
oleh Choo Chon Kai
Semangat kemerdekaan yang sebenar bukanlah sekadar pertunjukan secara luaran dengan mengibarkan bendera kebangsaan menjelang Hari Kebangsaan setiap tahun, tetapi ia memerlukan komitmen kita untuk bersama-sama membina dan memajukan negara kita ke arah sebuah masyarakat yang makmur buat semua orang yang hidup di dalamnya. Kemerdekaan sejati memerlukan usaha kita, rakyat daripada pelbagai latar belakang, untuk berganding bahu dalam perjuangan bersama yang mencabar segala bentuk kemunafikan, penipuan, diskriminasi, ketidaksaksamaan, ketidakadilan, penindasan dan eksploitasi yang masih wujud di negara kita, di samping memperjuangkan kemanusiaan, kebebasan, demokrasi, kesaksamaan ekonomi, keadilan sosial dan kesejahteraan bersama buat seluruh rakyat di negara ini.
Negara kita menyambut ulang tahun ke-68 kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia pada 31 Ogos 2025, dan ulang tahun ke-62 penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 2025. Tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2025 ialah “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”. Namun, rakyat tidak benar-benar disantuni selagi orang ramai masih dihalang daripada berhimpun di hadapan Bangunan Parlimen untuk menyuarakan tuntutan rakyat. Rakyat tidak benar-benar disantuni selagi golongan politikus, sama ada daripada parti pemerintah atau parti pembangkang, masih mempermainkan sentimen perkauman dan memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Rakyat tidak benar-benar disantuni selagi pelbagai masalah yang membelenggui rakyat marhaen masih belum diselesaikan secara berkesan.
Baru-baru ini, apabila Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) cuba membawa draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang kepada perhatian Parlimen Malaysia, mereka dihalang daripada mendekati pintu masuk utama Bangunan Parlimen, tempat di mana terletaknya badan perundangan negara kita yang sepatutnya mendengar suara rakyat supaya menghasilkan undang-undang yang memanfaatkan rakyat. Lebih-lebih lagi, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir bersolidariti bersama pekerja-pekerja ladang yang telah menyumbangkan tenaga mereka selama beberapa generasi untuk pembangunan negara kita itu, ditangkap pula untuk disoal siasat polis. Apa yang berlaku ini bukanlah cara “menyantuni rakyat” yang bersifat MADANI.
Menjelang Hari Kebangsaan tahun ini juga, kita telah disajikan berita tentang sandiwara sesetengah politikus yang cuba mengumpul modal politik dengan sengaja mempermainkan dan memperbesar-besarkan isu pemasangan bendera terbalik yang berkemungkinan hanya dilakukan secara tidak sengaja. Aksi pertunjukan lagak ngeri politik untuk menonjolkan diri mereka betapa “patriotik” oleh golongan politikus itu tidak membantu dalam menyampaikan pendidikan sivik kepada rakyat jelata tentang cara betul untuk mempertahankan kedaulatan negara, sebaliknya jelas hanya memburukkan lagi perpecahan dan polarisasi dalam masyarakat kita yang sudah diracuni oleh fahaman politik perkauman sekian lama oleh golongan politikus daripada parti-parti politik yang sama. Rakyat biasa tidak akan merasai diri mereka “disantuni” apabila politikus-politikus kita, sama ada daripada parti pemerintah atau parti pembangkang, mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu-isu kehidupan harian rakyat yang sebenar dengan terus mempermainkan sentimen perkauman yang memecah-belahkan masyarakat atau menakut-takutkan rakyat. Masyarakat kita tidak mungkin merdeka sepenuhnya jika rakyat kita masih dibelenggu oleh fahaman perkauman yang sempit dan dilaga-lagakan oleh golongan elit dengan sentimen perkauman.
Kemerdekaan dan kedaulatan negara hanya dapat dijamin apabila rakyat kita diperkasakan dengan hak asasi demokratik dan kesedaran sivik untuk memajukan masyarakat secara bersama. Ini hanya dapat direalisasikan di bawah sistem sosioekonomi yang memastikan pengagihan kekayaan masyarakat yang lebih adil dan saksama, di samping pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang melindungi hak rakyat untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik, dengan menyediakan kesihatan awam, pendidikan awam, perumahan sosial, perlindungan sosial dan segala kemudahan asas yang diperlukan untuk semua tanpa sebarang niat mengaut keuntungan wang daripadanya.
Keghairahan sengaja mencari dan memperbesar-besarkan kesilapan yang berkemungkinan besar tidak disengajakan, dengan retorik politik perkauman untuk kepentingan politik kepartian sendiri, bukannya semangat menegakkan kemerdekaan sejati bagi tanah air kita. Jika benar-benar mencintai tanah air kita dan hendak menegakkan kemerdekaan negara, apa yang harus buat adalah berusaha secara jujur untuk membina sebuah masyarakat yang lebih demokratik, adil, saksama, harmoni dan sejahtera dengan dasar-dasar yang progresif serta inklusif.
Demi mencapai dan menegakkan kemerdekaan sejati bagi negara Malaysia, kita harus berusaha untuk:
- Membebaskan ekonomi negara kita daripada kerangka ekonomi kolonial, logik susunan ekonomi kapitalis global yang neoliberal dan kebergantungan pada pelaburan asing, dengan membangunkan strategi ekonomi mandiri yang beralih daripada ekonomi yang terlalu berorientasikan eksport pada masa ini dan membangunkan kapasiti pengeluaran dalam negara yang mampan;
- Memecahkan politik perkauman ketinggalan zaman kolonial yang memecah-belahkan rakyat dalam masyarakat majmuk;
- Membina demokrasi sejati dengan menghapuskan segala undang-undang zalim peninggalan zaman kolonial seperti Akta Hasutan 1948, di samping memperluaskan ruang demokrasi supaya rakyat jelata dapat bebas mengambil bahagian dalam proses politik untuk menentukan nasib sendiri secara bersama tanpa sebarang ancaman dan ketakutan;
- Menghentikan segala penswastaan perkhidmatan asas (seperti kesihatan, pendidikan dan sebagainya) yang menggadaikan hak asasi rakyat kepada keuntungan korporat atau kepentingan kroni;
- Mewujudkan sistem perlindungan sosial yang menyeluruh bagi semua rakyat (seperti pencen warga emas sejagat dan sebagainya);
- Memelihara alam sekitar kita daripada ancaman kerosakan kerana aktiviti-aktiviti mengaut keuntungan korporat;
- Menegakkan kesaksamaan gender dalam masyarakat;
- Memupuk semangat kekitaan dalam masyarakat majmuk yang meraikan kepelbagaian budaya, saling hormat-menghormati sesama anggota masyarakat dan sentiasa bersolidariti merentasi batasan kaum serta agama;
- Memperjuangkan susunan dunia yang lebih aman dan adil dengan membina solidariti antarabangsa yang mencabar kekuasaan imperialis dan menghentikan jenayah perang (seperti genosid terhadap rakyat Palestin).
Rakyat hanya benar-benar disantuni dengan adanya kemerdekaan sejati. Menegakkan kemerdekaan sejati merupakan proses yang memerlukan penglibatan rakyat dari bawah dengan kesedaran politik yang bersifat pembebasan. Tiada jalan pintas untuk kemerdekaan sejati. Kita harus bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan sejati dengan membina kuasa rakyat marhaen dari bawah.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia! Marilah kita teruskan perjuangan untuk kemerdekaan sejati! Merdeka!
==========
Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
