KOTA DAMANSARA, SELANGOR – 2 OGOS 2023: Satu rombongan wakil pengusaha-pengusaha nurseri di Sungai Buloh telah mengunjungi pejabat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Subung untuk berjumpa dengan Sivarajan Arumugam, calon PSM untuk kerusi DUN N39 Kota Damansara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. Wakil pengusaha nurseri Sungai Buloh menyerahkan tuntutan mereka kepada Sivarajan.
Pengusaha-pengusaha nurseri ini sedang menghadapi masalah diarahkan untuk berpindah kerana projekpembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), dan pembesaran Jalan Sungai Buloh – Shah Alam. Pengusaha-pengusaha nurseri ini telah memulakan perusahaan tapak semaian (nurseri) di sepanjang Jalan Sungai Buloh – Shah Alam sejak 30 tahun yang lalu. Sekarang ini, mereka menjalankan perniagaan mereka di lokasi Greenlane (sepanjang Jalan Sungai Buloh – Shah Alam), Jalan Hospital dan Kampung Melayu Subang.
Walaupun pengusaha-pengusaha nurseri ini telah memohon untuk meneruskan perniagaan di lokasi yang diusahakan mereka sekarang ini sama ada secara pembayaran TOL (Lesen Pendudukan Sementara) atau membayar sewa di bawah pengurusan Kerajaan Negeri Selangor, tetapi mereka sedang dipakssan untuk berpindah ke satu lokasi jauh yang terletak berjarak lebih 50 km dari Sungai Buloh.
Kerajaan Negeri Selangor sedang menawarkan satu lokasi pemindahan di Bukit Changgang, Banting. Namun, Kawasan ini tidak sesuai untuk perniagaan nurseri kerana kawasan ini dipercayai mengalami banjir dan kurang kemudahan infrastruktur.
“Memindahkan mereka dari Sungai Buloh, sebuah kawasan yang telah dimajukan oleh mereka daripada hasil titik peluh mereka selama 30 tahun, ke Bukit Changgang, Banting, merupakan suatu tindakan menguburkan perniagaan mereka”, kata Sivarajan Arumugam, calon PSM untuk kawasan Kota Damansara dalam PRN Selangor 2023.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah Petaling mengarahkan mereka untuk berpindah sebelum akhir tahun 2023. “Lebih 200 orang bekerja dalam industri nurseri ini di Sungai Buloh dan mereka berasal dari sekitar kawasan Sungai Buloh. Macam mana mereka boleh tinggalkan tempat ini dan berpindah ke Bukit Changgang? Tak mungkin kami ulang alik 50 km sehala Sahaja untuk untuk kerja!” ujar salah seorang pengusaha nurseri Sungai Buloh.
Para pengusaha nurseri menyerahkan surat kepada Sivarajan selaku calon PSM untuk kawasan DUN Kota Damansara untuk memohon bantuan PSM dalam mengekalkan mereka di kawasan perniagaan sekarang sepanjang Greenlane Sungai Buloh jika calon PSM berjaya dipilih sebagai wakil rakyat Kota Damansara.
Sivarajan memberitahu pada pengusaha-pengusaha nurseri ini bahawa sejak pada masa Dr. Nasir Hashim menjadi ADUN Kota Damansara, sememangnya pendirian PSM adalah agar pengusaha-pengusaha ini kekal berniaga di situ atau dipindahkan ke tapak alternatif di tanah bekas ladang RRIM, Kwasa Land. Pembangunan Kwasa Land terletak bertentangan dengan tapak perniagaan mereka dan amat sesuai sebagai lokasi pemindahan alternatif, bukannya satu lokasi terpencil di Bukit Changgang, Banting.
Calon PSM untuk Kota Damansara memberikan kepastian kepada pengusaha nurseri bahawa PSM akan menyokong dan sentiasa bersama perjuangan mereka untuk meneruskan perniagaan nurseri mereka di Sungai Buloh.