatan senjata di Gaza.

“Malam ini, kita raikan. Esok, kita berorganisasi,” kata Corbyn selepas pilihan raya. “Tenaga yang kita telah dilepaskan itu tidak akan sia-sia.”

(foto daripada akaun X Jeremy Corbyn)

Walaupun Parti Buruh mendapat kemenangan besar dari segi kerusi parlimen, selain di Islington Utara, ia juga telah ditewaskan di 4 buah kawasan oleh calon-calon bebas yang bertanding atas platform pro-Palestin, seperti Adnan Hussain di kawasan Blackburn, Ayoub Khan di kawasan Birmingham Perry Barr, Shockat Adam di Leicester Selatan dan Iqbal Mohamed di kawasan Dewsbury dan Batley. Pendirian Starmer yang menyokong serangan Israel terhadap Gaza sejak bulan Oktober 2023 dan keengganan Parti Buruh untuk mendesak gencatan senjata pada awalnya berlaku genosid di Gaza, telah mengecewakan sebahagian besar pengundi Parti Buruh. Di sebalik keghairahan untuk menggulingkan pemerintahan Parti Konservatif, terdapat beribu-ribu orang pengundi yang menyatakan pendirian mereka dengan jelas bahawa kerajaan UK akan datang harus bertanggungjawab terhadap hal ehwal antarabangsa termasuk isu yang melibatkan nasib rakyat Palestin.

Peratusan undi popular yang diraih oleh Parti Buruh dalam pilihan raya umum kali ini (33.8%), hanya meningkat sedikit berbanding tahun 2019 semasa di bawah kepimpinan Corbyn (31.1%), iaitu bertambah sebanyak 1.7 titik peratusan; tetapi dari segi bilangan undi yang diperoleh, 9.7 juta undi yang diraih Parti Buruh dalam pilihan raya umum kali ini adalah lebih rendah berbanding 10.2 juta undi pada tahun 2019 apabila Parti Buruh mencatatkan salah satu kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya, iaitu kurang sebanyak 500,000 undi! “Kemenangan besar” dengan bilangan undi yang lebih rendah daripada bilangan undi dalam salah satu kekalahan paling teruknya, merupakan satu fenomena aneh yang hanya wujud dalam sistem “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post).

Jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum UK pada tahun 2017 di mana Parti Buruh meraih sebanyak hampir 12.9 juta undi, Parti Buruh di bawah kepimpinan Starmer sekarang ini telah hilang sebanyak lebih 3 juta undi berbanding zaman kepimpinan Corbyn! Walaupun ketewasan Parti Konservatif merupakan sesuatu yang menggembirakan bagi ramai orang, masih ramai orang juga yang tidak pasti bahawa Parti Buruh di bawah kepimpinan Starmer sama ada dapat membawa perubahan sebenar dengan meninggalkan dasar neoliberal yang diamalkan oleh Parti Konservatif, termasuk pengkomoditian perkhidmatan asas seperti kesihatan.

Selain Parti Konservatif, satu lagi parti politik yang menemui kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum UK kali ini ialah Parti Kebangsaan Scotland (SNP) yang hanya memenangi 9 kerusi, menurun sebanyak 39 kerusi berbanding 48 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2019. Ini merupakan keputusan pilihan raya yang paling teruk bagi SNP sejak tahun 2010.

Parti-parti politik lain yang mencatatkan kemenangan yang menggalakkan ialah Demokrat Liberal yang memenangi 72 kerusi (meningkat sebanyak 61 kerusi berbanding tahun 2019 walaupun peningkatan undian hanya 0.7 titik peratusan) dan Parti Hijau yang memenangi 4 kerusi (meningkat sebanyak 3 kerusi berbanding 1 kerusi yang dimenangi pada tahun 2019). Parti Sinn Féin mengekalkan 7 kerusi yang dimenanginya di Ireland Utara sejak tahun 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *