
oleh Choo Chon Kai
Mageswaree A/P Muniyandy, Moorthi A/L Rajoo dan Marimuthu A/L Karuppen ialah pekerja pembersihan sebuah sekolah rendah di Lunas, Kedah, yang diupah oleh syarikat kontraktor yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan sekolah daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Tugas mereka ialah membersihkan dan memastikan kebersihan premis sekolah di mana mereka bekerja. Mereka bekerja 8 jam sehari dan 6 hari seminggu. Mereka hanya menerima gaji yang dibayar mengikut kadar gaji minimum semasa. Mereka mula bekerja di sekolah tersebut pada bulan Mac 2020.
Pada 31 Disember 2021, tiga orang pekerja ini diberitahu oleh pihak majikan bahawa mereka diberhentikan kerja kerana kontrak mereka tidak diperbaharui. Mereka diberitahu bahawa kontrak mereka tidak diperbaharui kerana isu pertikaian dalaman di tempat kerja sebelum itu. Namun, tiada sebarang proses yang sewajar, seperti pengeluaran surat tunjuk sebab dan sesi siasatan dalaman, dibuat oleh pihak majikan sebelum memberhentikan kerja mereka. Oleh itu, Mageswaree, Moorthi dan Marimuthu diberhentikan kerja tanpa alasan yang kukuh.
Tiga orang pekerja yang diberhentikan kerja ini telah memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan Kedah/Perlis pada 5 Januari 2022 di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan untuk menuntut pemulihan kerja. Mereka mempertikaikan alasan “tamat tempoh kontrak perkhidmatan” yang digunakan oleh pihak majikan untuk memberhentikan kerja mereka. Antara sebabnya:
- Pihak majikan yang mengupah mereka pernah memperbaharui kontrak perkhidmatan kedua-dua orang pekerja ini secara automatik pada tahun 2021. Ini telah memberikan satu harapan yang sah kepada ketiga-tiga orang pekerja ini bahawa kerja mereka akan berterusan dan mereka akan disambung kerja pada tahun 2022. Mereka diberhentikan kerja dengan alasan tamat tempoh kontrak perkhidmatan hanya kerana wujudnya permasalahan dalaman di tempat kerja. Pihak majikan tidak membuat siasatan yang sewajar dan betul mengenai masalah tersebut, sebaliknya terus memberhentikan kerja Mageswaree dan Moorthi dengan alasan kontrak perkhidmatan mereka tidak akan diperbaharui. Mageswaree dan Moorthi digantikan dengan pekerja yang lain oleh syarikat yang sama di tempat kerja yang sama.
- Pihak majikan yang mengupah mereka telah menyalahgunakan kontrak perkhidmatan bertempoh terhad. Kerja pembersihan di sekolah ialah kerja yang tetap, iaitu kerja yang perlu sentiasa dilakukan selagi sekolah itu masih beroperasi, bukannya kerja sementara, kerja sekali habis ataupun kerja bermusim. Dalam kes pekerja pembersihan sekolah seperti Mageswaree dan Moorthi ini, kontrak perkhidmatan bertempoh terhad telah disalahgunakan untuk membolehkan pihak majikan memberhentikan kerja pekerja sesuka hati dengan alasan tamat tempoh kontrak. Pada masa itu, syarikat yang memberhentikan kerja mereka itu masih memegang kontrak perkhidmatan pembersihan di sekolah yang sama dan perkhidmatan pembersihan masih diperlukan di sekolah tersebut. Pekerja-pekerja lain yang diupah oleh syarikat ini masih bekerja di situ.
Kes menuntut pemulihan kerja mereka di Jabatan Perhubungan Perusahaan telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan. Kes ini telah didengar di Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang pada 11 dan 12 September 2023. Mahkamah Perusahaan kemudiannya memberikan keputusan pada 13 Februari 2024 yang menolak tuntutan mereka untuk dipulihkan kerja, dengan alasan bahawa kontrak bertempoh terhad itu adalah sah.
Ketiga-tiga orang pekerja telah merayu untuk mencabar keputusan Mahkamah Perusahaan itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dan pendengaran kes diadakan pada 20 November 2025.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berpendirian bahawa kerja pembersihan di sekolah ialah kerja tetap yang harus mempunyai perlindungan keterjaminan kerja. Namun, sistem kontrak bertempoh terhad yang bersifat sementara terus digunakan dalam amalan pengupahan pekerja-pekerja pembersihan di sekolah. Inilah isu yang paling utama yang sedang dicabar oleh ketiga-tiga pekerja ini dalam kes tuntutan mereka di mahkamah.
Pekerja-pekerja pembersihan yang berpendapatan rendah telah dimangsakan dan dimiskinkan di bawah sistem kontrak sementara. Oleh itu, PSM dan JPKK menyeru kerajaan supaya menghapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap di premis-premis kerajaan, dan menjadikan semua yang melakukan kerja-kerja ini sebagai pekerja tetap yang menikmati keterjaminan kerja dan kebajikan pekerja yang sewajarnya.
==========
Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.
