(foto: Sonny Melencio)

(Terjemahan daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris)

oleh Reihana Mohideen

Pilihanraya Umum di Filipina pada 9 Mei 2022 berlangsung dalam keadaan negara bergelora di bawah ancaman pelbagai krisis sistem – pandemik, iklim, ekonomi dan sosial. Lebih daripada satu perlima daripada tenaga buruh (22.1%) atau hampir satu persepuluh daripada jumlah populasi (9.78%) adalah dalam keadaan guna tenaga tidak penuh atau menganggur. Gaji minimum di Filipina sekarang pada dasarnya ialah gaji perhambaan dengan 18.0% isi rumah berada di bawah paras kemiskinan wilayah yang rasmi setakat suku pertama tahun 2021. Sementara itu, jumlah kekayaan 50 orang warga Filipina yang terkaya meningkat sebanyak 30% dari tahun 2020 ke 2021 walaupun berlaku pandemik. Filipina juga merupakan salah sebuah negara di dunia yang paling terdedah kepada kesan berkaitan iklim, seperti taufan dan krisis alam sekitar. Menjelang tahun 2030, lebih kurang 50% penduduk Filipina dijangka akan terkesan oleh kenaikan paras laut, dengan banyak bahagian pusat bandar utama ditenggelamkan, termasuk ibu kota Metro Manila.

Dalam arena politik, kita mendapati bahawa puak bekas diktator Ferdinand Marcos sedang bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita mereka untuk kembali berkuasa di negara Filipina dan sudah membentuk pakatan dengan Presiden Duterte dan puaknya, yang sama-sama bertekad untuk melindungi pegangan kuasa dinasti mereka dalam pilihanraya nasional akan datang. Anak kepada bekas diktator, Bongbong Marcos Jr., sedang bertanding untuk jawatan Presiden bergandingan dengan Sara Duterte, anak perempuan kepada Presiden Duterte, sebagai calon Naib Presiden. Puak-puak ini telah bergabung dengan beberapa puak yang paling berhaluan kanan dalam politik Filipina – seperti puak Arroyo dan puak Estrada – yang disokong oleh bahagian kelas kapitalis “bilionair” Filipina (banyak antara mereka yang disenaraikan dalam senarai Forbes Asia menyokong gandingan presiden Marcos-Duterte ini).

Kuasa-kuasa ini mewakili puak yang paling berhaluan kanan dalam kelas pemerintah Filipina. “Urusan seperti biasa” (business as usual), walaupun dengan pembaharuan yang terhad, langsung tidak menawarkan apa-apa solusi. Alternatif yang radikal dan sosialis diperlukan.

Golongan sosialis yang menyertai Partido Lakas ng Masa (Parti Massa Buruh, PLM), sebuah parti politik golongan terpinggir yang didaftarkan secara nasional, yang pernah menyokong beberapa gabungan politik kiri dan hijau sebelum ini, memutuskan untuk menyahut cabaran dan bertanding sebagai pembangkang untuk melawan apa yang disebut ramai sebagai “Paksi Kejahatan Marcos-Duterte”, berasaskan platform anti-kapitalis yang radikal.

Ini ialah satu kempen yang benar-benar bersejarah. Ini merupakan kali pertama golongan kiri bertanding untuk jawatan Presiden Filipina. Ini merupakan kali pertama seorang pekerja dan pemimpin buruh bertanding untuk Presiden. Ini merupakan kali pertama sebuah platform yang anti-kapitalis dan sosialis transisi dikemukakan oleh seorang calon Presiden. Kempen pilihanraya PLM telah memecahkan acuan politik tradisional. Kami telah memecah tapak baharu dan meletakkan asas untuk politik radikal dan pro-rakyat jenis baharu yang sebenar dalam arena pilihanraya.

Seperti yang diisytihar oleh calon Presiden PLM dan pemimpin buruh Leody De Guzman dalam perdebatan televisyen nasional, “Kita perlukan sebuah politik baharu, sebuah ekonomi baharu”.

Duterte – Kebangkitan pemerintahan autoritarian

Rejim Duterte yang dipilih pada bulan Mei 2016, mewakili kebangkitan kerajaan yang pelampau kanan, autoritarian dan malah neo-fasis di peringkat antarabangsa, dari Jair Bolsonaro di Brazil, ke “Trumpisme” di Amerika Syarikat, Viktor Orbán di Hungary dan “fasisme Hindu” Narendra Modi di India. Trend antarabangsa ini merupakan manifestasi politik untuk pelbagai krisis sistem kapitalis yang bersilang – ekonomi, sosial, politik dan krisis alam sekitar serta kegagalan kerajan neoliberal yang “liberal” dalam menangani krisis-krisis ini. Fenomena ini juga merupakan akibat daripada ketidakupayaan golongan kiri dalam membina dan memobilisasi di sekeliling alternatif anti-neoliberal dan anti-kapitalis yang sebenar.

Di Filipina, kemenangan Duterte dalam pilihanraya ialah hasil daripada kegagalan rejim-rejim demokratik “elit” pasca-Marcos, bermula sejak Presiden Cory Aquino yang berkuasa melalui revolusi “kuasa rakyat” pada bulan Feburari 1986 yang menjatuhkan pemerintahan diktator Presiden Ferdinand Marcos yang mengisytihar darurat pada 21 September 1972 dan menutup Kongres.

“Perang melawan dadah” Duterte yang terkenal itu, yang pada asasnya merupakan perang terhadap masyarakat miskin dan hak demokratik serta hak asasi manusia, telah mengakibatkan pembunuhan di luar undang-undang terhadap lebih kurang 27,000 orang. Dia telah mempersenjatakan undang-undang untuk menutup mulut pembangkang. Akta Anti-Keganasan (Anti-Terror Act) yang dikuatkuasakan pada bulan Julai 2020 membenarkan penahanan sehingga 24 hari untuk penangkapan tanpa waran. Takrifan keganasan (terrorism) adalah kabur dan luas malah merangkumi perbezaan pandangan atau protes yang sah, dengan niat untuk menjenayahkan pengkritiknya. Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Menamatkan Konflik Bersenjata Komunis Tempatan (NTF-ElCAC) telah ditubuhkan, dengan belanjawan yang besar, untuk menjalankan serangan gabungan ketenteraan dan perang psikologi di dalam komuniti yang disyaki wujudnya aktiviti CPP-NDF-NPA. Undang-undang “jenayah siber” yang diperkenalkan oleh kerajaan Presiden Noynoy Aquino secara efektifnya menjadikan pembantahan dalam platform media sosial sesuatu jenayah. Duterte telah menggunakan undang-undang ini untuk menangkap dan mendakwa wartawan yang terkenal di dunia dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel Maria Ressa, CEO kepada laman web berita atas talian Rappler, atas pertuduhan “fitnah siber”.

Massa rakyat kecewa dan dilemahkan oleh pemerintahan neoliberal berdekad-dekad lamanya yang telah memusnahkan asas sosio-ekonomi masyarakat dan kehidupan mereka – pengangguran, kerja yang tidak tetap, kekurangan perkhidmatan asas, kegagalan reformasi tanah, kemiskinan dan kelaparan yang melampau, impak perubahan iklim dan krisis alam sekitar – semuanya diburukkan lagi oleh impak pandemik. Dalam konteks inilah Duterte dipilih sebagai Presiden, yang menarik sokongan massa untuk program dan retorik populisnya. Ini termasuk janjinya untuk menamatkan amalan pengkontrakan (buruh yang tidak menentu atau subkontrak buruh) yang membolehkan dia mendapat sokongan daripada sebahagian gerakan buruh, menamatkan Perjanjian Angkatan Tentera Pelawat dengan Amerika Syarikat (perjanjian ketenteraan yang membenarkan kehadiran tentera AS di Filipina) dan menyokong China untuk menentang AS dalam pertikaian Laut China Selatan dan pertikaian Kepulauan Spratly. Duterte sebelum ini pernah bersekutu dengan CPP-NPA (Parti Komunis Filipina – Tentera Rakyat Baharu) dan pernah melantik beberapa orang pemimpin organisasi massa yang sehaluan dengan CPP-NPA ke dalam kabinetnya dan mengambil jawatan kanan dalam beberapa jabatan.

