KAJANG, SELANGOR – 1 OGOS 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan S. Arutchelvan, calon PSM untuk kerusi DUN N25 Kajang, mengetengahkan 3 agenda utama dalam Manifesto Pilihan Raya PSM untuk Kajang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor. Manifesto Pilihan Raya PSM untuk kawasan DUN Kajang telah dilancarkan dalam satu sidang media khas yang diadakan pada hari ini.
3 agenda utama yang dibawa dalam Manifesto Pilihan Raya PSM untuk Kajang adalah:
1. Pembangunan terancang, alam sekitar terpelihara
- Kerapkan pengangkutan awam percuma ke semua klinik kesihatan dan hospital.
- Wujudkan kawasan bebas kenderaan di beberapa lokasi terpilih di Bandar Kajang.
- Rangka Pelan Lindungi Sungai Langat, Sungai Sekamat, Sungai Kantan daripada pencemaran.
- Menghijaukan Kajang dengan penanaman lebih banyak pokok di sepanjang jalan utama.
- Wujudkan lebih banyak taman riadah awam dengan konsep alam sekitar seperti Taman Rekreasi Sungai Chua.
2. Kediaman selesa, berkualiti dan terjamin
- Bina rumah mampu milik selesa yang berharga di bawah RM100 ribu.
- Majlis Tempatan ambil alih penyelenggaraan pangsapuri dan flat kos rendah.
- Pemantauan serius dan berkala untuk sungai dan longkang bagi elakkan banjir berulang.
- One Stop Centre (OSC) sebagai pusat kesihatan mental, ubatan tradisi dan kompleks aktiviti untuk komuniti berusia serta anak muda.
3. Masyarakat terlibat secara langsung
- Tubuhkan Majlis Perwakilan Penduduk yang terdiri daripada Ketua Kampung, Pengerusi Persatuan Penduduk, Badan Bukan Kerajaan dan Persatuan Masyarakat sebagai medium luahan suara rakyat kepada ADUN.
- Perkasakan badan pengurusan bersama (JMB) di pangsapuri dan flat kos rendah dengan peruntukan khas untuk keceriaan dan kesejahteraan penduduk.
- Membuka pusat aduan rakyat bergerak di kawasan tumpuan umum seperti pasar pagi dan pasar malam untuk memudahkan penduduk Kajang membuat aduan dan menyuarakan pandangan.
“Saudara Arul dan PSM tidak asing lagi pada isu-isu di sekitar Kajang, kerana Arul adalah orang tempatan dan telah memulakan aktivismenya di Kajang sejak tahun 1987 lagi,” kata Nalini Elumalai, Penyelaras Media PSM DUN Kajang. “Sekiranya PSM menang di Kajang, selaras dengan slogan pilihan raya kami, Kajang akan terbela!”
Arutchelvan pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kajang dari tahun 2008 hingga 2013. Beliau telah mengendalikan banyak perkara yang berkenaan perancangan bandar, isu perumahan flat kos rendah dan sebagainya, di samping sentiasa melibatkan masyarakat dalam membuat keputusan berkaitan dasar yang pro-rakyat. “Jika diberi peluang untuk dipilih di Kajang, PSM akan bekerja keras untuk memastikan Manifesto ini dilaksanakan,” tambah Nalini.