
Rencana khas Hari Kesihatan Sedunia 2026
7 April setiap tahun disambut sebagai Hari Kesihatan Sedunia. Tarikh ini menandakan hari “kelahiran” Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Semasa persidangan untuk menubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan April 1945 di San Francisco, perwakilan dari negara Brazil dan Republik China mencadangkan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan kesihatan antarabangsa dan mengadakan sebuah persidangan untuk merangka perlembagaannya. Pada bulan Februari 1946, Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC) membantu dalam merangka perlembagaan untuk badan baharu itu. Perlembagaan WHO mula berkuat kuasa pada 7 April 1948 selepas 26 buah negara anggota PBB meratifikasinya.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) yang pertama mula bersidang di Geneva pada 24 Jun 1948, dengan kehadiran perwakilan 53 daripada 55 buah negara anggota WHO. Persidangan WHA yang pertama itu memutuskan untuk meraikan 7 April setiap tahun sebagai Hari Kesihatan Sedunia. Sambutan Hari Kesihatan Sedunia juga digunakan oleh WHO untuk menarik perhatian dunia tentang isu-isu kesihatan global yang penting.
Menurut Perlembagaan WHO, “Kesihatan ialah keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang menyeluruh, bukannya sekadar ketiadaan penyakit atau keuzuran. Menikmati taraf kesihatan tertinggi yang boleh dicapai ialah salah satu hak asasi bagi setiap manusia tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan politik, keadaan ekonomi atau sosial.”
“Kesihatan semua rakyat adalah asas kepada pencapaian keamanan dan keselamatan, serta bergantung kepada kerjasama sepenuhnya individu-individu dan negara-negara,” begitu tulisnya Perlembagaan WHO dalam mukadimahnya. “Pencapaian mana-mana negara dalam memajukan dan melindungi kesihatan adalah bernilai kepada semua.”
Kesihatan ialah hak asasi manusia yang tidak boleh dirampas, tidak boleh digadaikan dan tidak boleh diniagakan. Perkara 25 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyatakan bahawa “setiap orang adalah berhak kepada suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan dan pengawasan perubatan serta perkhidmatan sosial yang perlu, dan berhak kepada perlindungan ketika berlakunya pengangguran, kesakitan, ketidakupayaan, diperjandaan, keuzuran atau lain-lain kekurangan kehidupan dalam keadaan di luar kawalannya”.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan di mana-mana sebuah negara untuk memastikan rakyatnya menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Oleh sebab kesihatan itu hak asasi manusia, ia tidak harus dijadikan “komoditi” yang boleh diniagakan sewenang-wenang dan dipergunakan oleh badan-badan korporat untuk mengaut keuntungan. Namun, kerajaan Malaysia nampaknya kurang sedar tentang perkara ini.
Kerajaan Malaysia, sama ada semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) ataupun Kerajaan Perpaduan pada masa ini, sentiasa cuba melaksanakan dasar-dasar yang menjejaskan sistem kesihatan awam di negara kita. Pada masa ini, sistem kesihatan awam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah akibat kerajaan enggan meningkatkan belanjawan kesihatan awam ke paras yang sewajar.
Hospital awam di negara kita sedang menghadapi masalah kesesakan yang teruk, dengan masa menunggu yang panjang bagi pesakit-pesakit, sementara doktor-doktor dan kakitangan perubatan terpaksa menanggung beban kerja yang semakin berat sehingga boleh menjejaskan kesihatan diri mereka sendiri. Pengembangan sektor kesihatan swasta yang bermotifkan keuntungan pula memburukkan lagi masalah penghijrahan doktor pakar daripada sektor awam. Lebih-lebih lagi, kerajaan kita nampaknya begitu ghairah dalam mempromosikan “pelancongan kesihatan” yang membawa keuntungan lumayan kepada hospital swasta.
Salah satu punca utama kepada masalah yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam di negara kita hari ini ialah pendanaan yang tidak mencukupi. Perbelanjaan kesihatan awam di negara kita hanya kira-kira 2.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025. Ini adalah masih jauh lebih rendah daripada apa yang disarankan oleh WHO, iaitu 5% daripada KDNK bagi negara-negara sedang membangun dan negara-negara berpendapatan menengah atas.
Sebab kenapa kerajaan Malaysia gagal meningkatkan belanjawan kesihatan awam kepada paras yang sepatutnya adalah dasar ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan sejak zaman 1980-an. Untuk meningkatkan “daya saing” dalam pasaran kapitalis global dan menarik pelaburan asing, kerajaan Malaysia telah mengurangkan kadar cukai korporat daripada 40% daripada keuntungan syarikat pada tahun 1980-an kepada 24% pada masa ini. Pengurangan kadar cukai korporat sebegini telah mengurangkan hasil kerajaan secara ketara dan menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membiayai perbelanjaan sosial yang penting seperti kesihatan awam.
Tambahan pula, kerajaan Malaysia juga terus membiarkan perluasan hospital swasta yang kebanyakannya hanya mengutamakan keuntungan. Pertumbuhan sektor kesihatan swasta dipacukan lagi dengan dorongan kerajaan untuk pelancongan kesihatan, yang menarik warga asing yang kaya ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta. Perlu disedari bahawa doktor-doktor yang berkhidmat di dalam hospital swasta itu bukannya tiba-tiba jatuh dari langit atau diimport dari planet Marikh, tetapi “dipancing” daripada hospital-hospital awam yang sedia ada di negara kita dengan pelbagai habuan yang lumayan, asalkan hospital swasta itu dapat terus mengaut keuntungan. Setiap kali sebuah hospital swasta baharu dibina, bermakna puluhan orang doktor pakar akan berhijrah dari hospital awam ke situ, maka memburukkan lagi masalah kekurangan pakar dan kesesakan di hospital awam.
Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah penghijrahan doktor pakar dari sektor awam ke sektor swasta pula hanya sekadar merawat simptom tanpa mengubati punca penyakitnya. Punca sebenar masalah yang dihadapi di hospital awam sekarang ialah kekurangan peruntukan dana daripada kerajaan dan pengembangan hospital swasta yang tidak terkawal. Namun, kerajaan hanya merawat simptom penghijrahan doktor dari sektor awam ke swasta dengan memperkenalkan skim seperti Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh, yang kini diubah suai dan dijenamakan semula sebagai “Rakan KKM”.
Rakan KKM, yang dikatakan menawarkan perkhidmatan “ekonomi premium” di hospital awam kepada pesakit yang sedia membayar, akan mewujudkan sistem “dua darjat” dalam sektor kesihatan awam. Di bawah sistem “dua darjat” ini, mereka yang mampu bayar boleh mendapatkan perkhidmatan dengan lebih cepat, sementara mereka yang tidak mampu bayar terpaksa menunggu lebih lama lagi kerana berkemungkinan besar ramai yang mendapatkan perkhidmatan hospital swasta akan beralih kepada Rakan KKM atas pertimbangan caj yang lebih murah. Masalah kesesakan dan beban kerja kakitangan di hospital kerajaan masih tidak dapat diselesaikan.
Mungkin adanya sesetengah pembuat dasar dan ahli politik beranggapan bahawa hospital awam hanya untuk orang miskin, sementara hospital swasta diwujudkan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada orang kaya atau mereka yang mampu membeli insurans swasta. Pandangan sebegini telah menyimpang daripada konsep kesihatan sebagai hak asasi manusia yang sejagat.
Kesihatan sepatutnya merupakan perkhidmatan yang sejagat, iaitu setiap orang boleh mengakses dan menggunakannya apabila dia memerlukannya, tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. “Tiada masyarakat boleh secara sah menggelarkan dirinya bertamadun jika seorang yang sakit dinafikan bantuan kerana tidak mampu bayar,” kata Aneurin Bevan, Menteri Kesihatan Britain pada tahun 1940-an yang mengasaskan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di negara itu.
Untuk memastikan tiada orang ketinggalan dalam memperoleh perkhidmatan kesihatan sejagat yang berkualiti, sudah tentu sistem kesihatan itu tidak boleh diserahkan kepada ekonomi pasaran yang berasaskan persaingan untuk mengaut keuntungan. Kesihatan harus dibiayai sepenuhnya melalui dana awam yang dikumpulkan melalui sistem percukaian yang adil, iaitu sistem percukaian progresif yang mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi ke atas orang yang lebih kaya. Seorang yang mahakaya memang boleh menggunakan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti tinggi secara percuma, selagi dia memerlukannya, dan dia tidak patut berasa salah jika dia membayar cukai secara jujur; begitu juga dengan seorang yang miskin itu boleh mengakses perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti tinggi secara percuma, selagi dia memerlukannya, walaupun dia tidak membayar cukai pendapatan kerana pendapatannya yang terlalu rendah.
“Perkhidmatan Kesihatan yang percuma ialah contoh cemerlang bagi keunggulan tindakan kolektif dan inisiatif awam yang digunakan dalam segmen masyarakat di mana prinsip-prinsip komersial adalah dilihat paling teruk,” begitu tulisnya Aneurin Bevan.
Pandemik COVID-19, yang melanda seluruh dunia beberapa tahun dahulu dan meragut nyawa sekurang-kurangnya 7 juta orang, telah menunjukkan kepada dunia bahawa betapa pentingnya sistem kesihatan awam dalam melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat. Ia juga menunjukkan bahawa sistem kesihatan awam tidak boleh diserahkan ke dalam tangan korporat swasta yang mengutamakan keuntungan.
Kita perlu mempertahankan sistem kesihatan awam daripada terus dihakis oleh ekonomi kapitalis pasaran bebas. Hospital sepatutnya merupakan tempat yang boleh memberikan perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukannya tanpa mengira dia mampu bayar atau tidak. Hospital juga tidak patut dijadikan tempat untuk mengaut keuntungan. Oleh itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah melancarkan kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” dengan 4 tuntutan utama:
- Hentikan Skim Rakan KKM;
- Moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang;
- Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada 5% KDNK;
- Wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta.
Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.
Kesihatan ialah hak asasi manusia yang patut dinikmati oleh setiap orang tanpa mengira keadaan ekonominya. Kesihatan bukannya barangan untuk dijual beli di pasaran demi mengaut keuntungan lumayan. Jangan gadaikan hak asasi kita! Jangan berniaga dengan kesihatan kita!
