Rencana ini yang pada asalnya diterbitkan di laman sesawang Din Deng dalam Bahasa Inggeris, dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Audi Ali.

==========

(sumber: wikipedia)

Pada pagi 25 Julai 2025, tercetusnya perang antara Kemboja dan Thailand. Konflik ini seolah-olah tercetus akibat pertikaian mengenai hak ke atas sebuah kuil yang juga merupakan tapak warisan UNESCO yang terletak di sempadan antara kedua-dua negara tersebut. Namun hakikatnya, perang ini melibatkan perkara yang jauh menjangkau isu kuil ini. Dan perang ini juga bukan satu pertempuran antara dua bangsa seperti yang dimomokkan. Sebaliknya, perang ini terhasil akibat perkiraan politik domestik di kedua-kedua pihak, justeru membinasakan rakyat biasa di kedua-dua belah sempadan negara. Dalam konflik ini, pendamaian ialah satu-satunya penyelesaian bagi golongan terbanyak.

Kuil Preah Vihear

Asal-usul konflik ini boleh dijejaki sejak usaha persempadanan pada zaman penjajahan yang menyebabkan pelbagai kesamaran. Pada tahun 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytihar bahawa Kemboja mempunyai kedaulatan ke atas kuil Preah Vihear yang tertubuh sejak zaman Khmer pada abad ke-11, tetapi kawasan persekitarannya masih lagi sedang dipertikaikan – satu kesan penjajahan yang disebutkan tadi. Gelora pergolakan ini ada naik dan surutnya sepanjang beberapa dekad yang lalu, terutamanya pada tahun 2008, apabila pengiktirafan kuil tersebut sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO mencetuskan tindak balas nasionalis di Thailand. Menjelang tahun 2011, pertempuran ini telah menyebabkan puluhan kematian dan ribuan kehilangan tempat tinggal, dan hanya reda selepas mediasi komuniti antarabangsa.

Dalam beberapa bulan yang lalu, konflik ini tercetus kembali apabila Kemboja membangunkan infrastruktur berdekatan dengan kawasan sempadan sementara tentera Thailand meningkatkan tahap pemantauan keselamatan di kawasan tersebut. Keadaan ini sekali lagi membawa maut apabila tentera Thailand membunuh seorang askar Kemboja, justeru mencetuskan bantahan bersifat nasionalis di Kemboja.

Pihak Thailand

Perlu ditekankan sekali lagi bahawa perang ini bukan hanya mengenai sebuah kuil, dan dengan demikian kita perlu meneliti peranan dan sejarah tentera Thailand khususnya di dalam kawasan sempadan ini. Pemimpin tentera yang mengawal sempadan ini pernah terlibat dalam “Harimau Timur” (Rejimen Infantri ke-21), iaitu sebuah unit yang asalnya ditubuhkan untuk menentang komunis dan terlatih dalam perang ofensif dan “defensif”. 

Setelah dilatih pula oleh tentera AS pada tahun 1950-1960-an sebagai pasukan anti-pemberontakan, Harimau Timur terlibat dalam pertempuran di Korea dan Vietnam serta operasi domestik membanteras gerakan kiri sehinggalah terlibat dalam operasi di Laos dan Kemboja.

Apabila Kemboja dibebaskan oleh Vietnam pada tahun 1979, rejimen ini memainkan peranan yang penting dalam menyokong pemberontakan Khmer Rouge di sepanjang sempadan. Dari kedudukan strategik ini, mereka menjalankan operasi penyeludupan besar-besaran senjata, barangan antik yang dirompak, dadah, malah manusia – lantas memperkukuhkan kuasa dan keuntungan mereka.

Menjelang lewat tahun 2000-an, Harimau Timur muncul sebagai kumpulan ketenteraan yang paling dominan dalam landskap politik Thailand yang memang telah sarat dengan elemen ketenteraan. Kuasa mereka diperkukuhkan lagi apabila pada tahun 2014, mereka memainkan peranan mustahak dalam mendalangi kudeta untuk menjatuhkan kerajaan Pheu Thai yang diterajui Yingluck Shinawatra (adik kepada bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dan ibu saudara kepada Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Thailand yang baru-baru ini dilucutkan jawatannya).

Setelah hampir sedekad pemerintahan diktator di bawah Harimau Timur melalui General Prayut Chan o’Cha, pilihan raya diadakan dan Pheu Thai kembali berkuasa dan Paetongtarn Shinawatra kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Sejak itu, walaupun parti itu berjaya melaksanakan beberapa dasar, mereka terhimpit antara kem ultra-nasionalis yang setia kepada elit tentera dan cabaran baharu daripada kem liberal iaitu parti Move Forward. Bagi mereka yang tegar dalam angkatan tentera, matlamat akhir mereka masih menghapuskan Pheu Thai dan puak Shinawatra daripada politik Thailand, satu dendam kesumat tercipta akibat dasar populis parti itu yang pro-desa dan tarikan akar umbi yang bertahan lama.

Kerajaan Pheu Thai selama tiga tahun telah membawa penambahbaikan mustahak bagi majoriti rakyat Thailand yang tinggal di kawasan luar bandar, yang menyaksikan kepentingan masyarakat pertanian diutamakan, yakni sesuatu yang jarang dilihat. Pentadbiran ini mengembangkan liputan kesihatan sejagat merangkumi rawatan gigi dan perkhidmatan kesihatan mental – satu penambahbaikan bagi masyarakat kawasan pertanian kerana pendedahan mereka kepada racun serangga dan tekanan mental akibat beban hutang telah membangkitkan epidemik kesihatan yang tidak dikhabarkan. Selain itu, sumbangan tunai berskala besar mencapai 20% rumah tangga termiskin, memberikan bantuan segera semasa tempoh ketidakstabilan ekonomi.

Dalam sektor pertanian, kerajaan Pheu Thai telah melaksanakan langkah penstabilan harga bagi beras. Melalui campur tangan pasaran yang strategik, mereka melindungi pekebun kecil daripada ketidakstabilan harga yang telah menyebabkan ramai antara mereka memikul beban hutang yang tidak dapat dilangsaikan. Pendekatan ini akhirnya menjurus kepada Akta Moratorium Hutang Petani 2024, yang menggantungkan pembayaran semula bagi lebih tiga juta buah keluarga, memberi ruang bernafas dalam sektor di mana majoritinya yang hidup di bawah garis kemiskinan.

Pentadbiran ini telah membuat pelaburan yang banyak dalam prasarana kawasan luar bandar, khususnya di kawasan terpinggir seperti Isaan. Sistem pengairan baharu berjaya menjamin akses kepada air di kawasan yang sering ketandusan, sementara sistem jalan berturap telah menghubungkan kampung-kampung terpencil dengan pasaran serantau buat kali pertama. Reformasi pendidikan turut merangkumi program makanan percuma sekolah dan biasiswa telah dirangka khas untuk mengekalkan kanak-kanak dari keluarga kaum tani di sekolah, lantas menangani isu kadar celik huruf yang paling tersorot dalam negara tersebut.

Langkah pro-rakyat miskin ini telah mencabar struktur kekuasaan yang telah sebati dalam masyarakat Thailand selama berdekad-dekad lamanya. Kesanggupan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum wilayah dan memotong kadar bunga, lantas menghiraukan bantahan korporat, serta sokongan langsung mereka kepada kaum tani yang berhutang, memberi gambaran jelas tentang mengapa elit tentera dan bandar menganggap agenda Pheu Thai sebagai menggugat kepentingan kelas mereka.

Keputusan pilihan raya 2023 memaksa Pheu Thai untuk memasuki gabungan politik bersama Bhumjaithai dan United Thai Nation, parti-parti yang sehaluan dengan angkatan tentera dan bekas rakan kerajaan kudeta 2014. Bagi penyokong Baju Merah yang telah menghadapi penindasan yang ganas, kesepakatan ini tidak senangi dan dianggap sebagai pengkhianatan. Namun, bagi pemikir strategis parti, langkah ini merupakan satu-satunya jalan untuk mengelakkan penyisihan politik sepenuhnya. Pilihan alternatif – untuk menyerahkan kuasa kepada pentadbiran royalis-tentera – akan menjamin perungkaian sepenuhnya dasar pro-rakyat miskin yang diperkenalkan sejak pentadbiran Thaksin Shinawatra 2001-2006, sesuatu yang telahpun mencetuskan kudeta dan pembuangannya ke luar negara.

Dihimpit antara pilihan mustahil ini setelah pilihan raya 2023, situasi Pheu Thai memperlihatkan dengan jelas paradoks politik di Thailand yang berkekalan: kemenangan pilihan raya masih memerlukan kompromi dengan kuasa-kuasa yang telah berulang kali melawan mandat demokrasi. Seperti yang dibingkaikan Thaksin sendiri setelah dia pulang dari hidup dalam buangan, “Kita terjun ke dalam api untuk menyelamatkan rakyat, bukannya untuk mati dibakar bersama mereka”. Oleh demikian, Pheu Thai perlu mengimbangi pelbagai kepentingan dengan cermat – bekerjasama dengan sistem yang masih dikawal oleh pihak lawan untuk melindungi kejayaan penting seperti kesihatan sejagat, pelepasan hutang kaum tani, dan dana pembangunan luar bandar.

Namun, di sebalik kejayaan parlimen gabungan itu sepanjang tiga tahun lalu, institusi reaksioner Thailand sekali lagi telah mewujudkan krisis untuk melemahkan Pheu Thai —kali ini dengan meningkatkan ketegangan dengan Kemboja. Berikutan pembunuhan askar Kemboja pada bulan Mei 225 oleh unit Harimau Timur, alasan muncul melalui panggilan diplomatik yang bocor antara Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan bekas pemimpin Kemboja Hun Sen, apabila beliau berusaha untuk meredakan ketegangan sempadan. Kenyataannya bahawa seorang leftenan jeneral kanan Tentera Diraja Thai adalah “lawannya” mengesahkan rahsia terbuka dalam politik Asia Tenggara: tentera Thailand— pemegang rekod dunia moden untuk kudeta — berkuasa sewenang-wenangnya dan sama sekali tidak mampu dikawal oleh kepimpinan orang awam.

Dari semua segi, maklumat itu dibocorkan pihak Hun Sen dengan sengaja membangkitkan persoalan sama ada dia telah mencapai kesepakatan dengan golongan elit Thai atau tidak. Kita mungkin tidak akan tahu. Walau apa pun, sebaik sahaja usaha diplomatik persendirian untuk mencegah konflik dibocorkan, golongan berpendirian keras di pihak Thailand mencipta naratif buatan yang menggambarkan kerajaan yang dipilih sebagai “lemah” dalam keselamatan negara yang mengakibatkan Paetongtarn digantung sebagai Perdana Menteri Thailand oleh mahkamah perlembagaan yang dipenuhi dengan lantikan mesra-tentera. Perbicaraan akhir dijadualkan pada akhir bulan ini, tetapi semua tanda menunjukkan pemecatannya yang sepenuh. Seperti yang dapat kita lihat dalam panggilan telefon yang bocor, peningkatan ketenteraan di sempadan baru-baru ini disahkan oleh Paetongtarn sendiri sebagai percubaan bermotif politik untuk menjejaskan kestabilan majoriti pakatan Pheu Thai yang rapuh di parlimen.

Namun, penganiayaan yang terancang ini hanya mengesahkan pegangan keluarga Shinawatra: golongan elit Thailand hanya akan bertolak ansur dengan pembaharuan yang pro-miskin apabila ia tidak mempunyai cara untuk menghalangnya. Strategi mereka, iaitu menempias gangguan kehakiman dan fitnah sambil melindungi kejayaan yang beransur-ansur membukit, tidak mencerminkan kelemahan, tetapi pemahaman pragmatik tentang peperangan politik yang asimetri.

