oleh Brian Khow Tong Chee

Laporan The Star pada 9 Jun  menyatakan bahawa “suhu bola basah” (wet-bulb temperature, WBT) membawa bahaya kepada kesihatan rakyat. Apabila suhu persekitaran tinggi, tubuh manusia berpeluh untuk menyejukkan badan. Tetapi apabila kelembapan terlalu tinggi, peluh sukar untuk menyejat, menjadikannya sukar untuk tubuh menurunkan haba. Ini boleh menyebabkan suhu dalaman tubuh meningkat secara berbahaya dan boleh membawa maut.

Apabila kelembapan relatif melebihi 90%, walaupun suhu “biasa” seperti 31°C boleh menjadi berbahaya. Kumpulan tertentu yang senang terdedah kepada tekanan haba, adalah seperti warga emas, wanita hamil, kanak-kanak, pekerja  yang bekerja di luar bangunan dan individu yang mengalami penyakit kronik.

Dengan perubahan iklim yang menjadikan cuaca panas melampau semakin kerap, WBT kini menjadi isu kesihatan awam yang kritikal. Di Malaysia, kita mempunyai bilangan besar pekerja yang bekerja di luar bangunan – petani, buruh pertanian, pekerja binaan, penjaja tepi jalan, penghantar makanan dan lainlain. Melindungi mereka daripada tekanan haba mesti menjadi keutamaan negara.

Kementerian Sumber Manusia Singapura mempunyai rangka kerja pengurusan tekanan haba yang lebih lengkap, termasuk: latihan penyesuaian haba sebelum pekerja kembali bekerja, kemudahan air minuman berhampiran tapak kerja, sistem pemantauan WBT secara masa nyata, dan rehat berkala di tempat berteduh. Oleh kerana iklim Singapura serupa dengan negara kita, kerajaan Malaysia harus menggunakan rangka yang serupa dan terikat dengan undang-undang agar memastikan para majikan mematuhi garis panduan berkenaan secara berkesan.

Malaysia juga boleh mengambil contoh daripada dasar-dasar China, seperti penghentian kerja secara wajib atau pengurangan intensiti kerja semasa cuaca panas melampau, serta pemberian elaun cuaca panas yang ditanggung oleh majikan. Kebanyakan pekerja  yang bekerja di luar bangunan adalah daripada golongan berpendapatan rendah, namun mereka menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara. Pemberian elaun panas bukan sahaja satu bentuk pengiktirafan terhadap kerja keras mereka, malah juga sebagai pampasan atas kehilangan pendapatan apabila mereka terpaksa berhenti kerja akibat cuaca panas yang berbahaya.

Kerajaan dan majikan juga perlu segera memperkukuhkan perlindungan sosial untuk pekerja  yang bekerja di luar bangunan. Ini termasuk menaikkan skim pencen serta memperluaskan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk merangkumi pampasan bagi tekanan haba dan penyakit berkaitan. Perlindungan sedemikian biasanya disediakan oleh majikan kepada pekerja dalam sektor formal, manakala pekerja dalam sektor tidak formal atau yang bekerja sendiri – seperti penjaja kecil di tepi jalan dan petani kecil yang memainkan peranan penting dalam keselamatan makanan – seharusnya dilindungi oleh kerajaan.

Bagi memastikan pematuhan majikan terhadap peraturan, pekerja yang bekerja di luar bangunan perlu disokong untuk menubuhkan badan pemantau bebas yang diwakili secara demokratik oleh wakil yang dipilih oleh pekerja itu sendiri. Kita tidak boleh terus bergantung kepada agensi penguatkuasaan kerajaan yang lemah dan tidak berkesan. Badan yang diterajui oleh pekerja ini perlu diberikan kuasa sebenar – untuk berunding terus dengan majikan dan menuntut infrastruktur yang diperlukan bagi mengurangkan risiko haba. Kerajaan juga perlu menubuhkan badan khas untuk aduan dan timbang tara bagi melengkapi mekanisme pemantauan ini.

Pekerja binaan – ramai antaranya pekerja migran – merupakan salah satu kumpulan paling terdedah kepada haba melampau dan eksploitasi. Walaupun undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan ditambah baik, mereka masih berdepan tekanan daripada majikan dan ejen, serta diskriminasi oleh masyarakat. Kerajaan harus menilai semula kebergantungan terhadap pemaju swasta dalam pembangunan perumahan dan memainkan peranan aktif dalam menyediakan perumahan yang benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat biasa.

Kerajaan juga perlu menggubal dasar untuk menghentikan amalan penyewaan semula rumah awam untuk keuntungan dan menasionalisasikan unit perumahan yang tidak berpenghuni. Kita tidak seharusnya mengeksploitasi tenaga kerja golongan terpinggir dalam persekitaran berbahaya semata-mata untuk membina kediaman mewah yang tidak mampu diduduki oleh rakyat biasa. Walaupun perkara ini kelihatan tidak berkaitan langsung dengan keselamatan pekerja, menghentikan pembaziran tenaga kerja dalam projek-projek elit sebenarnya satu bentuk perlindungan kepada pekerja yang bekerja di luar bangunan yang terpinggir.

Perubahan iklim berpunca daripada sistem ekonomi kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan. Kapitalisme bukan sekadar satu sistem politik dan ekonomi, malah ia juga membentuk cara kita berfikir: ia menukarkan segalanya – termasuk manusia dan alam sekitar – menjadi angka dan wang, sambil menyalurkan kekayaan kepada segelintir elit. Merendahkan martabat dan mengeksploitasi sesetengah golongan merupakan cara termudah untuk memaksimumkan keuntungan. Dan golongan yang sering direndahkan inilah – seperti pekerja yang bekerja di luar bangunan – yang paling terkesan akibat perubahan iklim.

Kita tidak boleh terus menggunakan alasan “tiada wang” untuk tidak bertindak. Apa yang sebenarnya kurang adalah kesedaran terhadap krisis ini, imaginasi tentang penyelesaian alternatif, dan keberanian politik untuk membuat perubahan. Kita masih percaya kepada dasar-dasar acah hijau (greenwashing) yang tidak berkesan, malah memindahkan beban kepada golongan terpinggir. Hakikatnya, kerajaan boleh membiayai perlindungan ini melalui pelbagai cara – seperti mengenakan cukai tambahan kepada golongan kaya, mengurangkan ketirisan dalam pentadbiran, dan lain-lain.

Perubahan iklim sepatutnya menjadi peluang untuk kita menilai semula sistem ekonomi kapitalis dan gaya hidup berasaskan kapitalisme – termasuk cara kita mengorganisasikan tenaga kerja. Cadangan pembaharuan seperti yang disebut di atas bukanlah perkara yang radikal. Perubahan iklim akan memaksa banyak sektor pekerjaan menukar cara operasinya. Namun, jika perubahan ini tidak bersifat inklusif, adil, dan saksama, maka kita akan mensia-siakan peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.

==========

Brian Khow Tong Chee ialah Ahli Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Rujukan

Singapore’s Ministry of Manpower. (6 September, 2024). Revised framework to guide employers and protect outdoor workers against heat stress. Retrieved from mom.gov.sg

The Chinese Government Website. (5 July, 2012). 关于印发防暑降温措施管理办法的通知 (Notice on Issuing the Administrative Measures for Heat Prevention and Cooling Measures). Retrieved from nhc.gov.cn

The Star Online. (9 Jun, 2025). Malaysia at risk of deadly humidity threat. Retrieved from

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *