
Madagaskar telah dilanda gelombang protes yang diterajui oleh golongan anak muda baru-baru ini sehingga Presiden Andry Rajoelina terpaksa membubarkan kerajaan untuk meredakan keadaan.
Gelombang protes yang terbesar sejak tahun 2009 di negara Madagaskar ini tercetus pada 25 September 2025 di Antananarivo, ibu negara Madagaskar, kerana kemarahan rakyat terhadap masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang menyusahkan rakyat. Pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk cuba mematahkan aksi protes di jalanan, termasuk tembakan gas pemedih mata malah peluru hidup. Pihak berkuasa mengenakan perintah kurang dan melakukan penangkapan besar-besaran. Keganasan pihak berkuasa telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.
Madagaskar ialah sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindia dan berhampiran dengan benua Afrika, dengan jumlah penduduk hampir 32 juta. Ia merupakan salah sebuah negara yang termiskin di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita hanya AS$545 (kira-kira RM2,300) pada tahun 2024 mengikut anggaran Bank Dunia, iaitu hanya kira-kira 5% KDNK per kapita Malaysia. Kadar kemiskinan negara itu mencecah 80% pada tahun 2024.
Gelombang protes terbaru di Madagaskar ini telah mencabar kekuasaan Andry Rajoelina, Presiden Madagaskar yang telah mendominasi arena politik negara itu sejak tahun 2009 dan dipilih semula pada tahun 2023 dengan banyak parti pembangkang memboikot pilihan raya.
Pada 29 September 2025, dengan aksi protes semakin hebat di jalanan, Andry Rajoelina mengumumkan bahawa dia akan membubarkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Christian Ntsay. Namun, Ntsay masih memegang jawatan Perdana Menteri kerajaan penjaga sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik oleh Presiden Rajoelina.
Keadaan politik di Madagaskar sering dilanda ketidakstabilan. Andry Rajoelina mengambil alih kuasa sebagai Presiden pada tahun 2009 selepas rampasan kuasa semasa krisis politik yang berlaku pada masa itu. Rajoelina tidak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2013 untuk memberi laluan kepada Hery Rajaonarimampianina, tetapi kembali berkuasa sebagai Presiden selepas menang dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2018. Dia menang lagi dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2023 yang diboikot oleh parti-parti pembangkang utama.
Kegagalan Andry Rajoelina dalam menangani masalah kemiskinan, tambahan pula dengan gangguan bekalan elektrik dan air yang sering berlaku, telah mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat yang meluas terhadap pemerintahannya. Rakyat Madagaskar, terutamanya penduduk-penduduk kawasan bandar, tidak berpuas hati dengan masalah tadbir urus kerajaan yang tidak cekap, korupsi dan kelemahan dalam memberikan perkhidmatan awam yang asas.
Pembubaran kerajaan oleh Andry Rajoelina nampaknya lebih kepada cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat, bukannya untuk melakukan pembaharuan struktur yang bermakna supaya menangani kemelut rakyat Madagaskar. Rajoelina berkata bahawa dia sudi berdialog dengan golongan anak muda untuk mencari penyelesaian. Namun, ramai orang menegaskan bahawa Rajoelina harus meletak jawatannya sebagai Presiden.
Protes juga merebak ke bandar-bandar lain di luar Antananarivo. Kesatuan-kesatuan pekerja juga menyertai protes dan menyeru untuk mengadakan aksi mogok. Penyokong-penyokong Rajoelina pula menganjurkan aksi protes balas tetapi mendapat sambutan dingin. Sekali lagi, Madagaskar berada di persimpangan sejarah yang bergelora.
Gelombang protes di Madagaskar merupakan sebahagian daripada gelombang Gen Z yang melanda beberapa buah negara baru-baru ini, termasuk Filipina, Indonesia, Maghribi dan Nepal.