Namun, seperti yang dijangkakan oleh ramai golongan kiri, ini adalah sementara sahaja. Tidak lama kemudian, Duterte berputus hubungan dengan CPP-NPA, menyingkirkan mereka daripada kerajaan dan mula memburu kepimpinan bawah tanah mereka, di mana ia melibatkan pembunuhan yang zalim, dan melancarkan operasi ketenteraan terhadap kawasan pangkalan mereka, khususnya di kawasan komuniti orang asal di Mindanao.

Pembangkang yang sehaluan dengan Parti Liberal telah dilemahkan dengan ketara sehingga tidak mampu dan tidak sanggup menampilkan penentangan yang jelas dan konsisten terhadap Duterte. Majoriti antara mereka dalam Kongres hanya bertukar pihak dan menyokong Duterte. Naib Presiden dalam kerajaan Duterte ialah Leni Robredo, Pengerusi Parti Liberal sekarang ini, yang sedang bertanding untuk jawatan Presiden dalam Pilihanraya 9 Mei sebagai calon bebas (satu kejanggalan yang boleh wujud kerana Presiden dan Naib Presiden Filipina adalah dipilih secara langsung dan berasingan). Leni Robredo tidak melakukan apa-apa bangkangan yang serius terhadap rejim Duterte, sebaliknya lebih suka memainkan peranan sebagai seorang pegawai dipilih yang “bertanggungjawab”.

Yang berada di barisan hadapan dalam penentangan terhadap Duterte ialah gerakan massa yang dipimpin oleh golongan kiri.

Pembangkang borjuis liberal salahkan massa, bukannya sistem

Satu baris ulang yang sering dinyanyikan oleh golongan pembangkang borjuis liberal adalah massa harus dipersalahkan kerana mengundi Duterte. Kami menolak hujah ini kerana ia mengabaikan masalah-masalah sistemik, iaitu sistem politik yang memupuk dan mereplikasi pemerintahan elit. Di Filipina, pemerintahan elit adalah berasaskan sistem politik yang bercirikan pemerintahan dinasti dan klan politik.

Di dalam Dewan Senat, 17 daripada 24 orang senator datang daripada dinasti dan klan politik. Di dalam dewan rendah Kongres, 71% daripada perwakilan daerah adalah daripada klan dan dinasti politik. Dalam kerusi Senarai Parti yang diwujudkan untuk sektor-sektor terpinggir, 62 daripada 134 orang mempunyai kaitan dengan dinasti dan klan politik. Dalam kalangan gabenor di 81 buah wilayah, lebih daripada 80% adalah daripada dinasti dan lebih daripada 51% sehaluan dengan Duterte. Sistem “dinasti politik” ini dibina berasaskan penipuan pilihanraya, disokong dengan paksaan dan keganasan. Pembangkang liberal memainkan permainan dinasti yang sama. Mereka juga mempunyai bahagian mereka dalam dinasti dan klan politik. Perlu adanya pelanggaran yang sebenar dalam sistem ini, sistem dinasti, untuk golongan kiri mencapai sebarang kejayaan yang bermakna dalam arena pilihanraya.

Perubahan sistem di Filipina ialah perjuangan untuk menghapuskan dinasti politik. Inilah konteks di mana Pilihanraya 9 Mei sedang berlangsung.

(foto: halaman facebook Ka Leody De Guzman)

Pilihanraya

Dalam konteks ini, dengan vakum politik yang ternganga dalam arena pilihanraya, Parti Liberal yang berlengah-lengah itu tidak mampu menawarkan seorang calon pembangkang, dan Leni Robredo akhirnya mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Presiden tetapi bertanding sebagai calon bebas, PLM menyahut cabaran ini dan memutuskan untuk bertanding dengan senarai calon yang penuh dan menawarkan alternatif yang radikal kepada pengundi.

Leody De Guzman, seorang pemimpin buruh yang sudah lama bergiat aktif dan ahli pengasas kepada PLM serta Pengerusi kesatuan sekerja sosialis “Solidariti Pekerja-pekerja Filipina” (BMP), sedang bertanding untuk jawatan Presiden Filipina. Walden Bello, seorang sarjana dan aktivis politik yang terkenal di peringkat antarabangsa serta Pengerusi gabungan sosialis “Laban ng Masa”, berganding dengannya untuk bertanding sebagai calon Naib Presiden. Pasukan calon senator kami dipimpin oleh Luke Espiritu, seorang peguam buruh, mantan ahli majlis nasional PLM dan Presiden BMP. PLM telah menerajui pembentukan satu gabungan sosialis-hujau dengan Parti Alam dan Parti Hijau, yang mana pemimpin mereka Roy Cabonegro dan David D’Angelo bertanding untuk kerusi Senat sebagai calon PLM. Kami juga bertanding untuk dewan rendah Kongres di bawah sistem Senarai Parti sebagai Senarai Parti PLM. Kami mempunyai beberapa orang calon datuk bandar dan ahli majlis tempatan yang bertanding melawan klan politik tempatan dan ahli politik tradisional.

Platform tuntutan radikal kami bermatlamat untuk memulakan proses segera dalam mentransformasi masyarakat ke arah sosialis. Ia termasuk:

  • Pengenalan cukai kekayaan terhadap keluarga terkaya dengan kekayaan bersih lebih PHP100 juta (bersamaan lebih kurang RM8 juta) untuk menangani ketidaksamarataan.
  • Pembatalan pembayaran balik hutang untuk lima tahun, pemansuhan Undang-undang Peruntukan Hutang Automatik; dan penilaian semula dan pengauditan semua hutang yang sedia wujud.
  • Pemulihan dan pemulangan baki kekayaan yang dicuri oleh keluarga Marcos yang berjumlah PHP126 bilion (lebih kurang RM10 bilion), dan mendakwa anggota keluarga Marcos yang menyimpan dan menggunakan kekayaan yang dicuri mereka.
  • Gunakan kekayaan yang dicuri itu, bersama-sama dengan hasil daripada cukai kekayaan dan pembatalan hutang, untuk merespon kepada pandemik COVID-19.
  • Tingkatkan serta-merta gaji minimum harian kepada PHP750 (lebih kurang RM61) sehari seluruh negara.
  • Tegakkan prinsip kawalan pekerja; pastikan pekerja-pekerja dirujuk pandangan dalam semua sektor perindustrian dan ekonomi melalui penubuhan kesatuan dan jawatankuasa pekerja yang selari dengan lembaga korporat untuk penggubalan dasar dan operasi harian.
  • Haramkan pengkontrakan dalam semua bentuk; laksanakan kawalan harga ke atas minyak, elektrik, internet, air, input pertanian dan komoditi asas yang lain.
  • Institusikan kawalan petani kecil terhadap pertanian dan jamin kedaulatan makanan; agihkan secara percuma semua tanah yang tinggal di bawah reformasi agraria; cegah penukaran tanah khususnya oleh syarikat hartanah besar; bekukan pematuhan terhadap semua arahan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO); dan mansuhkan Undang-undang Pentarifan Padi 2019 yang melonggarkan pengimportan padi ke dalam negara Filipina.
  • Laksanakan undang-undang anti-dinasti; mulakan segera penghapusan dinasti politik dengan meluluskan undang-undang yang membolehkan pelaksanaan peruntukan anti-dinasti dalam Perlembagaan – “kerajaan akan melarang dinasti politik seperti yang ditakrif oleh undang-undang”.
  • Tegakkan keadilan iklim; tuntut bayaran ganti rugi daripada negara-negara kaya untuk tanggungjawab sejarah mereka terhadap krisis iklim; laksanakan peralihan adil ke arah ekononi karbon rendah dan dimiliki secara demokratik, sistem tenaga yang boleh diperbaharui dan bersih; mansuhkan Akta Perlombongan Filipina yang pro-perlombongan. 
  • Institusikan langkah-langkah untuk mencapai kesamarataan gender sepenuhnya dan memperkukuhkan hak gender; hapuskan keganasan terhadap wanita; luluskan undang-undang penceraian, nyahjenayahkan pengguguran kandungan; luluskan undang-undang baharu untuk menangani masalah jurang gaji berasaskan gender; iktiraf dan beri bayaran kepada kerja reproduktif dan penjagaan; sahkan di sisi undang-undang kategori gender LGBTQIA+; tegakkan kesamarataan perkahwinan dan sokong bentuk pengaturan keluarga yang alternatif.
  • Sambung semula rundingan damai dengan CPP-NDF-NPA tanpa sebarang syarat; mansuhkan Akta Anti-Keganasan 2020; kurangkan belanjawan semua agensi berkaitan keselamatan dan pertahanan secara ketara berbanding belanjawan untuk perkhidmatan social.
  • Tegakkan hak untuk penentuan nasib sendiri; sokong perjuangan rakyat Bangsamoro untuk autonomi sepenuhnya dan bermakna; perkukuhkan dan kuatkuasakan prinsip masyarakat orang asal dalam pemilikan dan pengawasan bersama terhadap sumber-sumber semula jadi.
  • Wujudkan dasar luar yang berkecuali berasaskan kedaulatan nasional dan internasionalisme; batalkan perjanjian ketenteraan dengan AS dan tutup segera semua pangkalan tentera de facto AS di dalam negara Filipina. Tolak klaim perluasan dan lingkungan pengaruh China dan AS di Laut China Selatan; galakkan pembangunan dan penggunaan sumber-sumber asli di kawasan yang dipertikaikan berasaskan kebaikan bersama.

