IPOH: Petani-petani di negeri Perak nampaknya masih tidak berubah nasib mereka selepas pertukaran kerajaan di negeri tersebut. Petani-petani yang mengusahakan tanah tetapi tidak mendapat hakmilik tanah, telah menghadapi pengusiran paksa yang berterusan semasa zaman pemerintahan BN, tetapi situasi masih tidak berubah dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambilalih kuasa sejak bulan Mei 2018.
Sekumpulan petani dan penternak dari Tronoh telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 29 Januari 2019, dengan tuntutan pada Kerajaan Negeri Perak supaya menghentikan tindakan mahkamah pusingan kedua terhadap petani-petani dan penternak-penternak yang mengusahakan aktiviti pertanian dan penternakan di kawasan Tronoh. Turut hadir bersama dengan petani-petani semasa penyerahan memorandum ialah K. Kunasekaran (aktivis PSM yang juga merupakan Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak).
Seramai 8 orang petani dan penternak di Tronoh telah dikejutkan pada 15 Januari 2019 dengan notis tindakan mahkamah yang dikeluarkan oleh peguam yang mewakili Menteri Besar Incorporated (MBInc). MBInc milik sepenuh Kerajaan Negeri Perak ingin memulakan writ saman terhadap petani-petani di situ walaupun petani-petani berkenaan telah banyak kali meminta untuk perbincangan bagi penyelesaian masalah ini.
Petani-petani dan penternak-penternak di Tronoh telah diancam oleh pengusiran paksa sejak tahun 2012, semasa zaman pemerintahan BN. MBInc yang dikuasai BN pada masa itu telah memulakan tindakan mahkamah untuk mendapatkan pemilikan kosong di tanah yang sedang diusahakan oleh petani-petani tersebut. Kerajaan BN pada masa itu enggan berjumpa dan berdialog dengan para petani untuk mencari jalan penyelesaian. Setelah Pakatan Harapan mengambilalih kuasa pentadbiran di negeri Perak pada bulan Mei 2018, para petani telah meminta untuk perbincangan dengan kerajaan baru berkenaan dengan masalah ini.
Satu perjumpaan telah berlangsung pada 9 Julai 2018, antara Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, peguam MBInc dan pegawai MBInc dengan Dr, Jeyakumar Devaraj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), K. Kunasekaran (Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak) dan Ambiga Sreenevasan (peguam yang mewakili petani-petani dan penternak-penternak Tronoh). Wakil MBInc pada masa itu bersetuju untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah.
Ketika kes pengusiran telah ditunda untuk perbincangan di luar mahkamah dan para petani masih menunggu panggilan untuk mesyuarat daripada Pejabat Menteri Besar, MBInc melakukan tindakan mahkamah yang baru pula untuk mengosongkan tanah yang sedang diusahakan petani-petani. Petani-petani di Trohoh tertanya-tanya, kenapa Kerajaan Pakatan Harapan di Perak masih bertindak seperti Kerajaan BN sebelum ini?
Dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Besar Perak, petani-petani dan penternak-penternak Tronoh menuntut tindakan segera daripada Menteri Besar supaya:
- Mengarahkan MBInc untuk menghentikan proses tindakan mahkamah yang terbaru;
- Mengaturkan satu mesyuarat dengan semua pihak yang berkenaan untuk mencari penyelesaian;
- Memastikan tiada sebarang bentuk kekerasan dan pengusiran paksa berlaku pada petani-petani.
Kerajaan sepatutnya menghargai petani-petani yang mengusahakan tanah dan mengeluarkan makanan untuk kegunaan tempatan. Sekiranya petani-petani tempatan tidak dibela dan dilindungi hak untuk mengusahakan tanah, bagaimana kita boleh memastikan rakyat menikmati jaminan makanan yang mampan?