
oleh S. Arutchelvan
Pada ketika suasana politik yang riuh-rendah dan penuh sandiwara di Parlimen, sebuah rang undang-undang yang sangat penting, yang akan memperbaiki kehidupan jutaan pekerja Malaysia, telah diluluskan. Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, yang memperluaskan perlindungan PERKESO kepada 24 jam sehari bagi semua pencarum, menandakan kemajuan bersejarah dalam perlindungan sosial.
Pembaharuan ini merupakan kemenangan besar bagi golongan pekerja. Ia menyediakan perlindungan komprehensif yang merangkumi kemalangan dan kecederaan yang berlaku di luar waktu bekerja. Ia akan memanfaatkan kira-kira 10 juta orang pekerja formal.
Sudah bertahun-tahun lamanya PSM memperjuangkan isu ini, memfailkan rayuan dan mengetengahkan kes-kes di mana pekerja-pekerja secara tidak adil dinafikan perlindungan hanya kerana kemalangan itu berlaku pada hujung minggu atau di luar laluan perjalanan ulang-alik tempat kerja mereka yang biasa. Perubahan ini telah lama tertangguh, dan kami memuji kerajaan kerana akhirnya menggubalnya menjadi undang-undang.
Pada 25 Oktober 2023, PSM menyerahkan memorandum kedua kami kepada PERKESO, yang menyenaraikan 11 cadangan pembaharuan yang penting. Perkara yang paling penting dalam senarai itu ialah perlindungan 24 jam kepada semua pekerja. Kami menyampaikan memorandum itu secara langsung kepada John Riba Anak Marin selaku Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO pada masa itu, yang mengakui bahawa pihak Kementerian sedang berusaha ke arah yang sama.
Oleh itu, kami amat berterima kasih kepada Steven Sim selaku Menteri Sumber Manusia atas usahanya yang gigih dalam memastikan RUU ini diluluskan dengan berjayanya di Dewan Rakyat.
Menurut laporan PERKESO, antara tahun 2018 dan 31 Ogos 2025, sejumlah 26,865 kes tuntutan telah ditolak – dengan banyak disebabkan oleh peraturan perlindungan berasaskan masa dan tempat yang terhad. Pindaan ini akan mencegah ketidakadilan sebegini daripada terus berlaku. Harapan kami sekarang adalah Kementerian Sumber Manusia boleh mendapat sokongan kewangan dan pentadbiran yang mencukupi untuk melaksanakan perlindungan yang diperluaskan ini secara berkesan dan tidak ditangguhkan lagi.
PERKESO, yang ditubuhkan pada 1971 semasa Perdana Menteri pertama yang bersikap demokratik sosial Tun Abdul Razak Hussein, melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, kekal sebagai salah sebuah institusi yang paling penting di negara kita. Selama lebih lima dekad yang lalu, ia telah berfungsi sebagai jaringan keselamatan yang kritikal bagi pekerja-pekerja. Kita sering bimbang bahawa kecenderungan neoliberal mungkin melemahkannya atau meminggirkannya. Perluasan perlindungan ini mengesahkan semula misi terasnya.
Sumbangan PERKESO sangat besar. Dananya, yang dibina daripada keringat dan caruman pekerja-pekerja, harus dijaga secara teliti. Sehingga tahun 2023, asetnya berjumlah RM34.4 bilion – satu amanah milik pekerja-pekerja Malaysia dan harus diuruskan dengan penuh integriti serta menepati matlamatnya.
PSM mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas pencapaian perundangan yang penting ini. Kami menggesa PERKESO untuk terus berkembang – untuk memperluaskan perlindungannya kepada pekerja-pekerja gig, pekerja-pekerja sektor tidak formal dan semua orang yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi tetapi dikecualikan daripada jaringan keselamatan formal.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