Walau apa jua kelemahannya, Pheu Thai kekal sebagai satu-satunya wadah politik yang mampu mencabar kompleks tentera-beraja Thailand, struktur kuasa mengakar yang telah berleluasa sejak Perang Dingin. Krisis terbaharu ini adalah satu lagi pertempuran dalam perang kelas, di mana setiap cabaran terhadap status quo elit oleh golongan miskin luar bandar terpaksa berhadapan dengan kudeta, penggulingan oleh kehakiman, atau —seperti sekarang—skandal yang dibuat-buat. Mulai awal bulan Julai 2025, kerajaan itu berada di ambang bahaya: sama ada serpihan gabungan ini boleh terus maju, atau sama ada kereta kebal akan muncul semula dalam satu lagi rampasan kuasa. Kemungkinan, rampasan kuasa akan berlaku kerana pada 25 Julai angkatan tentera mengisytiharkan undang-undang tentera di 8 buah wilayah berhampiran sempadan. Apa yang tidak dapat dinafikan: mangsa sebenar ialah, seperti biasa, kaum pekerja Thailand.

Pihak Kemboja

Kemboja pada abad ke-20 menyaksikan antara tragedi moden yang paling dahsyat. Walaupun dunia mengingati pengeboman dalam “perang rahsia” yang dilaksanakan CIA dan medan pembunuhan Khmer Rouge, tidak ramai yang memahami bagaimana bencana ini membentuk perih jerih kehidupan kaum pekerja Kemboja. Acap kali analisis yang ditawarkan tertumpu pada pemerintahan autoritarian Hun Sen (1985-2023), namun ketaksubkan terhadap politik orang kuat ini mengaburi persoalan penting: bagaimana golongan proletar Kemboja bertahan, membina semula dan melawan setelah berakhirnya genosid?

Jawapannya boleh didapati di dalam kilang-kilang pembuatan pakaian yang mempunyai pekerja wanita yang hanya memperoleh gaji £150 sebulan, dan juga di kawasan bendang yang penuh dengan periuk api walau berdekad telah berlalu, masih lagi memungut nyawa. Jawapannya turut boleh didengari dari kata-kata rakyat terbanyak yang dirompak talian hidup mereka oleh tuan tanah dan perlombongan, dan bergema di dalam penjara, di mana pejuang pekerja meringkuk akibat tuntutan gaji mampu hidup. Inilah “kedamaian” yang didapati di Kemboja – bukannya penamatan keganasan tetapi penterjemahan perang kelas melalui bahasa neoliberalisme. Kuasa sama yang mengebom kawasan pedalaman Kemboja dengan 2.7 juta tan bahan letupan kemudiannya telah menyusun atur “pembinaan semula” ekonomi yang menukarkan mereka yang terselamat menjadi tenaga kerja boleh pakai buang bagi kepentingan modal sedunia. 

Nasib mereka tidak semestinya patut begini. Apabila angkatan tentera Vietnam, bersama rakan seperjuangan Kemboja yang dibuang negeri menubuhkan Barisan Kesatuan Kampuchea untuk Pembebasan Kebangsaan (“Kampuchean United Front for National Salvation”) membebaskan Phnom Penh pada bulan Januari 1979, mereka melancarkan salah satu usaha pembinaan semula pasca-genosid yang mempunyai cita-cita yang paling tinggi dalam sejarah moden. Jurutera-jurutera dari Vietnam membaik pulih bekal air dan elektrik di Phnom Penh dalam masa beberapa minggu; pasukan perubatan memvaksinasi lebih dua juta orang rakyat Kemboja untuk melawan polio dan malaria; dan kolektif pertanian membaik pulih pengeluaran pertanian. Bantuan dari Hanoi dan ketekunan rakyat Kemboja membina asas pembangunan dan kadar celik huruf meningkat dari 5% sehingga 88% menjelang tahun 1987. Generasi baharu guru, doktor dan penjawat awam Kemboja yang dilatih di Vietnam untuk memulakan kerja pembinaan semula bangsa.

Semasa fasa pembinaan semula ini, mereka cuba membina aparat negara bersifat proletar di Kemboja yang mengikut tauladan sistem sosialis Vietnam yang disesuaikan dengan realiti di Kemboja. Mereka menubuhkan Republik Rakyat Kampuchea (PRK) yang lengkap dengan industri yang dinasionalisasikan, pertanian kolektif, dan kempen celik huruf besar-besaran yang diinspirasikan oleh usaha pembinaan semula Hanoi setelah peperangan. Kerajaan mengutamakan keperluan asas iaitu sistem kesihatan percuma, pengagihan semula tanah kepada kaum tani, dan sistem pendidikan awam yang dibina semula dari asasnya, sementara memastikan penguasaan politik oleh akar umbi melalui kumpulan solidariti, Krom Samaki.

Namun, sokongan tunggal Vietnam kepada Kemboja menjadi beban yang terlalu berat untuk dipikul. Sementara Hanoi menyumbang 15-20% KDNK-nya untuk membina semula prasarana Kemboja, AS dan ASEAN (pimpinan Thailand) mendalangi pemberontakan ganas. Washington menyalurkan senjata kepada serpihan Khmer Rouge melalui Harimau Timur di sempadan Thailand, manakala Bangkok menyediakan tempat persembunyian dan askar upahan yang dilatih CIA – semuanya dijustifikasikan dengan menyokong “pejuang demokrasi”. Perang proksi ini melesukan Vietnam: menjelang tahun 1986, 40% tenteranya terperangkap di Kemboja, dan mereka terpaksa mencatu makanan semasa melawan gerila yang disokong AS-Thailand di luar negara. Usaha ini akhirnya menemui titik noktah apabila Kesatuan Soviet pimpinan Gorbachev — penaung terakhir Vietnam — mengurangkan bantuan apabila dibelenggu krisisnya sendiri. Menjelang tahun 1989, dengan 500,000 orang Vietnam kekurangan zat makanan dan ekonominya merosot teruk, Hanoi tidak mempunyai pilihan selain berundur, meninggalkan Kemboja kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan membangkitkan orang yang sama yang telah ditumbangkannya.

Kestabilan dan sistem negara sosialis awal Kemboja telah dimusnahkan secara sistematik oleh masyarakat antarabangsa yang sama yang mengabaikan genosid. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu — dipimpin oleh diplomat AS, UK, China dan Perancis — hanya mengiktiraf Khmer Rouge sebagai kerajaan sah Kemboja sehingga tahun 1991, menyalurkan senjata dan bantuan kepada angkatan tentera Pol Pot yang berada di sepanjang sempadan Thailand.

Pada tahun 1992 PBB menghantar UNTAC (United Nations Transitional Authority in Cambodia) untuk mentadbir negara itu. Misi “penjaga keamanan” bernilai AS$3 bilion menghalalkan rampasan penjajah dan malapetaka sosial. Apabila misi pengaman UNTAC tiba pada tahun 1992, ia mengenakan terapi kejutan neoliberal: perusahaan negara dilelong kepada pelabur asing, subsidi beras dimansuhkan, dan model pendidikan egalitarian Vietnam digantikan dengan yuran pengajian yang diluluskan Bank Dunia yang mendorong kanak-kanak luar bandar untuk keluar dari sekolah. Misi yang dijalankan oleh 22,000 kakitangan itu—sebahagian besar tentera Barat, Thailand dan Jepun — mencetuskan bencana kesihatan awam: Tentera PBB kerap mengunjungi rumah pelacuran Kemboja di mana kadar jangkitan HIV/AIDS melonjak daripada anggaran 0.1% pada tahun 1991 kepada 4% menjelang 1995, mewujudkan wabak yang masih melanda negara itu sehingga hari ini. Hasilnya ialah satu dekad yang hilang di mana jalan-jalan Phnom Penh dipenuhi dengan kenderaan pacuan empat roda berjenama UNICEF manakala 40% kanak-kanak Kemboja mengalami kekurangan zat makanan.

Usaha pembinaan semula yang disokong Vietnam terbengkalai. Apa yang wujud hari ini di Kemboja bukanlah kestabilan, tetapi kelangsungan sebuah sistem yang mengkomodifikasikan kelangsungan hidup dan memperdagangkan penderitaan manusia. Mangsa genosid kini menjadi buruh murah untuk rangkaian global seperti H&M dan Primark.

Dalam tempoh ini, terdapat satu wajah yang tidak pernah hilang dari pentas politik Kemboja: Hun Sen. Seorang bekas komander Khmer Rouge yang melarikan diri ke Vietnam pada tahun 1977 dan kembali sebagai perdana menteri muda boneka Hanoi pada tahun 1985. Dia menggelar diri sebagai seorang Marxis-Leninis, tetapi meninggalkan sosialisme apabila bantuan Kesatuan Soviet terhenti. Menjelang tahun 1993, di bawah seliaan UNTAC, Hun Sen muncul semula sebagai “demokrat pasaran bebas” — namun masih mengekalkan skuad pembunuh untuk menyingkirkan pencabar politik. Di sebalik topeng, wajah sebenarnya ialah sebagai hamba kepentingan luar: dari pelaburan China dan bantuan ketenteraan AS, ke hubungan politburo Vietnam dan kartel kasino Thailand. Lelaki yang pernah mengkolektifkan sawah padi kini mengusir kaum tani demi pemaju asing. Bekas komunis yang dahulunya mengutuk “NGO imperialis” kini bergantung kepada mereka untuk menjalankan klinik AIDS, sementara kroninya terus mencuri belanjawan kesihatan awam.

Kemboja kini menjadi medan eksperimen pasaran bebas “pasca-sejarah” yang gagal. Negara diswastakan, infrastruktur sosial dipinggirkan, dan sistem kebajikan digantikan oleh bantuan asing berskala besar — yang kini hampir kering sepenuhnya. Negara kehilangan keupayaan asas untuk berfungsi. Di tengah ketidakstabilan ekonomi yang kian meruncing, Hun Sen mewariskan kuasa kepada anaknya Hun Manet, bukan sebagai tanda perubahan, tetapi sebagai kesinambungan model kuasa lama.

Apa yang berlaku hari ini bukanlah peralihan kuasa, tetapi kesinambungan sistem yang ditinggalkan UNTAC: kapitalisme tanpa pembangunan, dan mereka yang terselamat daripada genosid menjadi buruh yang mudah dieksploitasi. Tiga dekad selepas campur tangan PBB, janji pembangunan dan keamanan yang dibawa oleh UNTAC kini tinggal mimpi kosong.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi Kemboja semakin tenat. Sektor pembuatan pakaian — yang menyumbang 40% kepada KDNK dan merupakan warisan langsung model kilang UNTAC — mula runtuh apabila jenama barat mula mengabaikan negara itu. Dalam tempoh setahun, lebih 90 buah kilang ditutup, dan 85,000 orang pekerja diberhentikan. Pelaburan asing menjunam 32%, manakala pengangguran belia mencecah 18.4% — di dalam sebuah negara di mana umur median hanya 25 tahun. Nilai mata wang riel terus merosot, inflasi mencecah 4.5% walaupun gaji tidak berubah, dan 1.2 juta orang rakyat kini hidup di bawah paras AS$1.90 sehari. Rampasan tanah oleh golongan elit menyebabkan hasil beras merosot, menambahkan tekanan ke atas ekonomi luar bandar.

Dengan negara kekurangan keupayaan untuk menangani pelbagai krisis, hanya satu jalan keluar tersisa: memanipulasi sentimen nasionalisme dan mencipta musuh luar.

Konflik Sempadan Thailand–Kemboja

Hun Sen memerintah dari tahun 1985 hingga 2023, sebelum menyerahkan kuasa kepada anaknya Hun Manet. Di Thailand, Paetongtarn Shinawatra— anak kepada Thaksin— pula kini mengetuai Pheu Thai. Kedua-dua orang ini mewarisi legasi politik ayah masing-masing. Hubungan antara dua buah keluarga ini juga rapat. Pendedahan Wikileaks pernah menunjukkan bahawa Thaksin menyokong Kemboja dalam isu kuil Preah Vihear pada tahun 2009. Dalam panggilan telefon yang bocor baru-baru ini, Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai “pakcik”.

Akan tetapi, Hun Sen kini seolah-olah telah berpaling tadah. Dia cuba mendekati golongan elit konservatif Thailand untuk mengalih perhatian daripada krisis ekonomi seperti kelemahan mata wang dan pengangguran belia, mengukuhkan kedudukan anaknya, dengan memanfaatkan sentimen nasionalis. Pendedahan panggilan itu seperti disengajakan untuk melemahkan Pheu Thai — menunjukkan betapa cepat kesetiaan politik berubah apabila kepentingan tidak lagi selari.

Apabila kita menelusuri sejarah konflik ini, dari sempadan berdarah akibat operasi Harimau Timur dengan sokongan CIA, ke perobohan sistem sosialisme oleh UNTAC, ke kepelbagaian wajah Hun Sen, hingga ke dasar tegar anti-komunisme negara Thailand, jelas bahawa konflik ini bukan pertikaian dua antara dua bangsa. Ia merupakan kesinambungan perang kelas sedunia, di mana golongan terbanyak diarahkan untuk mengorbankan nyawa mereka demi kepentingan empayar, lama mahupun baharu.

Perang ini bukan mengenai persoalan kuil. Bukan sekadar konflik peribadi Hun Sen-Shinawatra. Bukan percaturan AS-China. Bukan kebangkitan semangat patriotik. Ia merupakan hasil projek anti-komunisme berdekad-dekad, dari kedua-dua belah sempadan. Ini ialah perang terhadap golongan terbanyak, dilaksanakan oleh mereka sendiri, atas arahan golongan elit.

Akibatnya sudah dirasai. Pada tahun 2011, 30,000 orang penduduk Kemboja menjadi pelarian, kehilangan rumah, dan kehilangan hasil tani. Sawah menjadi kawah, ternakan mati kelaparan. Di pihak Thailand, kesannya sama. Hutang mencengkam, tanah digadai, sawah padi dipenuhi periuk api lama dan baharu. Kedua-dua negara mengerahkan tentera ke sempadan dan kawasan tersebut menjadi zon ketenteraan. Sekolah ditutup, klinik terbiar. Askar mengerumuni bilik darjah dan hospital. Keluarga terpisah –  ibu dan anak terpaksa lari menyelamatkan nyawa, bapa tinggal untuk menjaga tanah yang dimusnahkan api peperangan.

Bangkok kini dikawal oleh tentera yang menyandera kerajaan orang awam. Phnom Penh pula dikuasai golongan elit yang dipengaruhi khayalan pasaran bebas mazhab Chicago. Kedua-duanya memilih untuk berperang hanya untuk mengekalkan status quo. Dan seperti biasa, yang menanggung derita hanyalah golongan terbanyak di kedua-dua belah sempadan. Inilah hakikat sebenar di sebalik penguasaan Harimau Timur dan organisasi seperti UNTAC: sebuah perang kelas yang membinasakan dan dijual atas nama pembangunan dan keamanan.

Dalam konflik ini, pendamaian antara negara adalah satu-satunya penyelesaian yang adil untuk rakyat terbanyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *