TAPAH, PERAK – 26 APRIL 2025: Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning di Perak menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN yang dipertandingkan itu dengan majoriti yang lebih besar, tetapi peratusan mengundi adalah jauh lebih merendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Keputusan penuhnya seperti berikut:

  1. Dr Mohamad Yusri Bakir – Barisan Nasional (BN): 11,065 (60.70%)
  2. Abd Muhaimin Malek – Perikatan Nasional (PN): 6,059 (33.2%)
  3. Bawani KS – Parti Sosialis Malaysia (PSM) – 1,106 (6.1%)

Peratusan keluar mengundi dalam PRK Ayer Kuning kali ini agak rendah, iaitu hanya 58.07%. Peratusan ini jauh kurang berbanding 70% yang disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan peratusan keluar mengundi semasa PRU-15 pada tahun 2022 (74.85%). Ia juga merupakan kadar keluar mengundi yang paling rendah dalam sejarah pilihan raya di kawasan DUN Ayer Kuning sejak tahun 1986.

Walaupun nampaknya BN menang besar dalam PRK Ayer Kuning, ia berkemungkinan kerana sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) yang bergabung dengannya dalam Kerajaan Perpaduan dan penggunaan sumber kewangan yang begitu besar, dengan pelbagai kenduri, jamuan makan dan pemberian hadiah. Dalam PRU-15 pada tahun 2022, BN dan PH secara bergabung meraih sebanyak 15,963 undi, bersamaan 68% undian. Jadi, gabungan BN-PH telah kehilangan 4,898 undi, dan menurun sebanyak 7.3 titik peratusan berbanding PRU yang lalu. Sokongan kepada PN, pesaing terdekat bagi BN, kurang sebanyak 753 undi berbanding PRU-15, walaupun peratusan undi yang diperolehnya meningkat sebanyak 4.2 titik peratusan, kerana kadar keluar mengundi yang rendah.

Sekali lagi, PSM kalah di kawasan DUN Ayer Kuning dan tidak dapat mempertahankan wang deposit (yang memerlukan 12.5% daripada jumlah undi yang sah). Namun, ia merupakan satu keputusan yang menggalakkan bagi PSM. PSM meraih 586 undi, bersamaan 2.5%, dalam PRU-15, tetapi telah bertambah sebanyak 520 undi, dengan peningkatan sebanyak 3.6 titik peratusan, ataupun 88.7%, berbanding PRU yang lalu.

Ini juga merupakan keputusan pilihan raya yang terbaik bagi PSM dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini sejak tahun 2013.

PSM telah menjalankan satu kempen pilihan raya yang penuh bersemangat, dengan penglibatan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang dan sokongan daripada parti-parti politik lain yang berhasrat untuk membina kuasa ketiga. Bawani KS, menjadi satu-satunya calon dalam PRK Ayer Kuning yang mengisytihar hartanya semasa kempen pilihan raya. Bawani KS juga mengadakan sidang media hampir setiap hari sepanjang tempoh kempen pilihan raya untuk mengetengahkan pelbagai isu rakyat.

Walaupun kalah, penyertaan PSM dalam PRK Ayer Kuning telah menjadi titik permulaan kepada usaha pembentukan kuasa ketiga yang progresif dalam politik negara kita yang masih dikuasai oleh gabungan politik lama yang asyik mempermainkan sentimen perkauman dan gagal menangani masalah rakyat marhaen. Perjuangan PSM untuk demokrasi sejati, keadilan sosial dan kesejahteraan bersama merupakan proses yang berterusan dan perlu mengambil masa yang panjang. Ia memerlukan komitmen, kesabaran, keberanian, kegigihan dan kecekalan untuk memajukannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *