oleh Cheong Huei Ting

Para belia sepatutnya melalui tempoh hidup yang bebas daripada kerisauan, di mana mereka mempunyai kebebasan dan masa untuk meneroka minat, mengejar impian dan menjalani saat-saat terbaik dalam hidup mereka. Namun, hari ini, belia dibebani dengan krisis iklim, kos sara hidup tinggi, gaji rendah, pengangguran dan ketidakjaminan kerja akibat kecerdasan buatan generatif (GenAI). Mereka juga hidup dalam dunia yang tidak aman di mana genosid di Gaza dan peperangan perdagangan antara negara berlaku berterusan.

Dalam menghadapi isu-isu global yang sangat mempengaruhi kehidupan seharian, kita harus menolak rasa ingin mengalah. Sudah tiba masanya untuk para belia menggembleng kuasa kolektif kita dan menentukan masa depan kita.

Bersempena Hari Belia Antarabangsa ini, Pemuda Sosialis mengiktiraf keberanian dan pencapaian para belia dalam membina masyarakat yang lebih baik. Kami juga bersolidariti dengan belia di seluruh dunia yang berjuang untuk menentang penindasan di bawah kapitalisme. Kita mesti sedar bahawa kita berupaya dan berkuasa untuk bersatu dan membina ruang alternatif demi membentuk masa depan yang lebih baik.

Sebagai kumpulan yang berpegang teguh pada prinsip sosialisme, kami mengiktiraf para belia sebagai lapisan masyarakat yang unik dalam Garis Juang Parti. Kami memberi komitmen penuh untuk menyokong dan memobilisasi belia supaya menentang eksploitasi di bawah kapitalisme.

Oleh itu, PSM sering menuntut kerajaan untuk:

  • Mansuhkan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa.
  • Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak-kanak migran dan pelarian.
  • Laksanakan Gaji Sara Hidup dan meningkatkan Gaji Minimum ke RM2,000.
  • Pembentukan kesatuan sekerja harus diutamakan oleh kerajaan dan diberi pengiktirafan secara automatik.
  • Gubal Akta Kesamarataan Gender (Gender Equality Act).

Kami menjemput semua yang percaya kepada masa depan yang saksama dan lestari untuk menyertai parti. Marilah kita membina sebuah dunia dan “ruang ketiga” di mana keadilan dan kesaksamaan bukan sekadar impian, tetapi realiti yang dikongsi oleh semua.

==========

Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *