
oleh Arveent Kathirtchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) memandang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibawa oleh kerajaan MADANI sebagai sebuah dokumen yang penuh dengan idea kapitalis lapuk dan bakal mengundang keburukan kepada rakyat marhaen. Analisis penuh PSM bakal dirangka dalam beberapa bulan ini. Buat masa sekarang, kami menyenaraikan di bawah adalah 3 pendekatan dalam RMK13 yang PSM tidak bersetuju.
1. Pertimbangan peningkatan umur persaraan bakal memperhambakan pekerja serta menyekat peluang bagi generasi muda
Kerajaan MADANI nampaknya begitu taksub untuk memastikan rakyat jelata kekal produktif selama mungkin tanpa bersara. Kemungkinan kerajaan ini berasa terlalu berat untuk ia membantu dalam menampung kehidupan warga emas yang sepatutnya berehat dan menjalani kehidupan usia tua mereka secara bermaruah. Ini tidak menghairankan kerana semua kerajaan kapitalis mahu golongan pekerja kekal menjana keuntungan untuk pihak pemodal tanpa membebankan kerajaan.
Walaupun seseorang boleh pilih untuk bersara awal, struktur-struktur masyarakat yang membolehkan pilihan itu pula semakin merosot. Sebagai contoh, jangka masa pinjaman perumahan mungkin akan ditingkatkan. Dengan adanya akses kepada pinjaman sebegini, harga rumah mungkin melambung tinggi. Justeru, rakyat biasa akan dibebankan hutang lebih lama lagi.
Mendapat kerja dengan gaji yang setimpal merupakan satu cabaran besar untuk generasi muda pada zaman ini. Ramai terpaksa bekerja di bawah sistem kontrak tanpa sebarang keterjaminan kerja ataupun perlindungan sosial. Cabaran ini akan terus bertambah buruk jika pekerja lama dipaksa untuk bekerja sehingga mereka berusia 65 tahun ataupun lebih.
Bagi PSM, kehidupan seseorang insan adalah lebih bermakna daripada hanya bekerja. Sepatutnya, rakyat biasa yang telah bekerja untuk suatu jangka masa panjang patut berehat apabila masih mempunyai masa untuk menikmati persaraan mereka. Umur persaraan 60 tahun pada masa ini pun sudah terlalu tinggi. Peningkatannya kepada 65 tahun hanya akan menyusahkan lagi rakyat biasa. Kerajaan patut mewujudkan program yang utuh untuk menjamin kelangsungan hidup warga emas, seperti pencen warga emas.
2. Pengasingan wang simpanan KWSP kepada tabung pencen persaraan dan simpanan persaraan tidak menyelesaikan apa-apa
Pihak kapitalis selalu memandang rendah akan keupayaan rakyat biasa dalam menguruskan kewangan mereka. Selalunya, masalah kewangan rakyat marhaen digambarkan sebagai timbul akibat kelemahan peribadi seseorang. Akan tetapi, isu pokoknya adalah gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi. Daripada pandangan serong sebeginilah idea pengasingan simpanan KWSP kepada dua tabung timbul; sebuah tabung pencen persaraan yang hanya boleh dikeluarkan secara bulanan, dan sebuah tabung simpanan persaraan yang dapat dikeluarkan sepenuhnya.
Walaupun pendekatan sebegini dapat membantu rakyat biasa dalam menguruskan wang persaraan dengan lebih efektif, persoalannya adalah, adakah jumlah simpanan mereka mencukupi? Pada zaman COVID-19, kemudahan pengeluaran wang persaraan telah menyebabkan jumlah simpanan rakyat biasa merosot secara ketara. Dalam pada ini, apa-apa jenis cara menguruskan kewangan tidak akan dapat mengatasi masalah rakyat dengan efektif. Selain itu, hampir satu pertiga rakyat dalam lingkungan umur antara 20 tahun hingga 60 tahun langsung tiada simpanan KWSP atas sebab bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pekerja kontrak ataupun peniaga kecil.
Bagi PSM, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan persaraan yang selesa dengan sumber kewangan yang stabil. Para pekerja kini berpendapatan rendah sepanjang zaman pekerjaan mereka untuk membolehkan Malaysia bersaing di pasaran antarabangsa dan mengeksport lebih banyak barangan mentah serta barangan buatan. Pengorbanan kaum pekerja dan petani Malaysia telah menjana peningkatan KDNK Malaysia sebanyak 24 kali ganda (dalam nilai ringgit sebenar) dalam tempoh 50 tahun yang lalu.
Pengorbanan ini harus dihargai dan dibalas. Inilah sebabnya PSM memperjuangkan Skim Pencen Warga Emas. Pada masa ini, dengan jumlah simpanan persaraan warga emas telah merosot, adalah baik untuk mewujudkan skim sebegini, supaya semua rakyat berumur 65 tahun ke atas dan tidak menerima apa-apa jenis pencen lain mendapat RM500 sebulan. Skim ini dapat dikembangkan pada masa depan dengan peningkatan jumlah pencen bulanan supaya warga emas mendapat menikmati kehidupan persaraan yang terjamin.
3. Rancangan untuk sistem kesihatan awam kian merosot
Walaupun Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan RM40 bilion sebagai dana pembangunan sepanjang tempoh RMK13, ini masih tidak mencukupi untuk mencapai pendanaan KKM sebanyak 5% daripada KDNK mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malah, Anwar Ibrahim sendiri berkata bahawa permohonan Menteri Kesihatan untuk meningkatkan jumlah pendanaan KKM sebanyak RM38 bilion (2% daripada KDNK) ditolak untuk mengekalkan tahap hutang negara. Akan tetapi, pelaburan di Amerika Syarikat berjumlah RM1.02 trilion, pembelian 60 buah kapal terbang Boeing berharga lebih RM80 bilion serta pembinaan Kota Madani dengan perbelanjaan RM4 bilion, semuanya dibolehkan.
Dokumen RMK13 juga penuh dengan sokongan kepada skim Rakan KKM serta insurans kesihatan. Jelas kelihatan bahawa kerajaan MADANI ingin mengelak tanggungjawabnya dalam menyediakan sistem kesihatan awam yang berkualiti tinggi, sebaliknya sedang cuba memindahkan beban rawatan kepada bahu rakyat sendiri. Bagi PSM, kesihatan awam merupakan keperluan asas yang tidak patut dikompromi. Pendanaan KKM perlu ditingkatkan kepada 5% daripada KDNK, pembinaan hospital swasta perlu dibekukan untuk membendung penghijrahan doktor pakar ke sektor swasta, dan skim Rakan KKM perlu dihentikan.
Selain daripada tiga idea di atas, ada juga beberapa perkara lain yang bakal menyusahkan rakyat jelata. RMK13 mengetengahkan perdagangan karbon dan teknologi “Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon” (CCUS). Perdagangan karbon membolehkan mana-mana syarikat untuk membeli kredit karbon supaya dapat terus mencemar alam sekitar dengan sisa karbon dioksida. Ini ibarat orang kaya bebas mencemar alam sekitar yang bakal mendatangkan malapetaka kepada rakyat miskin. CCUS pula ialah sebuah teknologi yang tidak membawa apa-apa hasil yang nyata selama 50 tahun ia wujud. Projek sebegini kelihatan hanyalah cara menghijaukan nama sektor yang mencemar tetapi tidak membawa perubahan yang diperlukan.
Akhir kata, RMK13 ialah sebuah dokumen yang penuh dengan idea kapitalis dan hanya mendatangkan faedah kepada orang kaya serta pelabur asing. Rakyat biasa kekal susah, sementara kerajaan MADANI kelihatan terlalu taksub dengan jargon untuk kisah.
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).