
AIR KUNING, PERAK – 21 APRIL 2025: Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan DUN Ayer Kuning, mengetengahkan isu-isu yang berkaitan dengan sistem kesihatan awam dalam satu sidang media khas pada hari ini di hadapan Klinik Desa Air Kuning.
“Walaupun perkhidmatan kesihatan awam terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, oleh sebab ia merupakan satu keperluan asas yang amat penting bagi rakyat biasa, maka akan melakukan perkara-perkara yang boleh membantu akses kesihatan awam sekiranya saya dipilih sebagai ADUN Ayer Kuning,” kata Bawani KS.
Bawani KS menyenaraikan tiga perkara yang akan dilakukannya jika dipilih sebagai ADUN Ayer Kuning:
- Mempromosi skim PeKa B40, iaitu program yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan saringan kesihatan bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang berumur 40 tahun ke atas. Ini kerana masih ramai rakyat yang layak mengakses program ini tidak menggunakannya. Jika dipilih sebagai ADUN, Bawani akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan DUN Ayer Kuning untuk menggalakkan lebih ramai penduduk yang layak di situ supaya menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mengenal pasti penyakit pada peringkat awal jika ada, serta menerima rawatan sebelum munculnya kesan negatif atau komplikasi yang berkaitan dengan penyakit berkenaan.
- Menggalakkan golongan suri rumah tangga supaya menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dianjurkan oleh PERKESO. SKSSR merupakan insurans sosial yang memberi perlindungan terhadap keilatan. Seorang wanita suri rumah yang mendaftar dengan skim ini dikenakan bayaran sebanyak RM120 setahun. Sekiranya mengalami kemalangan dan menghidapi penyakit yang menyebabkan keilatan pada dirinya, pihak PERKESO akan membayar pencen bulanan kepada orang yang berinsurans sepanjang hayatnya.
- Mengenakan moratorium terhadap pembinaan hospital swasta yang baharu. Jika Bawani dipilih sebagai ADUN, dia akan mengusulkan dalam DUN supaya menghentikan pemberian kelulusan tanah kepada apa-apa pembinaan hospital swasta. Pembekuan pembinaan hospital swasta baharu merupakan salah satu langkah penting untuk mengurangkan masalah penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta, dan memastikan rakyat menerima rawatan yang lebih baik di hospital awam.

Bawani juga menegaskan bahawa usaha mempertahankan dan menambah baik sistem kesihatan awam merupakan agenda perjuangan utama PSM.
Turut hadir bersama dalam sidang media hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
“Mengenal pasti penyakit pada peringkat awal adalah penting, tetapi malangnya ramai orang, khususnya golongan berpendapatan rendah, mengalami masalah kelewatan dalam mendapatkan diagnosis penyakit,” kata Dr. Jeyakumar. “Rakyat biasa terpaksa menghadapi masalah masa menunggu yang lama di hospital awam, kerana kesesakan akibat kekurangan kakitangan kerajaan dan peruntukan dana. Ini juga menyebabkan kelambatan dalam mendapatkan diagnosis yang sepatutnya.”
“Bagi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah, apabila seorang dalam keluarga menghidapi penyakit tenat yang memerlukan jagaan rapi, keluarga itu akan kehilangan dua orang yang dapat mencari nafkah, maka memburukkan lagi keadaan hidup mereka,” ulas Dr. Jeyakumar. “Oleh itu, meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam adalah penting untuk membolehkan rakyat mendapat diagnosis yang lebih awal dan rawatan yang secukupnya.”
Selama ini, PSM sentiasa mengetengahkan isu berkaitan dengan sistem kesihatan awam di negara kita, termasuk membantah sebarang langkah yang menggadaikan kesihatan kepada kepentingan korporat yang bermotifkan keuntungan dan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam bagi semua.




One thought on “Bawani ketengahkan isu kesihatan awam dalam PRK Ayer Kuning”