oleh Choo Chon Kai

Negara Malaysia merupakan Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025 dan tuan rumah kepada Persidangan Kemuncak ASEAN ke-46. Kepengerusian ASEAN-Malaysia menampilkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. Namun, bagaimana negara-negara anggota ASEAN dapat melangkaui retorik berbunga-bunga dalam kenyataan rasminya untuk mencapai keterangkuman dan kemampanan yang sebenar demi kesejahteraan bersama rakyat di seluruh rantau Asia Tenggara?

Negara-negara ASEAN masih mengamalkan corak pembangunan yang mengekalkan pendapatan pekerja biasa pada tahap yang rendah dalam persaingan sesama diri mereka untuk menarik pelabur asing di dalam dan di luar rantau ini. Negara-negara ASEAN telah terjerumus dalam “perlumbaan ke bawah” (race to the bottom) untuk mengurangkan cukai korporat dan mengurangkan kawal selia terhadap syarikat-syarikat korporat demi menarik lebih banyak pelaburan modal ke negara masing-masing. Pendekatan ini mungkin boleh membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat dari segi angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi ia melebarkan jurang antara golongan yang kaya dan golongan yang miskin, maka mengundang pelbagai masalah sosial.

Amalan yang cuba berjinak dengan modal antarabangsa telah menyebabkan nisbah hasil kerajaan kepada KDNK mengecut dengan ketara sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Di Malaysia, nisbah hasil kerajaan kepada KDNK telah menurun daripada kira-kira 30% pada tahun 1980-an kepada hanya kira-kira 16% pada tahun 2024. Penurunan nisbah hasil kerajaan kepada KDNK ini telah menjejaskan keupayaan kerajaan dalam mewujudkan perlindungan sosial yang lebih baik bagi rakyat kita.

Negara-negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia, masih menggunakan strategi yang berorientasikan eksport untuk pembangunan ekonomi negara masing-masing. Ini menyebabkan kita amat bergantung pada pasaran di negara-negara maju untuk menjana permintaan bagi industri-industri di dalam negara kita. Namun, sudah terbukti bahawa ekonomi global sentiasa mengalami krisis dan penyusutan kadar pembangunan ekonomi di negara-negara maju sudah pasti akan menjejaskan sektor perindustrian di negara-negara sedang membangun yang mengamalkan corak pembangunan berorientasikan eksport.

Tambahan pula, penyertaan negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, dalam perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang mendukung fahaman neoliberal, iaitu dasar ekonomi yang menekankan liberalisasi perdagangan (seperti pengurangan cukai import-eksport), penswastaan sektor awam dan penyahkawalseliaan terhadap modal, telah menyekat secara ketara keupayaan kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara. Ini menyebabkan kerajaan sesebuah negara tidak mempunyai kelonggaran fiskal dalam melaksanakan sistem perlindungan sosial yang lebih komprehensif bagi rakyat jelata dan menangani krisis iklim secara berkesan.

Oleh itu, tiba masanya untuk kita menilai semula strategi pembangunan yang tidak mampan ini, supaya membangunkan model ekonomi baharu yang lebih mampan, berketerangkuman, sihat dan manusiawi demi kesejahteraan rakyat jelata. Adalah sukar untuk sesebuah negara sedang membangun melakukannya secara sendiri, namun kita boleh menggunakan ruang kerjasama antara negara-negara serantau untuk membangunkan alternatif baharu secara bersama-sama, jika pemimpin-pemimpin negara kita mempunyai visi yang jelas dan kesungguhan politik yang kental.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama 54 buah organisasi yang lain di negara kita telah menyerahkan sebuah memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada 21 Januari 2025, untuk mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Kerajaan Malaysia dalam usaha membawa ASEAN ke arah yang dapat memanfaatkan semua penduduk di rantau Asia Tenggara.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh PSM ialah:

  • Membangunkan pasaran dalaman Asia Tenggara untuk mengurangkan kebergantungan pada pasaran di luar rantau ini seperti Eropah dan Amerika Syarikat, di samping menjana pekerjaan baharu, meningkatkan kutipan cukai dan memperluaskan pasaran bagi barangan keluaran peniaga-peniaga kecil tempatan;
  • Membangunkan strategi untuk meningkatkan gaji minimum di negara-negara ASEAN secara bersama, serentak dan bersesuaian dengan tahap sara hidup;
  • Menghentikan perlumbaan antara negara-negara ASEAN dalam mengurangkan kadar cukai korporat, sebaliknya bekerjasama dalam mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur dan serentak di rantau Asia Tenggara supaya mencapai satu tahap yang lebih tinggi;
  • Memperkenalkan kadar cukai karbon yang sama dan berkesan untuk mengawal pelepasan karbon di semua negara ASEAN;
  • Mengambil langkah-langkah konkrit untuk menangani masalah pengangguran anak muda dengan cara seperti mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam sektor awam (seperti kesihatan, kebajikan dan pemuliharaan alam sekitar) serta ekonomi kitaran, di samping memastikan sektor swasta mengeluarkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan rakyat serantau;
  • Mengadakan usahasama untuk mempelopori industri hijau baharu;
  • Melindungi hak asasi orang pelarian, seperti hak mereka untuk bekerja;
  • Mewujudkan proses semak-dan-imbang yang telus untuk ekstradisi (penghantaran pulang orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa negara masing-masing) antara negara-negara ASEAN, untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan ekstradisi oleh sesetengah kerajaan dalam menindas golongan pengkritik;
  • Menganjurkan program-program yang benar-benar dapat mengeratkan hubungan antara rakyat biasa di negara-negara ASEAN.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 Persidangan Bandung, iaitu persidangan bersejarah yang disertai oleh negara-negara Asia dan Afrika yang baru mencapai kemerdekaan pada tahun 1955 untuk membangunkan kerjasama ekonomi dalam usaha membebaskan diri daripada ancaman kolonialisme oleh mana-mana kuasa besar. “Semangat Bandung” mendukung keamanan dunia, kesamarataan dalam kalangan negara-negara di dunia tanpa mengira yang besar atau yang kecil, keadilan sosial yang sejagat dan kerjasama antara negara-negara demi kepentingan bersama. Semangat Bandung juga menggariskan keperluan untuk negara-negara sedang membangun itu berdikari dan membebaskan diri daripada kebergantungan pada negara-negara maju. Ini hanya dapat dilakukan dengan usaha sama semua negara yang mempunyai aspirasi pembebasan yang serupa.

Dalam suasana dunia yang diselubungi dengan pelbagai ancaman konflik perang, krisis ekonomi dan kemusnahan alam sekitar, adalah penting untuk negara-negara ASEAN membangunkan semula “Semangat Bandung”. “Semangat Bandung” pada 75 tahun dahulu lahir di rantau Asia Tenggara juga, maka ia boleh dibangunkan semula oleh negara-negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia yang boleh memainkan peranan yang lebih proaktif, dalam usaha kita menangani krisis global dan menjamin kesejahteraan masyarakat di rantau Asia Tenggara.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *