
oleh R Saratbabu Raman
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam pendekatan Kerajaan MADANI yang terus memperkenalkan pelbagai skim untuk mengurangkan simpanan KWSP. Kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan skim seperti i-Lestari, i-Sinar dan pengeluaran khas RM10,000 semasa negara kita dilanda pandemik COVID-19. Kini Kerajaan MADANI memperkenalkan pula i-Lindung yang dikatakan menawarkan insurans perlindungan pekerja. Tambahan pula, akaun ketiga telah diwujudkan untuk pengeluaran fleksibel di mana sebahagian kecil simpanan KWSP akan dimasukkan ke akaun ini dan pencarum boleh terus mengeluarkan simpanannya bila-bila masa daripada akaun ini. Semua skim ini dikatakan akan membantu pekerja dengan wang simpanan pekerja, tetapi hakikatnya tidak menyelesaikan akar permasalahan sebenar — iaitu keruntuhan sistem perlindungan sosial negara yang terlalu bergantung kepada caruman pekerja sendiri.
Sebarang usaha kerajaan dalam memudahkan pengeluaran KWSP hanya akan memiskinkan lagi pekerja pada hari tua. Sementara kerajaan terus mempromosikan inisiatif pembiayaan diri (self‑financing), realiti yang sebenar masih disorok — dan data KWSP terkini bukti menjelaskan:
- Ahli-ahli KWSP daripada golongan B40 hidup terkapai-kapai dengan purata simpanan KWSP hanya RM1,713 (median RM1,063) (sehingga 31 Disember 2023) – di mana golongan ini hanya menguasai kira-kira 1% daripada jumlah simpanan dalam KWSP (RM11 bilion daripada RM1.09 trilion)!
- Golongan T20 pula mempunyai purata simpanan RM278,941 (median RM170,266) pada masa yang sama – Ini hanya menunjukkan bahawa yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin.
Simpanan persaraan pekerja di tahap kritikal
Merujuk statistik terbaru KWSP, setakat suku kedua 2025, ia menunjukkan bahawa:
- 56% pencarum KWSP yang aktif berumur 55 tahun dan ke bawah hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
- Lebih 70% pekerja sektor tidak formal dan separuh daripada pekerja B40 langsung tidak mencarum secara konsisten.
- Jumlah simpanan median keseluruhan hanya sekitar RM14,000, tidak cukup untuk menampung keperluan persaraan walaupun untuk setahun.
Ini adalah kesan langsung daripada siri pengeluaran khas KWSP yang dibenarkan semasa pandemik tanpa rancangan pemulihan simpanan yang menyeluruh, dan kini kerajaan cuba menutup kegagalan itu dengan melancarkan skim-skim kosmetik yang tidak menyentuh struktur sistemik yang pincang.
Apa yang diingini pekerja?
Kerajaan harus memperbaiki dan memperluaskan perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang sangat penting bagi melindungi golongan pekerja, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi atau kemalangan pekerjaan. Dengan meningkatkan akses dan kualiti perlindungan sosial ini, kerajaan dapat membantu dalam mengurangkan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi, serta mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pekerja.
PERKESO sudah memberikan beberapa manfaat seperti bantuan kewangan untuk pekerja yang hilang upaya, pencen, dan perlindungan semasa tempoh kecederaan. Namun, terdapat beberapa aspek yang mungkin perlu diperbaiki atau ditambah baik untuk memenuhi keperluan semasa golongan pekerja termasuk perlindungan untuk pekerja sektor tidak formal supaya mereka juga dapat menikmati manfaat perlindungan sosial yang sama.
Kerajaan perlu menghentikan penjenamaan semula skim-skim yang hanya mengaburi mata rakyat. Apa yang diingini golongan pekerja bukan sekadar “akses kepada produk perlindungan”, tetapi satu reformasi menyeluruh terhadap sistem perlindungan sosial negara yang menegakkan prinsip keadilan sosial. Oleh itu, PSM menggesa supaya:
- Hentikan segera penggunaan simpanan persaraan KWSP untuk skim seperti i‑Lindung! Itu bukan “perlindungan sosial”— ia hanya merompak masa hadapan pekerja.
- Tingkatkan gaji selaras dengan kenaikan kos sara hidup – golongan masyarakat B40 dan M40 terkesan akibat kos perbelanjaan sangat tinggi itu menjadi satu bebanan kerana tiada penyelarasan gaji yang setimpal – Gaji minimum pada masa ini bukan gaji bermaruah dan jauh rendah jika dibandingkan dengan formula kiraan Majlis Perundingan Gaji Negara dan Bank Negara Malaysia.
- Segerakan pembentangan di Parlimen pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja supaya PERKESO dapat memberi perlindungan 24 jam – Kerajaan harus bertanggungjawab dalam menyediakan sistem perlindungan sosial sejagat, bukannya membebankan pekerja menerusi skim seperti i-Lindung.
- Laksanakan Skim Pencen Warga Emas Sejagat – Jaminan pencen minimum untuk semua warga emas, termasuk mereka yang bekerja di sektor tidak formal dan tidak tetap.
- Perkenalkan konsep gaji sosial untuk memastikan rakyat diberikan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, perumahan dan penjagaan kanak-kanak.
- Laksanakan reformasi menyeluruh terhadap KWSP agar fokusnya kembali kepada peranan utamanya sebagai pelindung masa hadapan persaraan rakyat, bukan menjadi saluran jualan produk insurans.
- Tegakkan keadilan sosial: Pemiskinan sistemik ini tidak boleh diteruskan! Jika 6.3 juta orang rakyat menyimpan kurang RM10,000, dengan simpanan majoriti M40 dan B40 jauh rendah daripada sasaran persaraan – apa jaminan masa hadapan? Pastikan pekerja miskin tidak terus tertindas di bawah sistem semasa.
Cukuplah sekadar gimik!
Golongan pekerja di Malaysia semakin letih dengan pelbagai retorik dan pelancaran skim baharu yang hanya mencantikkan statistik, bukan menyelesaikan masalah sebenar. Kerajaan MADANI seharusnya menjadi pelindung rakyat, bukan jurujual produk kewangan.
PSM akan terus mendesak kerajaan agar hak pekerja dilindungi, bukan dipergunakan untuk mengisi poket syarikat insurans atau menutupi kegagalan dasar kerajaan.
Jaminan sosial adalah tanggungjawab kerajaan, bukan pilihan individu!
Rakyat mahu kuasa beli, bukan wang habis diambil!
Rakyat bukan beban! Rakyat berhak hidup selesa! Rakyat berhak bersara dengan bermaruah!
==========
R Saratbabu Raman ialah Penyelaras Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).