Baru-baru ini, suasana di Semenanjung Korea menjadi semakin tegang, seolah-olah boleh berlakunya peperangan bila-bila masa. Tentera Amerika Syarikat telah mula memasang sistem peluru berpandu anti-balistik THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) di Korea Selatan, yang bertujuan untuk memintas peluru berpandu yang ditembak dari Korea Utara. Korea Utara pula sedang meneruskan usahanya membangunkan senjata nuklear dan menguji peluru berpandu, yang dianggap sebagai ancaman kepada sekutu Amerika Syarikat di Asia Timur, khususnya Korea Selatan dan Jepun.

Kenapa Semenanjung Korea seringkali timbul ketegangan yang mungkin tercetusnya lagi peperangan?

Adakah Korea Utara yang diperintah oleh Parti Pekerja Korea dengan Kim Jong-un sebagai pimimpin tertingginya pada masa kini, sebuah negara sosialis?

Untuk memahami konflik di Semenanjung Korea sekarang ini, kita perlu memahami sejarah Korea. Begitu juga kita perlu memahami sejarah untuk mengetahui kenapa boleh adanya Korea Utara yang berwajah sebegini pada hari ini.

Sejarah rakyat Korea menentang penjajahan

Sejarah rakyat Korea memang amat panjang dan kaya dengan cerita-cerita hebat. Namun, salah satu ciri utama dalam sejarah Korea adalah perjuangan rakyat Korea menentang ancaman kuasa-kuasa asing yang berlarutan untuk berabad-abad lamanya. Untuk ramai rakyat Korea, permusuhan antara Korea Utara dan Korea Selatan, pertembungan yang membawa kepada ketegangan pada hari ini, hanya merupakan satu lagi bab dalam kisah sejarah campurtangan kuasa asing yang berpanjangan.

Rakyat Korea yang tinggal di Semenanjung Korea, telah berjuang berabad-abad lamanya untuk membebaskan negara mereka daripada ancaman dan penaklukan negara-negara jirannya yang amat kuat, iaitu negara China dan Jepun. Walaupun negara China merupakan ancaman utama pada awalnya, tetapi dalam sejarah moden Korea, Jepun merupakan kuasa besar yang paling giat dalam menjajah Korea.

Penaklukan pertama oleh Jepun ke atas Korea berlaku seawal tahun 1592, tetapi usaha penaklukan tersebut telah digagalkan oleh penentangan daripada kerajaan Joseon (1392-1897) dan rakyat Korea dengan bantuan negara China. Dinasti Joseon telah mengambil pendekatan dasar tertutup untuk perdagangan luar selepas itu. Pada tahun 1636, tentera Qing Manchu menakluk Korea dan memaksa kerajaan Joseon untuk mengiktiraf kekuasaan dinasti Qing sebagai penaung serta membayar ufti kepada kerajaan dinasti Qing. Pada tahun 1866, tentera Perancis cuba menyerang Korea tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1871, Amerika Syarikat (AS) menyerang Korea tetapi gagal memaksa kerajaan Joseon membuka pintunya kepada perdagangan dengan AS. Tentera laut British pula menyerang dan menduduki Pulau Geomun yang terletak di luar persisiran selatan Semenanjung Korea, dari tahun 1885 hingga 1887.

Jepun yang telah melalui proses pemodenan yang cepat (semasa Zaman Meiji), iaitu pembentukan sistem ekonomi kapitalis, memaksa Korea membuka pelabuhannya pada tahun 1876. Jepun kemudiannya berjaya mengalahkan negara China dalam Perang China-Jepun Pertama (1894-1895), membolehkannya memperluaskan penguasaan ke atas Semenanjung Korea. Pesaing utama untuk Jepun di rantau Asia Timur Laut pada masa itu ialah Rusia, sehingga Jepun mengalahkan Rusia dalam Perang Jepun-Rusia (1904-1905). Pada tahun 1905, Jepun menjadikan Korea sebagai negeri di bawah naungannya melalui Perjanjian Eulsa. Kemudiannya pada tahun 1910, Jepun mengilhakkan Korea sepenuhnya. Semasa penjajahan Jepun, satu lapisan kecil elit dalam masyarakat Korea dijadikan tali barut untuk penjajah Jepun, sementara majoriti besar rakyat Korea dilayan seperti hamba abdi, yang dipaksa untuk menanam makanan, melombong mineral dan menghasilkan barangan murah untuk Jepun.

Penjajahan Jepun ke atas Korea mendapat tentangan hebat daripada rakyat Korea. Gerakan 1 Mac tercetus pada tahun 1919, apabila rakyat Korea mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran untuk menolak penjajahan Jepun. Namum, pemberontakan rakyat terhadap penjajahan Jepun telah dipukul secara zalim dan digagalkan.

Kemunculan gerakan komunis di Korea

Hasil daripada inspirasi Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917, pendukung gerakan anti-penjajah di Korea telah menubuhkan Parti Komunis Korea dalam satu mesyuarat sulit pada tahun 1925. Oleh sebab kerajaan penjajah Jepun mengharamkan parti-parti komunis, aktivis-aktivis Parti Komunis Korea terpaksa bergerak secara bawah tanah. Ramai aktivis Parti Komunis Korea pada peringkat awalnya telah dibunuh oleh kerajaan penjajah Jepun. Penindasan kejam oleh kerajaan penjajah memaksa gerakan komunis yang masih mentah itu mengangkat senjata untuk mempertahankan diri. Kerajaan penjajah Jepun telah melakukan serangan ketenteraan yang hebat ke atas revolusioner Korea, dan memaksa ramai revolusioner berundur ke sempadan di utara, iaitu wilayah Manchuria di China.

Namun, ratusan ribu rakyat Korea yang melarikan diri ke Manchuria tidak mendapat apa-apa perlindungan, kerana tentera imperialis Jepun semakin mara ke Tanah Besar China. Imperialis Jepun telah menggunakan keluarga diraja Dinasti Qing yang telah jatuh sebelum itu untuk menjadi bonekanya dalam menubuhkan Manchukuo (1934-1945), sebuah negara berkerajaan boneka di bawah penguasaan Jepun sepenuhnya.

Penentangan Korea terhadap penjajahan Jepun masih diteruskan, sama ada di Semenanjung Korea ataupun di Manchuria. Namun, komunis Korea yang berada di Manchuria, bukan sahaja diburu oleh tentera Jepun, tetapi juga sering diserang komunis China yang menganggap orang Korea sebagai golongan yang berkemungkinan bersubahat dengan pihak Jepun. Walaupun begitu, Internasional Komunis (Comintern) yang dikuasai puak Stalinis telah mengarahkan komunis Korea untuk patuh kepada kepimpinan Parti Komunis China. Oleh yang demikian, pejuang penentang Korea di Manchuria telah diletakkan di bawah kawalan Mao Zedong, walaupun hanya atas nama sahaja.

Kim Il-Sung merupakan salah seorang pemimpin utama kumpulan penentang Korea yang beroperasi di Manchuria. Kumpulan revolusioner bersenjata pimpinan Kim Il-Sung telah bertempur beberapa kali dengan pihak Jepun dan merupakan antara kumpulan gerila yang paling berjaya. Pada akhir tahun 1930-an, selepas serangan ketenteraan hebat oleh pihak Jepun, Kim Il-Sung dan kebanyakan pemimpin komunis Korea terpaksa berselindung di Siberia yang di bawah penguasaan Kesatuan Soviet. Kesatuan Soviet pada awalnya teragak-agak untuk berperang secara langsung dengan Jepun, maka tidak membenarkan komunis Korea menggunakan Kesatuan Soviet sebagai tapak untuk operasi bersenjata. Namun, selepas Kesatuan Soviet melancarkan perang ke atas Jepun pada bulan Ogos 1945, iaitu semasa penghujung Perang Dunia II, Kim Il-Sung dan pasukannya telah melintasi sempadan bersama dengan tentera Soviet untuk menawan Manchuria serta bahagian utara Semenanjung Korea, dalam tempoh masa beberapa minggu sebelum Jepun menyerah kalah.