Mempromosikan platform ini merupakan fokus utama kempen kami. Kempen ini telah mendatangkan impak nasional yang signifikan, dengan massa rakyat merespon pada platform kami. Kenyataan-kenyataan oleh calon-calon kami telah menjadi viral dalam media sosial, dengan liputan harian dalam semua saluran media konvensional, dan malah timbulnya ancaman tindakan undang-undang dan lisan terhadap calon-calon kami oleh mereka yang sealiran dengan puak Marcos-Duterte.

Golongan kiri yang lain telah gagal merespon kepada cabaran yang timbul dalam keadaan politik ini. Mereka telah mengikuti strategi “urusan seperti biasa” dalam arena pilihanraya yang meletakkan calon kiri yang terikat dengan kempen pilihanraya Presiden daripada satu puak kelas kapitalis (malah bukan semestinya pilihan untuk “kurang jahat”, seperti dalam kes menyokong Duterte oleh CPP).

Kali ini, CPP, Akbayan dan Partido Manggagawa (Parti Buruh) menyokong Leni Robredo. Gerakan buruh telah berpecah dengan kesatuan-kesatuan sekerja yang bersekutu dengan parti-parti ini menyokong pembangkang borjuis yang liberal. Kongres Kesatuan Sekerja Filipina yang berhaluan kanan menyokong Marcos Jr.

Sekarang ini gabungan Marco-Duterte sedang mendahului dalam tinjauan pendapat, sementara Leni Robredo mengekorinya di tempat kedua, tetapi dengan sokongan yang semakin meningkat. Tinjauan pendapat ini adalah diamanahkan dan dibayar oleh calon-calon, maka berat sebelah terhadap mereka yang mempunyai wang untuk membayar mereka. Nampaknya tinjauan pendapat menunjukkan kemenangan Marcos Jr. menjurus kepada kawasan di mana sokongannya adalah kuat. Keadaan Marcos yang mendahului yang lain ini adalah berasaskan sokongan yang hampir padu daripada dinasti politik – 71 daripada 81 orang Gabenor menyokong Marcos-Duterte. Ini boleh membawa kepada penipuan pilihanraya yang besar-besaran. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya telah menandatangani satu kontrak dengan syarikat F2 Logistics yang dimiliki oleh kroni Duterte, Dennis Uy, mengenai pengagihan mesin kiraan undi. Terdapat khabar angin tentang undi pra-lorek di Singapura. Semua ini akan berpihak kepada Marcos Jr.

Leni Robredo juga mendapat sokongan daripada beberapa dinasti politik. Peranan Amerika Syarikat sentiasa merupakan faktor politik di Filipina. Petunjuknya adalah kerajaan AS sekarang akan menyokong kemenangan Leni Robredo. Robredo sangat berhati-hati dalam menyerang kepentingan AS, seperti dalam hal dasar luar negeri, dengan kebanyakan kenyataannya adalah tentang menghormati perjanjian ketenteraan dengan AS dan sebagainya.

Kedua-dua belah juga cuba memikat pihak tentera, dengan Leni Robredo menyokong penerusan Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Menamatkan Konflik Bersenjata Komunis Tempatan, sekali gus menyokong pendekatan ketenteraan untuk menamatkan pemberontakan.

Walaupun Roberdo sendiri ialah seorang ahli politik yang bersih dan jujur, tetapi Parti Liberal ialah perkara yang berbeza, sibuk dalam memainkan semua kad yang berkaitan dengan politik tradisional, termasuk penipuan pilihanraya.

Kami telah ditanya sama ada kami akan menarik diri dan menyokong pencalonan Leni Robredo. Walau bagaimanapun, berkenaan dengan isu-isu platform utama kami, tiadanya asas untuk berbuat demikian. Malah dalam isu kesamarataan gender, Leni Robredo, satu-satunya calon Wanita, tidak menyokong pengesahan penceraian di sisi undang-undang atau penyahjenayahan pengguguran kandungan, sebagai contoh. Malah berkenaan peralihan ke tenaga karbon rendah, dia terbuka untuk mempertimbangkan pilihan tenaga nuklear. Greenpeace Filipina telah mempersoalkan pendiriannya mengenai memastikan “kerajaan mengintitusikan tindakan iklim sebagai dasar utama negara”, sementara menyokong platform kami mengenai cabaran kewujudan ini.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengurus Kempen PLM Sonny Melencio dalam satu temuramah media baru-baru ini, “Tidak pada tarik diri, Ya pada perpaduan di lapangan [menentang paksi kejahatan – Marcos-Duterte].”

Senario pasca-Pilihanraya

Kemungkinan untuk kemenangan Marcos-Duterte adalah besar. Strategi dan jentera yang beroperasi dalam Pilihanraya 2019 masih wujud untuk memastikan kemenangan mereka. Pada tahun 2019, aktiviti membeli undi secara besar-besaran telah melonjakkan harga satu undi ke PHP3,000 atau lebih, kerana sejumlah besar wang yang datang daripada calon nasional, kumpulan senarai-parti, perwakilan daerah, calon gabenor, sehingga ke datuk bandar tempatan. Jentera berminyak yang sama telah disediakan pada hari ini, ditambah pula dengan kesan sampan tunda tinjauan pendapat yang mahal dibayar. Kami perlu bersedia untuk bermobilisasi dalam menentang penipuan pilihanraya dan kemenangan rejim serigala ini. “Perpaduan di jalanan” akan menjadi penting dalam senario ini. Oleh sebab impak politik kempen kami, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk mencampurtangan dan memberi pengaruh secara politik. Perjuangan yang tidak dapat dielakkan sedang menanti.

(foto: PLM)

(Diterjemah oleh Sosialis.net daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris.)

==========

Reihana Mohideen ialah Ahli Majlis Nasional Parti Massa Buruh (PLM) Filipina dan Ketua Hubungan Antarabangsa PLM.

One thought on “Pilihanraya Filipina 2022: “Untuk politik baharu, untuk ekonomi baharu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *