
oleh Muhamad Irfan
Pada 16 Januari lalu, pihak pengurusan Rapid KL telah menamatkan perkhidmatan untuk 16 laluan bas pengantara dan 3 laluan bas utama sebagai antara langkah ‘penstrukturan semula’ rangkaian bas dengan alasan bahawa jumlah penumpang bagi laluan-laluan tersebut adalah rendah serta wujudnya alternatif seperti perkhidmatan Rapid On-Demand di kawasan yang terjejas. Perkhidmatan Rapid On-Demand ini merupakan sebuah perkhidmatan demand-responsive transit (DRT) di mana kenderaan seperti van disediakan berdasarkan permintaan penumpang dalam lingkungan sebuah kawasan ataupun zon, tanpa laluan mahupun jadual yang tetap seperti perkhidmatan bas yang biasa. Ini bermakna, melalui aplikasi telefon, penumpang boleh menempah satu perjalanan dari satu tempat yang ditetapkan (lazimnya hentian-hentian bas sedia ada) ke destinasi mereka dalam satu zon yang sama pada bila-bila masa, dan sistem akan menyusun atur sebuah laluan yang lebih terus sambil mengambil kira tempahan lain jika ada, hampir seperti perkhidmatan e-hailing yang disediakan oleh Grab.
Namun, pengguna perkhidmatan Rapid On-Demand ini sering menghadapi beberapa masalah yang ketara. Antaranya, sebilangan besar penumpang kerap mengalami kesukaran untuk mendapatkan sebuah kenderaan bagi perjalanan mereka, terutamanya ketika waktu puncak. Van-van yang disediakan mempunyai kapasiti penumpang yang jauh lebih rendah berbanding bas, di mana setiap van hanya boleh memuatkan 10 orang pada satu masa. Disebabkan itu, jika permintaan tinggi seperti semasa waktu puncak dan bilangan van bagi sesebuah zon itu tidak mencukupi, banyak tempahan tidak akan dapat dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa DRT tidak sesuai dijadikan sebagai pengganti untuk bas laluan tetap terutamanya di kawasan bandar.
Selain itu, van yang terlibat sering mengalami kelewatan akibat faktor seperti kesesakan lalu lintas dan perjalanan yang ditetap semula secara sendiri untuk mengambil penumpang baru. Oleh itu, para penumpang terpaksa menunggu lebih lama dan tempoh perjalanan mereka juga menjadi tidak menentu, lebih-lebih lagi di zon yang sibuk seperti di pusat bandar ataupun mana-mana kawasan tumpuan lain.
Baru-baru ini pula, Prasarana telah mengumumkan bahawa mereka akan menyediakan 31 zon Rapid On-Demand baharu di Lembah Klang tetapi pada masa yang sama, bukan sahaja tambang perkhidmatan Rapid On-Demand akan dinaikkan daripada RM1 kepada RM2, malah tambang bagi perkhidmatan ini tidak lagi termasuk dalam pas-pas tertentu, terutamanya pas My50. Ini bermaksud pengguna pas My50 akan dikenakan tambang bagi setiap perjalanan seperti penumpang-penumpang lain.
Oleh itu, kami persoalkan sama ada pihak Prasarana dan Kerajaan Madani secara umum betul-betul serius untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat. Kami juga kesal dengan cara keputusan ini dibuat, tanpa apa-apa libat urus bersama pihak yang berkepentingan seperti penumpang harian, penduduk kawasan, mahupun pihak berkuasa tempatan. Strategi sebegini bukan sahaja akan membebankan kewangan pengguna, malah ia juga seakan ingin memaksakan perkhidmatan DRT sebagai tunjang pengangkutan awam di kawasan-kawasan yang terjejas, mengurangkan pilihan yang ada bagi pengguna pengangkutan awam khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Dari segi kos pula, mulai 1 Februari, pengguna tetap yang bergantung kepada perkhidmatan Rapid On-Demand terpaksa berbelanja sebanyak RM80 semata-mata untuk melengkapkan sambungan batuan pertama dan terakhir (first and last mile), misalnya dari rumah ke tempat kerja. Mereka perlu berbelanja sebanyak RM4 sehari untuk perjalanan pergi balik, dan mengambil kira ada lebih kurang 20 hari bekerja dalam sebulan, jumlah ini akan mencecah RM80, tambahan lagi RM50 untuk pas My50 memandangkan perkhidmatan ini tidak lagi diliputi oleh pas tersebut. Peningkatan kos yang mendadak ini sudah tentunya akan membebankan pengguna, terutamanya pengguna pas My50, dan mungkin juga akan menyebabkan segelintir pengguna beralih kepada kenderaan persendirian.
Jumlah penumpang yang rendah semata-mata bukanlah alasan yang wajar untuk menamatkan terus laluan-laluan bas yang terjejas tanpa alternatif yang boleh dipercayai. Pembatalan laluan-laluan tersebut secara unilateral merupakan satu pengkhianatan kepada penumpang-penumpang yang bergantung kepadanya walau sekecil mana pun bilangan mereka. Apa yang Prasarana sepatutnya lakukan sebaliknya adalah untuk memikirkan bagaimana untuk meningkatkan penggunaan laluan-laluan tersebut. Mungkin kekerapan bas yang disediakan tidak cukup menarik bagi menarik lebih ramai penumpang. Mungkin tempoh perjalanan mengambil masa yang panjang disebabkan laluan yang berliku. Mungkin juga kerana kemudahan asas seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki di sepanjang laluan-laluan tersebut tidak selamat mahupun memuaskan.
Oleh itu, tambahan kepada tuntutan-tuntutan yang kami kemukakan sebahagian daripada #KempenMy30, kami juga menggesa Prasarana untuk:
- Menilai semula keputusan untuk membatalkan laluan-laluan bas yang berkenaan dan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan.
- Meningkatkan kekerapan bas secara umum untuk menarikkan lebih ramai penumpang.
- Menyediakan perkhidmatan DRT (Rapid On-Demand) sebagai tambahan kepada rangkaian sedia ada, BUKAN untuk menggantikan sebahagian rangkaian tersebut.
- Memasukkan semula perkhidmatan DRT dalam liputan pas My50.
Selain itu, kami juga mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah badan atau agensi yang bersepadu untuk pengangkutan dan perancangan bandar, seperti Land Transport Authority di Singapura. Badan ini boleh melibatkan pakar mobiliti, perancang bandar, akademik, arkitek, pihak majlis tempatan dan lain-lain, supaya semua keputusan tentang bas, tren, DRT, jalan, dan perancangan bandar dibuat secara menyeluruh dan tersambung. Pada masa ini, semua ini masih terbahagi kepada pelbagai pihak berlainan (cth: MOT, KKR, PBT) dan akibatnya, keputusan yang dibuat sering tidak mengutamakan keperluan pengguna.
Badan bersepadu ini perlu diberikan mandat untuk menyelaras dasar merentas semua sektor. Antara skop peranannya termasuk:
- Menetapkan hala tuju negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dengan mengalihkan perjalanan harian ke arah pengangkutan awam dan mobiliti aktif (berjalan kaki dan berbasikal).
- Menyelaraskan pelaburan infrastruktur supaya pembinaan jalan dan pembangunan bandar menyokong sistem bas dan tren.
- Membentuk pembangunan bandar yang lebih berorientasikan transit.
Pengguna pengangkutan awam berhak untuk menuntut perkhidmatan yang selamat, menyeluruh, boleh dipercayai dan berpatutan; bukan sistem yang membebankan dan tidak menentu. Kami menyeru Prasarana dan kerajaan untuk bertindak segera dengan tidak bergantung kepada penyelesaian palsu seperti menggantikan bas berlaluan tetap yang sedia ada dengan DRT dan jangan menaikkan tambang sewenang-wenangnya. Kami mendesak sepenuhnya untuk kerajaan mengutamakan rakyat dalam setiap keputusan berkenaan pengangkutan awam.
Pengangkutan awam yang bagus adalah hak semua rakyat!
==========
Muhamad Irfan ialah ahli Jawatankuasa Kempen My30.
==========
Sumber:
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2511122
https://www.sinarharian.com.my/article/764661/berita/nasional/rapid-on-demand-laksanakan-struktur-tambang-tetap-rm2-mulai-1-februari
https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2026/01/20/on-demand-shuttle-service-to-expand-with-53-new-zones
https://x.com/askrapidkl/status/2010180686892937692
https://x.com/askrapidkl/status/2013128436315738448
