
(Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSIH pada 21 Ogos 2025 mengenai penangkapan S. Arutchelvan.)
oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam sekeras-kerasnya penangkapan aktivis rakyat dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Saudara Arul, yang telah ditahan di IPD Dang Wangi pada 20 Ogos, jam 6.00 petang dan hanya dilepaskan sekitar tengah malam dengan ikat jamin polis. Penahanan ini adalah tidak sah dan jelas merupakan satu bentuk intimidasi terhadap seorang aktivis yang memperjuangkan hak pekerja ladang dan golongan terpinggir.
Sebelum ini, Arul telah memberikan kerjasama penuh dengan hadir memberi kenyataan kepada polis pada 14 Ogos berhubung insiden pergelutan yang tercetus apabila polis menghalang penyerahan memorandum mengenai Skim Perumahan Pekerja Ladang di Parlimen pada hari sebelum (13 Ogos), dan dimaklumkan bahawa siasatan telah selesai. Namun, arahan penahanan yang dibuat selepas itu hanyalah bukti penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.
Kami menegaskan bahawa:
- Polis tidak wajar menahan seorang aktivis yang memperjuangkan isu rakyat secara aman.
- Penahanan ini mesti dilihat sebagai cubaan menakut-nakutkan gerakan masyarakat sivil dan melemahkan suara rakyat.
- Kami menggesa pihak polis menghentikan segera amalan intimidasi terhadap aktivis dan pembela hak rakyat.
BERSIH berdiri teguh bersama Saudara Arul dan semua rakyat yang prihatin, dan akan terus memperjuangkan supaya suara rakyat bebas daripada sekatan dan intimidasi pihak berkuasa.
