Kenyataan media oleh Gabungan Marhaen dan Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF)

Gabungan Marhaen dan Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkenalkan dan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2025. RUU ini adalah satu langkah yang penting kerana menyediakan kerangka bagi  mengiktiraf status dan perlindungan hak pekerja gig di Malaysia. Sebagai satu langkah permulaan, RUU ini wajar disokong. 

RUU Pekerja Gig menyediakan takrifan “pekerja gig”, lantas meliputi mereka yang bekerja dalam “ekonomi platform” dan juga mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sebagai “freelancer”, seperti pelakon, penterjemah, petugas perfileman dan sebagainya. Hak-hak kelompok ini yang sebelum ini hanya terlindung dalam undang-undang kontrak, bakal diperkasakan dengan pengenalan mekanisme kilanan dalaman dan tribunal pekerja gig. JPTF berharap wakil-wakil pekerja gig akan dilibat urus oleh majikan (“entiti kontrak”) dalam mendirikan mekanisme kilanan dalaman ini. 

Selain itu, penubuhan Majlis Perundingan juga penting dalam memastikan dialog sosial dan prinsip tripartisme dipanjangkan kepada sektor-sektor pekerjaan tidak formal. Melalui Majlis Perundingan ini, isu-isu penting seperti paras gaji, waktu bekerja, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja boleh dibincangkan dan diselesaikan. JPTF mengambil maklum bahawa kuasa pelantikan anggota-anggota Majlis Perundingan ini bergantung pada budi bicara Menteri KESUMA, maka kami berharap pelantikan ini dilakukan tanpa dipengaruhi politik kepartian, tetapi benar-benar berpasak kepada perjuangan hak pekerja dan keharmonian industri. 

JPTF menekankan bahawa terdapat beberapa kekurangan dalam RUU ini yang memerlukan pertimbangan semua pihak yang memperjuangkan hak pekerja:

1. Hak Kesatuan. RUU ini mengiktiraf hak pekerja gig untuk membentuk persatuan. Walau bagaimanapun, hak ini sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk semua warganegara. Namun, RUU ini tidak menyentuh soal hak pekerja gig untuk berkesatuan yang membolehkan mereka untuk berunding secara kolektif. Masih tiada penjelasan sama ada “pekerja gig” ini terangkum dalam takrifan “pekerja” dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959. Hak untuk bersuara dan berunding secara kolektif amat penting bagi memastikan pekerja tidak terus dieksploitasi oleh entiti kontrak (platform). Tanpa kesatuan, suara pekerja akan kekal lemah. 

2. Tiada tripartisme di peringkat sektor / industri. Meskipun RUU ini menyediakan kerangka Majlis Perundingan, iaitu tripartisme di peringkat nasional, pekerja-pekerja gig masih belum lagi mempunyai ruang untuk berunding di peringkat sektor / industri bagi menyelesaikan isu-isu yang khusus bagi sektor / industri tersebut. Kebergantungan pada rundingan di peringkat nasional bakal membuatkan isu semakin melarat dan menyumbang kepada industri / sektor yang lembap dan tidak berdinamik. Hal ini bersangkut paut dengan ketiadaan hak pekerja gig untuk berkesatuan.

3. Tanggungjawab caruman PERKESO majikan. RUU ini mewajibkan entiti kontrak untuk membuat potongan caruman daripada pendapatan pekerja gig untuk skim keselamatan sosial tetapi tidak menegaskan kewajipan entiti kontrak untuk menanggung sebahagian caruman ini. Pengenalan potongan mandatori tambahan ke atas setiap tempahan ini meletakkan beban sepenuhnya untuk mencarum di atas bahu pekerja yang sudah pun terbeban dengan kadar komisen rendah.

4. Sistem pemantauan berautomat. RUU ini mewajibkan entiti kontrak untuk memaklumkan pekerja tentang sistem pemantauan berautomat, namun tidak menyatakan sama ada mereka bertanggungjawab untuk melibat urus wakil pekerja dalam mendirikan atau mengkaji semula sistem ini sekiranya wujudnya kegusaran tentang sebarang cacat cela, seperti yang diadu-adukan oleh pemandu p-hailing dan e-hailing. JPTF menyambut baik penggunaan penyelesaian berteknologi tinggi, namun kita perlu sedar bahawa tanpa libat urus pekerja, teknologi akan menjadi perkakas untuk mencabuli hak pekerja demi keuntungan semata-mata. 

Walaupun terdapat kekurangan yang perlu diperhalusi, JPTF mengalu-alukan keputusan parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025. Setiap penangguhan hanya akan melanjutkan penderitaan dan keadaan tidak menentu yang dialami ratusan ribu pekerja gig di Malaysia. Sekarang tibalah masa untuk penambahbaikan dan JPTF bersedia untuk terlibat secara konstruktif. 

Ekonomi gig tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan eksploitasi berterusan. Kami menyeru semua pihak, baik kerajaan, ahli Parlimen, mahupun masyarakat umum, untuk berdiri bersama pekerja gig demi memastikan sumbangan mereka kepada ekonomi negara diberikan pengiktirafan, perlindungan dan maruah yang setimpal. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *