
oleh Madhavi
Pernahkah kita terfikir apabila membeli barangan murah dalam talian, sama ada produk tersebut berkualiti atau tidak, dan bagaimana kebolehtahanannya? Memang ini merupakan kebimbangan setiap pengguna yang rasional, tetapi dalam dunia pemasaran hari ini, secara tidak langsung, pengguna juga sedar bahawa produk tersebut tidak akan tahan lama. Kita boleh menilai kebolehtahanan produk tersebut apabila dibandingkan dengan harganya. Tetapi kita masih terpedaya untuk membelinya, kerana boleh sahaja beli yang baharu pada bila-bila masa, apabila ia rosak.
Tambahan pula, pasaran sentiasa dibanjiri dengan model baharu sesuatu produk tersebut, maka apakah insentifnya untuk terikat kepada suatu model produk yang berkualiti tinggi dan tahan lama. Ini dikenali sebagai fenomena “keusangan terancang” (“planned obsolescence”), di mana dunia perniagaan kini lebih berminat untuk menghasilkan produk yang tidak tahan lama. Ia bertujuan untuk meningkatkan kitaran penggunaan dan penggantian yang jelas membawa keuntungan dalam tempoh masa singkat. Produk yang berkualiti tinggi, walaupun membawa nilai guna yang baik kepada pengguna, para pengeluar dan peniaga hanya dapat mengaut keuntungan selepas jangka masa yang lama apabila produk tersebut rosak dan pengguna membeli produk baharu.
Pada masa yang sama, barangan keperluan asas, seperti makanan, ubat-ubatan dan sebagainya semakin melambung tinggi harganya, kerana ia secara relatif kurang dikeluarkan, walaupun wujudnya permintaan yang tinggi. Satu perbandingan yang jelas ialah pengeluaran makanan ringan yang kurang berkhasiat dengan makanan asas semula jadi yang mahal.
Kesan langsung makanan yang kurang berkhasiat ialah impaknya yang menjejaskan tumbesaran anak dan remaja. Berdasarkan kajian pada tahun 2019, 25% kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah didapati mengalami kurang nutrisi atau terbantut tumbesaran. Ini adalah peningkatan kira-kira 5% dari tahun 2011. Pada masa yang sama, kajian tersebut juga mendapati masalah obesiti kanak-kanak juga sedang meningkat. Ini adalah kesan langsung apabila kemampuan keluarga untuk membeli barangan makanan terkesan teruk akibat kenaikan harga barang makanan utama seperti beras, telur, minyak dan sayur-sayuran sentiasa naik. Mereka juga terpaksa memilih makanan segera yang murah dan kurang bernutrisi untuk menampung keperluan.
Kegagalan pentadbiran terserlah dari dua aspek. Yang pertama, kurangnya pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran barangan makanan tempatan ke arah keterjaminan makanan. Yang kedua, kegagalan untuk meningkatkan gaji warga pekerja, seperti gaji minimum demi menampung kos sara hidup. Gaji yang cukup untuk sara hidup akan secara keseluruhannya meningkatkan kualiti hidup dan membina generasi yang sihat.
Kesan kedua ialah apabila pengeluaran barangan bukan keperluan secara besar-besaran menggunakan plastik, bahan kimia dan pewarna kimia dalam pengeluaran. Ini menjurus kepada masalah yang lebih besar, iaitu pencemaran ketika pengeluaran dan selepas pengeluaran. Pencemaran yang sering berlaku ketika proses pengeluaran ialah pembuangan sisa kilang ke dalam sungai atau kolam. Ini adalah masalah berlarutan yang menyebabkan sumber air yang dahulunya bersih untuk diminum kini berbahaya. Pencemaran tahap kedua ialah kebanyakan barang bukan keperluan diperbuat daripada plastik, bersifat sementara dan sukar untuk dikitar semula. Jadi, jumlah pembuangan sampah yang meningkat menjurus kepada penambahan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah, jika tidak dibuang ke dalam longkang dan sungai. Kitaran ini harus dihentikan agar tanah ini lebih baik digunakan untuk tujuan pertanian yang boleh menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara.
Berdasarkan kajian, jumlah sungai yang diklasifikasi tercemar meningkat dari 23 batang pada tahun 2021 ke 29 batang sungai pada tahun 2022, iaitu peningkatan 26% dalam jangka masa setahun. Kerajaan terpaksa merawat air sebelum disalurkan ke rumah, dan pengguna terpaksa berbelanja untuk menggunakan alat penapis demi mendapatkan air bersih ataupun membeli air yang dibotolkan. Sumber air yang percuma kini sudah menjadi berbayar, dan jika berlarutan, dunia akan kehabisan sumber air. Bayangkan harga sayur-sayuran jika petani perlu membayar lebih untuk air bersih.
Kerajaan juga telah berusaha dan berbelanja besar untuk memulihara sumber air terutamanya sungai. Ini perlu dihargai. Perbelanjaan ini perlu diambil sebagai pengajaran untuk mengenal pasti punca akar permasalahan, iaitu kawalan ketat bagi pengurusan pembuangan sisa industri yang menjadi faktor utama.
Oleh itu, budaya kepenggunaan (consumerism culture) ini perlu ditangani kerana ia meningkatkan kos sara hidup, menjejaskan kesihatan dan memudaratkan alam sekitar. Tidak cukup sekadar kempen media yang menyasarkan rakyat, tetapi kerajaan yang bertanggungjawab harus proaktif dalam mengambil langkah mengalih fokus sektor pengeluaran dari menghasilkan produk murah berkualiti rendah ke arah pengeluaran produk yang membawa manfaat. Sektor agro-makanan adalah amat penting, ia perlu diberi keutamaan dan perlu diperluaskan kegiatan penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan ikan, ayam, lembu dan kambing. Usaha ini akan mengambil masa, namun ia amat penting untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import.
Pada tahun 2022, import makanan Malaysia ialah RM78.7 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat, kadar ini adalah tinggi berbanding dengan jumlah eksport negara. Selain mengembangkan ladang durian untuk dieksport, usaha-usaha untuk mengiktiraf petani, pesawah dan penternak juga amat penting untuk memastikan bekalan makanan tempatan terjamin dan mampu dibeli.
Akhir kata, pasaran bebas adalah bagus bagi syarikat-syarikat bersaing untuk mengaut keuntungan tetapi tanpa mengambil kira kebajikan rakyat ataupun alam sekitar. Kerajaan perlu mengenakan lebih banyak kawalan dalam pasaran untuk memastikan keperluan asas rakyat terjaga dan terjamin.
==========
Madhavi ialah Timbalan Bendahari Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).