Pembentukan Korea Utara

Selepas tamatnya Perang Dunia II, kuasa-kuasa besar dalam Pihak Berikat yang menang dalam peperangan telah memutuskan untuk memecahkan Semenanjung Koera kepada dua bahagian – di mana bahagian Utara akan diduduki oleh Kesatuan Soviet yang dikuasai Stalinis; dan bahagian Selatan akan diduduki oleh Amerika Syarikat. Pembahagian Semenanjung Korea ini dilakukan tanpa menanya kesudian rakyat Korea. Walaupun rakyat Korea telah berjuang secara bermati-matian untuk menentang pendudukan Jepun, tetapi pandangan mereka langsung tidak dipeduli selepas menang peperangan.

Kedua-dua pihak Kesatuan Soviet Stalinis dan Amerika Syarikat (AS) telah menubuhkan kerajaan boneka di kawasan naungan baru mereka. Di Korea Selatan, imperialis AS telah mendukung penubuhan kerajaan bersifat kediktatoran yang dipimpin oleh Syngman Rhee. Walaupun Korea Selatan (Daehan Minguk ataupun Republik Korea) ditubuhkan secara rasminya sebagai sebuah negara yang berdaulat pada tahun 1948, tentera AS masih mengekalkan penempatannya di Korea Selatan.

Di Korea Utara, Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) juga ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1948 dengan Kim Il-Sung sebagai Perdana Menteri pertamanya. Berbeza dengan AS yang menempatkan tenteranya di Korea Selatan, tentera Soviet telah berundur keluar dari Korea Utara tidak lama selepas itu, meninggalkan satu rejim baru yang dipimpin oleh Kim Il-Sung.

Rejim Kim Il-Sung amat menyerupai rejim Stalinis yang diwujudkan di Eropah Timur selepas Perang Dunia II. Walaupun rejim di Korea Utara pada masa itu kononnya merupakan “demokrasi rakyat” yang terdiri daripada pelbagai parti, di mana parti komunis hanyalah sebahagian daripada kerajaan gabungan parti-parti politik, namun pada hakikatnya, golongan Stalinis menguasai secara penuhnya dalam politik dan proses membuat keputusan. Parti-parti lain yang membentuk kerajaan Korea Utara, seperti Parti Chongdois Chongu dan Parti Demokratik Sosial, menjadi hanya sekadar perkakas yang dipamerkan, dengan sedikit autonomi dan langsung tidak berpengaruh dari segi politik. Dalam Parti Komunis Korea (yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Parti Pekerja Korea), Kim Il-Sung telah menghapuskan sesiapa yang dianggap sebagai pencabar politiknya, sehingga menguasai sepenuhnya parti dan kerajaan.

Selepas memperkukuhkan kuasanya, Kim Il-Sung telah membangunkan amalan kultus individu (iaitu mengagung-agungkan seorang individu) dengan mengangkat dirinya sebagai “Pemimpin Hebat”. Patung Kim Il-Sung didirikan dan disembah seperti berhala.

Walaupun rejim Stalinis pimpinan Kim Il-Sung di Korea Utara agak represif, namun Parti Komunis Korea masih mendapat sokongan yang meluas di Korea Selatan yang merupakan negara boneka imperialis Amerika Syarikat. Walaupun pihak Amerika Syarikat cuba sedaya upaya untuk mengharamkan dan menindas Parti Komunis, Parti Komunis masih terus berkembang dan mempunyai ratusan ribu anggota parti serta penyokong.

Perang Korea

Kim Il-Sung yang sudah menjadi pemimpin negara Korea Utara, bukannya penyokong yang paling kuat untuk penyatuan Korea dengan menggunakan cara ketenteraan. Malah, peranan memperjuangkan penyatuan Korea dimainkan oleh komunis di Korea Selatan, yang dipimpin oleh Pak Hon-Yong. (Namun, ironinya adalah Pak Hon-yong telah dihukum bunuh oleh rejim Kim Il-Sung dengan pertuduhan bahawa beliau merupakan pengintip AS, di mana ini merupakan sebahagian usaha Kim Il-Sung untuk menghapuskan pencabar politiknya.) Sejak tahun 1945, komunis di Korea Selatan telah mula mengorganisasi penentangan bersenjata di beberapa tempat. Gerila komunis ini telah melawan tentera AS dan menyerang tuan tanah yang pro-Jepun.

Kim Il-Sung di Korea Utara yang mendapat sokongan kuat daripada pemerintahan Stalin di Kesatuan Soviet, telah membangunkan kekuatan tenteranya dengan cepat. Pada tahun 1950, dalam cubaan untuk menyatukan semula Korea, tentera Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan. Pada masa yang sama, ratusan ribu rakyat Korea Selatan juga bangkit menentang pendudukan AS dan menyebabkan rejim Syngman Rhee hampir dijatuhkan. Syngman Rhee terpaksa melarikan diri dari Seoul, ibu negara Korea Selatan. Tentera AS juga hampir ditendang keluar dari Semenanjung Korea. Walau bagaimanapun, tentera AS berjaya menguasai satu sudut yang kecil di selatan Semenanjung, di sekitar bandar Busan.

Walaupun Korea Utara yang memulakan peperangan, namun usaha penyatuan Korea memang mendapat sokongan hebat daripada kebanyakan rakyat Korea. Rejim Syngman Rhee yang terdiri daripada ramai politikus yang pernah bekerjasama dengan penjajah Jepun, adalah amat tidak disukai rakyat. Kebangkitan rakyat yang hebat tercetus di Korea Selatan untuk menyokong serangan tentera Korea Utara, sementara itu terdapat ramai askar Korea Selatan yang berpaling tadah untuk menyokong Korea Utara. Rejim Syngman Rhee mampu bertahan dan memerintah hanya kerana adanya sokongan tentera AS.

Imperialis AS langsung tidak mempedulikan hasrat rakyat Korea untuk menyatukan negara mereka, malah Presiden AS Harry S. Truman dan jeneralnya mengerahkan bantuan kepada tentera AS yang terperangkap di Busan, dan kemudiannya melancarkan pendaratan amfibia secara besar-besaran di Korea Utara, memaksa tentera Korea Utara untuk berundur.

Di bawah nama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tentera AS telah disokong oleh tentera negara pro-imperialis yang lain (termasuk Britain, Afrika Selatan yang mengamalkan dasar apartheid, Perancis, Turki, Kanada, Australia, Belanda, Belgium dan sebagainya), untuk menyerang Korea Utara. Tentera PBB telah menggunakan bom napalm secara meluas dan melakukan pengeboman secara besar-besaran ke atas Korea Utara, mendatangkan kehancuran yang dahsyat kepada Korea Utara. Bandar-bandar di Korea Utara dimusnahkan, dengan seluruh kawasan kediaman diratakan. Puluhan ribu rakyat terbunuh dan ratusan ribu terpaksa menjadi pelarian.

Namun, kemaraan tentera imperialis yang menggunakan nama PBB telah disekat pada tahun 1951 apabila negara China mengerahkan tentera sukarelawannya untuk membantu Korea Utara. Tentera AS dan PBB terpaksa berundur balik ke selatan Semenanjung Korea, kembali ke garis sempadan yang berhampiran dengan sempadan asal. Perang Korea berlarutan sehingga tahun 1953 apabila satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani.

Berikutan Perang Korea, AS telah mencurahkan banyak sumber ekonomi kepada Korea Selatan untuk pembinaan semula negara, dan menyokong pemerintahan kediktatoran yang zalim di Korea Selatan. Pemerintahan diktator di Korea Selatan yang mendapat sokongan AS telah secara bersungguh-sungguhnya menindas gerakan pekerja, sosialis dan pelajar.

Korea Utara selepas Perang

Korea Utara pula dapat membina semula negaranya secara perlahan-lahan daripada kehancuran perang. Oleh sebab kebanyakan sumber mineral tertumpu di utara Semenanjung Korea, dan kebanyakan tapak industri yang dibina semasa penjajahan Jepun juga terletak di situ, Korea Utara mampu menggunakan kelebihan ini untuk memacukan ekonominya, dengan pertumbuhan dan output ekonomi yang lebih tinggi berbanding Korea Selatan sepanjang tahun 1950-an hingga ke 1970-an. Pada tempoh masa itu, standard kehidupan di Korea Utara lebih tinggi berbanding Korea Selatan yang sentiasa dibelenggui dengan ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi.

Dari segi hubungan luar, Korea Utara telah diasingkan dan dipulaukan oleh negara-negara yang bersekutu dengan Blok Barat selepas Perang Korea. Dengan negara-negara Blok Timur pula, Korea Utara telah bertindak secara berhati-hati dengan mengambil pendirian berkecuali dalam perbalahan antara Stalinis di Kesatuan Soviet dengan Parti Komunis China yang bermula sejak lewat tahun 1950-an.

Juche

Pada tahun 1955, Kim Il-Sung dan penyokongnya telah mengemukakan teori “Juche”, yang dijadikan ideologi negara Korea Utara secara rasminya. Fahaman Juche menekankan pada kebergantungan diri dan kemerdekaan tanpa mempedulikan kesannya. Ia mengagung-agungkan nilai autarki, iaitu sistem ekonomi yang tertutup dan tidak bergantung pada apa-apa bantuan luar ataupun perdagangan antarabangsa.

Fahaman Juche pada asalnya dikatakan sebagai tambahan kepada pemikiran Marxis dalam versi Korea, tetapi selewat-lewatnya pada tahun 1972, Kim Il-Sung telah menggantikan semua rujukan yang berkaitan dengan Marxisme-Leninisme dalam Perlembagaan Korea Utara dengan doktrin Juche. Rejim Korea Utara kemudiannya menggambarkan Juche sebagai satu fahaman yang lebih hebat untuk menggantikan Marxisme-Leninisme.

Walaupun rejim Korea Utara masih menggelar diri mereka sebagai sosialis, tetapi ia telah menolak sepenuhnya Marxisme dan Leninisme. Pendukung Juche mengatakan idea-idea ini merupakan konsepsi yang berasal dari Eropah dan tidak sesuai untuk Korea Utara. Pada dasarnya, Juche telah menjadi kerangka ideologi untuk sejenis bentuk Stalinisme yang mengambil pendekatan nasionalis sempit dan xenofobia.

Walau apa jenis nama yang digelarkan oleh dirinya sendiri, Korea Utara masih merupakan sebuah negara pekerja yang cacat dan diperintah oleh dinasti keluarga Kim (sesuatu yang bercanggah sepenuhnya dengan idea sosialis yang memperjuangkan kesamarataan). Walaupun sistem ekonomi kapitalis tidak lagi wujud di Korea Utara, tetapi golongan pekerja telah dinafikan kuasa mereka untuk mengawal masyarakat secara demokratik. Kuasa pemerintahan tertumpu dalam tangan segelintir kecil golongan birokrat di sekeliling Kim Il-Sung yang bersifat parasitik dan hanya menjaga kepentingan diri sendiri.

Krisis dan kebuluran

Apabila memasuki tahun 1980-an, Korea Selatan telah memintas Korea Utara secara ekonomi, tambahan pula dengan proses perjuangan untuk demokrasi yang semakin hebat di Korea Selatan. Kelas pemerintah di Korea Selatan berjaya menukarkan negara itu menjadi kuasa besar ekonomi serantau, dengan menindas pekerja secara zalim. Kapitalis Korea Selatan telah menggunakan kelebihan buruh murah, bantuan luar dari AS dan pelaburan Jepun, untuk menjadi pengeluar utama dalam bidang keluli, pembinaan kapal, pembuatan kereta dan elektronik.

Sementara itu, industri Korea Utara pula tidak mampu berkembang maju lebih daripada tahap teknologi tahun 1960-an. Korea Utara yang diasingkan di peringkat antarabangsa, situasinya menjadi lebih teruk lagi apabila kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Oleh sebab terputusnya pembekalan minyak yang disubsidi dari Kesatuan Soviet, Korea Utara yang kekurangan tenaga telah terjerumus dalam krisis yang serius. Banyak kilang berhenti operasi kerana kekurangan tenaga, dan menjadi kebiasaan untuk bekalan elektrik terputus. Pertanian juga terjejas kerana pengurangan pembekalan baja dan input bahan kimia lain yang dibekalkan oleh industri Korea Utara.

Lebih teruk lagi adalah Korea Utara dilanda bencana banjir dan kemarau yang berterusan pada tahun 1995. Makanan yang sudah berkurangan sejak awal tahun 1990-an akibat daripada krisis ekonomi, telah menjadi sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. Menjelang tahun 1996, Korea Utara telah mengalami bencana kebuluran yang serius. Adalah dijangkakan bahawa seramai 200,000 hingga 3 juta orang mati kebuluran antara tahun 1996 dan 1999.

Penyembahan individu yang tidak masuk akal

Kim Il-Sung yang memerintah Korea Utara sejak penubuhannya telah meninggal dunia pada tahun 1994. Anaknya, Kim Jong-Il, telah menggantikan tempatnya sebagai pemimpin tertinggi negara. Kim Jong-Il meneruskan legasi ayahnya dalam amalan kultus individu, yang mencapai ke tahap yang begitu keterlaluan dan tidak masuk akal, sehingga Joseph Stalin atau Mao Zedong pun tidak dapat setanding dengannya. Anak Kim Jong-Il, Kim Jong-Un, menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara selepas Kim Jong-Il meninggal dunia pada tahun 2011, dan meneruskan pemerintahan dinasti keluarga Kim di Korea Utara.

Kim Jong-Il telah mewarisi sebuah negara yang mengalami kehancuran ekonomi pada pertengahan tahun 1990-an. Respon Kim Jong-Il terhadap krisis tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada jentera tentera. Kim Jong-Il mengemukakan satu ideologi baru yang digelar Songun, yang bertujuan untuk menggantikan fahaman Juche yang lama. Fahaman Songun merupakan ideologi yang mengutamakan tentera dalam urusan negara dan pengagihan sumber. Fahaman Songun menganggap tentera, bukannya kelas pekerja, sebagai asas revolusioner untuk negara, dan semua sumber negara patut disalurkan kepadanya.

Ketegagan di Semenanjung Korea

Korea Utara mula mempercepatkan program nuklearnya pada pertengahan tahun 1990-an apabila Songun diperkenalkan. Pada masa itu juga, rejim Korea Utara meningkatkan penjualan senjatanya. Walaupun peluru berpandu buatan Korea Utara agak mundur mengikut standard moden, tetapi oleh sebab dijual dengan murahnya, maka Korea Utara menjadi salah satu pengeksport utama peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana semasa tahun 1990-an, dengan banyak senjata begini dijual kepada negara yang bermusuhan dengan AS, seperti Iran dan Syria.

Pembangunan industri nuklear dan pembuatan peluru berpandu, membuat imperialis AS berasa gerun. Kuasa imperialis yang sendirinya memiliki senjata nuklear memang tidak mahu melihat mana-mana negara Dunia Ketiga melengkapkan diri mereka dengan senjata yang mampu menghalang ancaman imperialis. Walaupun AS telah berpuluh tahun menyimpan senjata nuklear di Korea Selatan dan menempatkan kapal perangnya di rantau Asia Timur Laut, tetapi AS masih menunjukkan kepura-puraannya dalam mengecam pembangunan program nuklear di Korea Utara.

Ketegangan politik dan ketenteraan di Semenanjung Korea pada hari ini, merupakan lanjutan daripada sejarah pemecahan Korea oleh kuasa besar dan campurtangan kuasa imperialis di rantau Asia Timur.

Rakyat Korea telah berjuang menentang penceroboh dan penjajah untuk beratusan tahun, tetapi sering dinafikan hak untuk menentukan nasib bangsa mereka sendiri. Campurtangan kuasa imperialis hanya akan memburukkan keadaan. Rakyat Korea sama ada Utara dan Selatan, berhak menentukan nasib mereka sendiri dan memperjuangkan masa depan yang mereka inginkan tanpa campurtangan kuasa besar.

Secara ringkasnya,

  • Kewujudan Korea Utara dan Korea Selatan hari ini merupakan hasil daripada percaturan kuasa-kuasa besar pada zaman Perang Dingin dan berlarutan sehingga hari ini.
  • Korea Utara mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi Stalinis dalam bentuk dinasti keluarga Kim yang diwarisi mengikut talian darah (seperti dinasti diraja zaman feudal) dan mempunyai sifat nasionalis sempit malah xenofobia.

One thought on “Adakah Korea Utara itu sosialis?

  1. So do you stand up for North Korea against US-imperialist aggression then, since according to your assessment, North Korea is “not socialist” ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *