oleh C.P. Goh
Kontroversi baru-baru ini berhubung arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengenakan syarat ekuiti Bumiputera 30% bagi pusat tuisyen swasta, disusuli dengan keputusan membatalkannya selepas bantahan awam, mendedahkan kelemahan berterusan dalam perancangan dasar negara: mengutamakan mesej politik berbanding reformasi pendidikan yang sebenar.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor mengambil maklum penarikan balik syarat tersebut, di samping penjelasan terkini daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa dasar ekuiti kebangsaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi. Kekeliruan antara kementerian ini menyerlahkan jurang komunikasi dalam perancangan dasar serta kegagalan untuk memberi tumpuan kepada krisis ekonomi dan struktur sebenar yang dihadapi oleh sistem pendidikan kita.
1. Memperbaiki sekolah awam, bukan mendedahkan pengusaha kecil kepada hukuman
Pertumbuhan pesat pusat tuisyen swasta bukanlah puncanya; ia adalah simptom kepada sistem pendidikan awam yang berdepan masalah kualiti dan keyakinan. Ibu bapa daripada pelbagai lapisan masyarakat pekerja menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana kebimbangan yang berasas terhadap standard pengajaran di dalam kelas serta peperiksaan awam.
Keputusan PISA 2022 terbaharu oleh OECD secara jelas menunjukkan tahap keseriusan isu dalam pendidikan awam:
i. Matematik: Malaysia mencatatkan 409 mata (Purata OECD: 472)
ii. Membaca: Malaysia mencatatkan 388 mata (Purata OECD: 476)
iii. Sains: Malaysia mencatatkan 416 mata (Purata OECD: 485)
Hanya 41% pelajar Malaysia berumur 15 tahun mencapai tahap kecekapan minimum dalam Matematik. Berbanding mengawal struktur pemilikan pusat tuisyen kecil yang dikendalikan oleh pendidik tempatan, fokus utama KPM sepatutnya adalah meningkatkan standard pengajaran, mengurangkan saiz kelas, membaik pulih infrastruktur, dan mengembalikan keyakinan terhadap sekolah awam kebangsaan.
2. Realiti berasaskan kelas vs. pengalih perhatian dasar
Data demografi kebangsaan menunjukkan bahawa populasi Bumiputera merangkumi lebih 70% daripada warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun, kesusahan ekonomi tidak mengikut sempadan kaum:
i. Apakah rasional mewajibkan pemilikan ekuiti Bumiputera sekiranya ia tidak mengubah kandungan pengajaran di pusat-pusat tuisyen ini, memandangkan mereka mematuhi sukatan pelajaran yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)? Sama ada sesebuah perusahaan itu dimiliki 100% oleh bukan Bumiputera atau mempunyai 30% ekuiti Bumiputera, kurikulum dan kualiti pendidikan tetap sama.
ii. Adakah dasar yang dicadangkan ini hanya bertujuan untuk “mengagihkan kekayaan” dengan memperkayakan sekumpulan kecil elit perniagaan Melayu?
iii. Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah: apabila kadar kemiskinan dalam kalangan Bumiputera adalah yang tertinggi berbanding masyarakat India dan Cina, adakah golongan Melayu berpendapatan rendah mampu membayar yuran tuisyen?
Oleh itu, intervensi perlu dilakukan bagi memastikan pendidikan yang berkualiti dan mampu bayar dapat dinikmati oleh golongan miskin dan rentan.
Intervensi Berasaskan Kelas dan Membantu Golongan Miskin: Inisiatif ekuiti mestilah menangani ketidaksamaan berasaskan kelas (B40 dan M40 bawah) dan bukannya mengenakan kuota pemilikan kaum secara menyeluruh ke atas perusahaan kecil. Polisi pukul rata ke atas perniagaan mikro menimbulkan beban tanpa memberi sokongan bermakna kepada isi rumah Bumiputera berpendapatan rendah.
3. Teras utama untuk pendidikan kebangsaan
- Kaum tidak sepatutnya menentukan kualiti pendidikan.
- Wang tidak sepatutnya menentukan kualiti pendidikan.
- Setiap kanak-kanak Malaysia berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar, berkembang, dan berjaya.
Itulah standard yang sepatutnya menjadi ukuran kepada dasar pendidikan kita.
4. Hentikan pentadbiran berdasarkan dasar “U-Turn”
Memperkenalkan peraturan yang tidak praktikal hanya untuk membatalkannya beberapa hari kemudian— ditambah dengan kenyataan yang bercanggah antara agensi — menjejaskan kestabilan kawal selia dan kepercayaan awam. Kerajaan harus beralih daripada gimik politik jangka pendek yang bertujuan meraih undi kaum, dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada dasar progresif serta berstruktur yang memberi manfaat kepada seluruh kelas pekerja.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Selangor mendesak Kementerian Pendidikan untuk:
- Fokus kepada mandat teras pendidikan: Mengagihkan sumber untuk latihan guru, menaik taraf infrastruktur, penambahbaikan kurikulum, dan meningkatkan skor PISA.
- Melaksanakan dasar ekuiti berasaskan kelas: Memastikan sokongan kewangan dan pendidikan disalurkan khusus berdasarkan keperluan pendapatan isi rumah, tanpa mengira latar belakang etnik.
- Melibatkan pemegang taruh utama: Berunding dengan guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), serta pengusaha industri sebelum membuat pengumuman dasar yang terburu-buru.
Pendidikan adalah hak asas dan tonggak kepada mobiliti kelas pekerja. KPM mesti memastikan sekolah awam adalah kukuh dan berorientasikan kualiti agar ibu bapa tidak lagi terpaksa bergantung kepada pusat tuisyen luar.
==========
C.P. Goh ialah Timbalan Pengerusi PSM Selangor.
