
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan pengumuman dalam Belanjawan 2026 bahawa seramai 4,500 orang doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada tahun depan. Langkah ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan sejak tahun 2023 yang telah menyerap lebih 12,900 orang doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap dan meluluskan 1,500 jawatan tambahan sebelum ini.
PSM menyambut baik usaha ini dan ingin menyokong tuntutan Hartal Doktor Kontrak agar kerajaan melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan satu mekanisme penyerapan automatik bagi doktor kontrak selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu. Penyerapan tetap ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk belas kasihan. Penyerapan tetap ini akan memberi satu keyakinan untuk doktor kontrak untuk terus bersama KKM dan perkhidmatan awam.
Pada masa yang sama, PSM mendesak agar kerajaan mengaplikasikan semangat yang sama kepada pekerja kontrak yang berkhidmat di bangunan-bangunan kerajaan seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan tukang kebun.
Golongan pekerja ini kini menjadi mangsa kepada sistem kontrak yang meletakkan mereka di bawah syarikat-syarikat swasta melalui sistem tender 2 atau 3 tahun sekali. Akibatnya, mereka tidak mempunyai keterjaminan kerja, sering menjadi mangsa eksploitasi kontraktor dan tidak menikmati sebarang peningkatan gaji atau faedah walaupun telah berkhidmat bertahun-tahun di lokasi sama. Sistem ini jelas memiskinkan lagi golongan B40 dan menjadikan pekerjaan mereka tidak stabil walaupun kerja yang dilakukan adalah bersifat tetap dan berterusan.
Sebagai majikan sebenar kepada pekerja-pekerja ini, kerajaan perlu menunjukkan teladan kepada sektor swasta. PSM menegaskan bahawa kerajaan perlu menghapuskan sistem kontrak ini dan mengembalikan semula kaedah pengambilan pekerja secara langsung di bawah kerajaan sebagaimana sistem yang diamalkan sebelum dasar penswastaan diperkenalkan.
Sebagai langkah pertama, kerajaan boleh mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan satu pelan menyeluruh bagi menyerap pekerja kontrak di bangunan kerajaan ke dalam skim perkhidmatan sedia ada. Ini akan memastikan kualiti dan akauntabiliti perkhidmatan kerajaan terus terpelihara.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).