(foto: Marco Merlini)

Tindakan tentera Zionis Israel memintas Flotila Sumud Global (GSF) dan menahan anak-anak kapal misi kemanusiaan itu telah mencetuskan gelombang protes bersolidariti bersama Palestin di seluruh dunia. Salah satu gerakan protes yang terbesar dapat ditemui di Itali apabila pekerja-pekerja di negara itu melancarkan mogok besar-besaran pada 3 Oktober 2025.

Pada 3 Oktober 2025, lebih 2 juta orang turun di jalanan untuk menyertai aksi perarakan yang diadakan di lebih 100 buah bandar di seluruh negara Itali. Konfederasi Umum Buruh Itali (CGIL), gabungan kesatuan pekerja yang terbesar di Itali, melancarkan mogok umum sehari untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin di Gaza, menyuarakan sokongan mereka kepada Flotila Sumud Global dan mendesak supaya menghentikan genosid terhadap rakyat Palestin.

Aksi mogok dan protes besar-besaran telah melumpuhkan hampir seluruh negara Itali. Aktiviti-aktiviti di pelabuhan, stesen kereta api dan lapangan terbang dihentikan separa atau sepenuhnya. Persekutuan Pekerja-pekerja Logam (FIOM) melaporkan penyertaan yang memberangsangkan dalam kalangan pekerja-pekerja sektor logam dan kejuruteraan, dengan kadar penyertaan mogok mencecah lebih 80% di sesetengah syarikat. CGIL melaporkan bahawa kadar penyertaan mogok keseluruhan adalah kira-kira 60%.

Ratusan ribu orang pekerja, termasuk guru, pekerja kesihatan, pemungut sampah dan sebagainya, meninggalkan tempat kerja mereka untuk menyertai aksi demonstrasi. Pihak berkuasa Itali mengisytihar mogok itu melanggari undang-undang kerana tidak diberi notis 10 hari, namun pengisytiharan itu gagal membendung pekerja-pekerja daripada bermogok.

Lebih 300,000 orang turun berprotes di jalanan Rom, ibu negara Itali; kira-kira 100,000 orang berprotes di Milan; 50,000 orang berprotes di Napoli; 25,000 orang berdemonstrasi di Venice; dan kira-kira sejumlah 150,000 orang berprotes di beberapa buah bandar di Pulau Sicilia.

Apa yang berlaku pada 3 Oktober 2025 di Itali merupakan sesuatu yang jarang sekali berlaku sebelum ini, iaitu aksi mogok politik besar-besaran yang mengangkat semangat solidariti antarabangsa dan menentang imperialisme. Ini sesuatu yang memberangsangkan dan memberi inspirasi kepada gerakan pekerja di merata tempat di dunia.

Pemimpin-pemimpin CGIL sebenarnya dipaksa oleh anggota-anggota akar umbi untuk memanggil aksi mogok umum selepas gerakan massa yang melibatkan ratusan ribu orang pekerja dan anak muda tercetus pada bulan September 2025. Kesatuan Sekerja Asas (USB), sebuah kesatuan pekerja yang lebih kecil, telah menganjurkan aksi mogok besar-besaran pada 22 September 2025 dengan slogan “Blocchiamo Tutto!” (Jom sekat semua!) dan memberi tekanan kepada kesatuan pekerja yang lebih besar untuk melakukan perkara yang serupa. Slogan “Blocchiamo Tutto!” mendapat ilham daripada gerakan “Bloquons tout” (Jom sekat semua) di Perancis yang tercetus untuk membantah tindakan kerajaan Perancis yang memotong perbelanjaan awam.

Golongan anak muda telah menjadi barisan hadapan dalam mobilisasi dan hadir dalam jumlah yang besar. Mereka beraksi secara bersama dengan golongan pekerja dan rakyat biasa. Maurizio Landini, Setiausaha Agung CGIL, juga memberi penghargaan kepada penyertaan golongan anak muda yang luar biasa itu.

Gelombang protes yang hebat ini merupakan manifestasi kemarahan rakyat terhadap pelbagai masalah yang timbul daripada krisis kapitalis, termasuk peperangan, genosid di Gaza, jurang kekayaan yang semakin melebar, korupsi, kemusnahan alam sekitar, penghakisan hak demokratik dan sebagainya. Ia juga mencabar kekuasaan kerajaan pemerintah di Itali yang diterajui Perdana Menteri Giorgia Meloni yang berhaluan pelampau kanan.

Salah satu ciri penting dalam gerakan protes terbaru di Itali ialah tindakan langsung oleh pekerja-pekerja pelabuhan yang enggan mengendalikan kargo yang dihantar dari dan ke Israel. Mereka bertindak melalui aksi mogok dan mobilisasi massa dari luar. Ini mewujudkan satu contoh yang dapat dilakukan oleh pekerja-pekerja pelabuhan yang lain. Mogok umum di Itali yang menentang genosid terhadap rakyat Palestin ini memberi inspirasi kepada pekerja-pekerja dan golongan anak muda di seluruh dunia. Ia menunjukkan jalan ke hadapan untuk gerakan solidariti Palestin: mogok, tindakan langsung beramai-ramai dan sekatan terhadap segala-galanya. Lebih-lebih lagi, kaedah perjuangan sebegini penting untuk dilakukan oleh golongan pekerja di negara-negara yang masih mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel. Kaedah ini juga boleh digunakan oleh gerakan pekerja dan anak muda dalam perjuangan untuk kesejahteraan masyarakat keseluruhan.

Selain Itali, aksi protes bersolidariti bersama Palestin juga tercetus di banyak tempat di Eropah pada 4 Oktober 2025. Di Sepanyol, 400,000 orang berarak di Madrid, 300,000 orang berdemonstrasi di Barcelona, 100,000 orang berprotes di Valencia, 90,000 orang turun ke jalanan di Pamplona, dan puluhan ribu orang lagi orang menyertai aksi protes di hampir 100 buah bandar lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *