
(Latar belakang isu: Sebuah syarikat swasta telah menceroboh kawasan tanah adat masyarakat Orang Asli suku Jakun di Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Pahang. Syarikat dari luar itu menghalang penduduk-penduduk Orang Asli setempat daripada mengambil hasil sawit yang diusahakan oleh mereka sendiri. Oleh itu, pada 9 Februari 2026, penduduk-penduduk Orang Asli Kampung Jemeri cuba menanggalkan penghalang yang didirikan oleh syarikat swasta itu, tetapi tindakan mereka untuk mempertahankan tanah adat mereka telah dilayan dengan tangkapan polis. Setakat jam 7.30 malam, adalah dimaklumkan semua Orang Asli yang ditahan akan dibawa ke Balai Polis Tanjung Gemok, Kuala Rompin, untuk direman.)
oleh Aein Aneera
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis pada hari ini, 9 Februari 2026, yang telah menahan seramai 21 (dipercayai merupakan 17 wanita dan 4 lelaki) warga Orang Asli Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Pahang, yang mempertahankan hak tanah adat mereka daripada dicerobohi. Kami difahamkan bahawa sebuah syarikat swasta luar telah menceroboh tanah adat Orang Asli dan mengambil hasil sawit mereka. Sejurus penangkapan tidak adil ini, pihak polis juga telah merampas telefon bimbit mereka dan gagal memaklumkan tentang keberadaan mereka selepas ditahan. Setakat petang hari ini, mereka masih dalam tahanan dan belum ada apa jua berita mengenai status mereka.
Pihak syarikat swasta berkenaan secara tidak sah telah meletakkan penghalang besi di kawasan masyarakat Orang Asli di Kampung Jemeri dan menghalang mereka daripada melakukan aktiviti harian mereka di kawasan tersebut, yang juga merupakan kawasan punca ekonomi mereka.
Tindakan ini jelas melanggar hak masyarakat Orang Asli di Malaysia ke atas tanah adat mereka. Aktiviti pihak syarikat swasta di Kampung Jemeri ini akan menjejaskan pendapatan penduduk kampung pada jangka masa panjang dan akan datang.
Hak Orang Asli dan tanah adat mereka yang sepatutnya ditegakkan dan dihormati sebaliknya diancam dan dilanggar oleh pihak syarikat swasta ini dan turut dibantu oleh pihak polis dengan menghalang dan menahan seramai 22 orang penduduk Kampung Jemeri.
PSM dengan ini tegas menuntut pembebasan dengan segera semua 21 Orang Asli penduduk Kampung Jemeri yang ditahan secara tidak adil ini. Kami menegaskan bahawa warga kampung Orang Asli berhak mempertahankan tanah adat mereka. Justeru, pihak penguatkuasa harus memastikan hak tanah adat Orang Asli dipelihara tanpa dicerobohi oleh mana-mana pihak swasta.
==========
Aein Aneera ialah Ahli Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BAKO) Parti Sosialis Malaysia PSM (PSM).
