
KUALA LUMPUR – 15 FEBRUARI 2026: Ratusan orang turun berprotes di jalanan ibu negara pada hari ini untuk menggesa peletakan jawatan dan penangkapan Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam satu lagi skandal integriti baru-baru ini. Aksi protes ini juga menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang nampaknya masih mempertahankan kedudukan Azam Baki.
Aksi protes yang dianjurkan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki yang disokong oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil ini diadakan susulan pendedahan skandal pegangan saham yang membabitkan Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebelum ini, pernah tercetusnya protes pada bulan Januari 2022 yang menuntut tindakan terhadap Azam Baki kerana skandal pegangan saham juga. Namun, selepas kerajaan bertukar dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada bulan November 2022, Azam Baki masih kekal jawatannya malah kontrak perkhidmatannya disambung satu tahun demi satu tahun. Skandal yang membabitkan Azam Baki telah mewujudkan defisit kepercayaan terhadap badan penguatkuasaan yang sepatutnya melindungi integriti di negara kita.

Walaupun kerajaan mengumumkan keputusannya untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan yang melibatkan Azam Baki, keberkesanan jawatankuasa khas dengan kuasa yang terhad itu menjadi persoalan. Lebih-lebih lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjalankan siasatan jenayah terhadap Bloomberg, agensi berita yang menerbitkan artikel yang mendedahkan pegangan saham Azam Baki.
Wakil daripada pelbagai organisasi telah menyampaikan ucapan semasa perhimpunan “Tangkap Azam Baki 2.0” hari ini. Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang pernah memegang jawatan Menteri Ekonomi dalam Kabinet Anwar Ibrahim tetapi sekarang ini sudah kehilangan kuasa, juga hadir untuk menyampaikan ucapan yang menggesa Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan terhadap Azam Baki.
Turut hadir menyertai aksi protes pada hari ini ialah Muhammad Faisal Abdul Aziz yang merupakan Pengerusi BERSIH, Wong Chen selaku Ahli Parlimen Subang, Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa, Amira Aisya Abdul Aziz selaku Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, dan ramai lagi.

“Selagi sistem yang sedia ada hari ini, sistem yang memberi laluan kepada orang kaya raya dan elit dalam bisnes berada di katil yang sama dengan orang politik dan pegawai kanan, masih wujud, kita akan dapat banyak lagi Azam Baki,” kata Gandipan Nantha Gopalan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM. “Kita harus membina satu sistem yang berfungsi untuk rakyat. Kita harus membawa satu undang-undang yang melarang pegawai kanan kerajaan daripada main saham!”
Muhammad Faisal Abdul Aziz, Pengerusi BERSIH, memberi amaran bahawa himpunan yang lebih besar seperti himpunan BERSIH sebelum ini akan diadakan jika kerajaan tidak serius dalam menangani masalah rasuah.
Ahli-ahli politik dalam Kerajaan MADANI hari ini, termasuk Anwar Ibrahim, pernah kuat menentang rasuah semasa mereka menjadi pembangkang, khususnya skandal rasuah yang melibatkan Najib Razak sehingga dia dijatuhkan dan dihukum penjara. Namun, selepas lebih tiga tahun Kerajaan MADANI, negara kita masih dihantui oleh pelbagai skandal rasuah, malah orang yang dituduh rasuah masih memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Kegagalan dalam melakukan reformasi institusi yang bermakna dalam membanteras dan mencegah rasuah, sudah pasti akan menimbulkan kekecewaan dan kemarahan rakyat. Protes menentang rasuah pasti akan berterusan jika kerajaan masih tidak serius dalam isu ini.










