20190213 - nik.jpg

SEMENYIH, SELANGOR – 13 FEBRUARI 2019: Nik Aziz Afiq dinamakan sebagai calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih yang akan datang.

Pengumuman ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di pejabat PSM Semenyih pada hari ini.

Nik Aziz Afiq yang berumur 25 tahun, ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM. Beliau merupakan seorang aktivis muda yang aktif dalam kerja-kerja amal membantu masyarakat miskin dan juga giat dalam perjuangan masyarakat akar umbi. Sebagai pembantu khas di Pusat Khidmat PSM Semenyih dan bekerjasama secara rapat dengan S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan calon PSM di Semenyih untuk 3 kali, beliau telah mendapat banyak pengalaman dalam mengendalikan isu-isu rakyat setempat.

20190213.jpg
Foto oleh Raman Kutty / Makkal Oosai

“Kita perlukan suara semak-dan-imbang yang kuat dan lantang dalam Dewan Undangan Negeri Selangor… Namun kita tidak mahu pembangkang yang mempermainkan sentimen perkauman, kita tidak mahu pembangkang yang masih terpalit dengan skandal rasuah, kita perlukan pembangkang yang berprinsip dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan rakyat,” begitu katanya Nik Aziz Afiq dalam sidang akhbar pengumuman calon PRK Semenyih.

PRK Semenyih akan menyaksikan persaingan yang hebat, dan memang amat mencabar untuk PSM menang dalam PRK ini. Namun, dengan semangat sanggup melawan arus untuk menegakkan keadilan sosial, PSM bersedia untuk menghadapi cabaran ini dan menawarkan nafas baru untuk proses pembaharuan masyarakat kita.

20190213 - nik01.jpg
Foto oleh Raman Kutty / Makkal Oosai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *