oleh Ayman Hareez Bin Muhammad Adib

Pada 8 Mac 2023, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) bersama beberapa organisasi belia dan mahasiswa lain telah menyerah memorandum kepada kerajaan bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum lepas. Pemuda Sosialis ingin menyatakan sokongan kami buat pihak MPKK atas tindakan tersebut.

Pemuda Sosialis teguh dalam pendirian bahawa AUKU wajar dimansuhkan, seperti dalam kenyataan sebelum ini, kerana ia menyekat kebebasan dan autonomi mahasiswa bukan sahaja dalam kegiatan politik, malah juga dalam menyusun atur mahasiswa secara ramai-ramai demi membela hak dan nasib mereka sendiri.

Mahasiswa terdiri daripada warga Malaysia yang akan menjadi masa depan negara kita. Oleh itu, penyekatan hak dan kebebasan mereka untuk bergerak dalam kesatuan dan bergiat dalam politik hanya akan menghasilkan graduan yang tidak bersedia untuk menyambut baton daripada pemimpin hari ini. Jika pemimpin masa depan kita tidak bersedia, maka runtuhlah institusi demokrasi dan pentadbiran negara.

Pemuda Sosialis sekali lagi menyatakan sokongan atas tindakan bersama MPKK untuk menggesa kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya AUKU dimansuhkan. Hanya dengan memansuhkan perundangan yang tidak menjaga kepentingan mahasiswa dapat kita memberdayakan pemimpin masa depan negara untuk meneruskan usaha demi membangunkan watan tercinta.

==========

Ayman Hareez Bin Muhammad Adib ialah Ahli Biro Pendidikan Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *