
oleh S. Arutchelvan
Sejak isu kuil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, meletup baru-baru ini, pelbagai pihak telah mengambil posisi, sama ada bersama pihak kuil, terutamanya dalam kalangan penganut agama Hindu, atau pihak yang menentang kewujudan kuil di situ, terutamanya dalam kalangan penganut agama Islam. Pendirian mereka adalah sesuatu yang tidak janggal dan boleh dijangka. Ahli-ahli politik berhujah mengikut aspirasi kaum masing-masing, termasuk juga ahli-ahli politik kaum India dan PMX sendiri. Suasana di media sosial juga agak tegang dan memudaratkan, sehingga PDRM telah bertindak terhadap beberapa orang individu yang mengapi-apikan sentimen perkauman.
Dalam tulisan ini, saya cuba memberi sedikit pencerahan mengenai konsep kuil haram dan sah, dengan harapan bahawa tulisan saya sedikit sebanyak dapat membuka hati dan minda rakyat daripada pelbagai agama untuk melihat aspek yang rumit ini dalam konteks yang lebih jelas dan nyata. Saya berharap tulisan ini memberi pedoman kepada semua penganut agama, baik yang beragama Hindu mahupun Islam. Pendirian saya adalah, memang bangunan kuil tidak boleh dibina sewenang-wenangnya dan perlu dikawal selia. Dalam konteks yang sama, melabel semua kuil sebagai penceroboh dan haram juga adalah tidak betul dan tidak berasas.
3 kategori kuil Hindu
Dalam penghayatan saya, ada 3 jenis kuil Hindu. Jenis pertama adalah kuil yang mempunyai geran, baik ia berada di dalam tanah sendiri atau tanah yang telah diluluskan oleh Pentadbir Tanah di daerah masing-masing. Kuil jenis ini secara amalannya bukan majoriti. Kuil jenis ini tidak ada isu status undang-undang langsung.
Jenis kedua adalah kuil besar yang telah wujud berdekad-dekad lamanya, mempunyai fungsi keagamaan dan ada yang wujud lebih 100 tahun. Kuil ini telah memainkan peranan penting sebagai institusi agama. Kuil-kuil ini sering diberi dorongan oleh ahli-ahli politik dari dahulu lagi dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi dalam kalangan penganutnya.
Kebanyakan jawatankuasa kuil ini mempunyai pendaftaran di bawah Pendaftar Pertubuhan dan juga ada yang didaftar dengan Hindu Sangam. Hindu Sangam ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggap sebagai perwakilan kepentingan agama Hindu. Mereka biasa dijemput oleh kerajaan sebagai wakil masyarakat Hindu, dan juga mewakili masyarakat Hindu dalam program-program interfaith (merentasi agama). Namun demikian, dari segi undang-undang, mereka tidak mempunyai kuasa seperti JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ataupun Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang menguruskan hal ehwal gereja Kristian. Hanya di negeri Pulau Pinang adanya Lembaga Wakaf Hindu (Hindu Endowments Board, HEB) yang menguruskan kuil-kuil Hindu di Pulau Pinang.
Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya pernah berjanji untuk menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu di peringkat negeri mengikut model Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, dan telah menyatakan komitmen untuk menubuhkan Lembaga Wakaf Hindu di Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Namun demikian, janji itu masih belum dikotakan sepertimana banyak janjinya yang lain.
Kuil di ladang
Saya menganggap kuil Hindu yang didirikan di dalam kawasan ladang sebagai kuil dalam kategori kedua, dan pihak syarikat ladang sendiri banyak menyumbang kepada aktiviti kuil. Kuil-kuil ini penting kerana ia memberikan satu eskapisme (pelepasan diri daripada realiti) kepada masyarakat yang ditindas oleh majikan penjajah British dan kemudiannya oleh majikan tempatan. Biasanya ada dua institusi yang disokong oleh pihak majikan di ladang, iaitu kedai todi (arak tradisi) dan kuil, kerana kedua-duanya memberikan satu jalan keluar kepada pekerja-pekerja ladang yang ditindas dengan gaji yang rendah dan keadaan kerja yang teruk.
Kuil-kuil ini pada asalnya berada di atas tanah syarikat perladangan. Pihak syarikat perladangan tidak akan membenarkan tanah itu dipindah milik kepada jawatankuasa kuil, kerana setiap inci tanah adalah harta milik persendirian kapitalis ladang itu. Namun demikian, sejak tahun 1980-an dan era perindustrian, banyak ladang kini telah bertukar kepada kawasan perindustrian dan kawasan perumahan mewah. Oleh itu, apabila ladang-ladang ini dibangunkan dan dimajukan kepada guna tanah yang lain, maka kuil-kuil ini mungkin diusir atau ada yang dibiarkan di tanah tersebut. Terdapat juga contoh sejak kebelakangan ini di mana syarikat perladangan menyerahkan tanah kuil kepada jawatankuasa kuil atau dilupuskan semula kepada Pejabat Tanah untuk kegunaan penempatan kuil.
Ladang Seafield ialah satu contoh yang menonjol. Ramai orang India akan mengingati bagaimana kuil itu diceroboh oleh orang upahan syarikat manakala ramai orang Melayu akan selalu berkata pasal arwah Muhammad Adib, seorang anggota bomba yang menjadi mangsa terkorban dalam isu perbalahan mengenai tapak kuil di Ladang Seafield. Walaupun Ketua Polis Negara terdahulu dan juga siasatan dalaman tidak menamakan mana-mana individu atas kematian arwah Adib, isu ini sering menjadi batu api perbalahan perkauman sehingga hari ini.
Namun, hujah saya adalah lebih kepada isu ladang. Kuil Ladang Seafield adalah contoh terbaik di mana apabila tanah ladang dijual kepada sebuah syarikat hartanah, maka akan adanya rundingan untuk sama ada mengekalkan atau memindahkan tapak kuil tersebut. Akhirnya kuil Seafield kekal di tempat asal. Isu perbalahan ini sering berlaku semasa operasi ladang ditamatkan dan kini tanah ditukar kepada guna tanah yang lain.
Seksyen 214A – Lembaga Tanah Estet
Adakah pekerja ladang dan kemudahan pekerja ladang, seperti perumahan, tempat ibadat kuil dan sekolah, mendapat perlindungan di bawah undang-undang apabila sebuah ladang itu dimajukan atau dibangunkan?
Ramai orang yang tidak tahu tentang peruntukan di bawah Seksyen 214A Kanun Tanah Negara (Akta 828), iaitu mana-mana syarikat atau tuan punya ladang yang mahu membangunkan tanah asal ladang itu perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Tanah Estet. Pengerusi Lembaga Tanah Estet ini biasanya ialah Menteri Besar atau Exco Tanah.
Dalam pengalaman kami, sepatutnya Menteri Besar atau Exco perladangan perlu memastikan bahawa isu-isu seperti perumahan, sekolah dan kuil diselesaikan dahulu sebelum tanah diluluskan untuk pembangunan lain. Tanpa sokongan daripada Lembaga Tanah Estet atau Kerajaan Negeri, kelulusan untuk menukar status ladang daripada pertanian kepada pembangunan lain umpamanya tidak dapat diberikan. Di sini, kita lihat bahawa banyak pemaju hartanah yang kaya dapat melobi atau merasuah kerajaan negeri di mana kelulusan Lembaga Tanah Estet diberikan tanpa mengambil kira sama ada isu-isu penempatan kuil di ladang itu sudah selesai atau belum.
Kuil di kawasan hospital dan tempat lain
Satu lagi isu adalah kuil-kuil yang berada di kawasan hospital, berdekatan landasan kereta api dan tepi jalan. Banyak daripada kuil ini telah wujud untuk berdekad-dekad lama, dan ia didirikan oleh tenaga buruh dari India pada masa itu yang bekerja untuk membina jalan raya, landasan kereta api dan sebagainya.
Kajian sejarah akan menunjukkan bahawa tenaga buruh pertama yang membina landasan kereta api, jalan raya dan sebagainya adalah pekerja-pekerja dari India. Mereka kemudian telah diberikan kewarganegaraan atas persetujuan semua parti politik besar pada masa itu.
Jadi, dari sejarahnya, golongan buruh awal itu mendirikan tempat ibadat di tempat di mana mereka bekerja untuk keselamatan mereka. Mereka juga mendirikan kabel telefon dan elektrik di tengah-tengah hutan dan sebagainya. Bapa penulis juga pernah menceritakan kerjanya dengan Telekom pada zaman British di mana mereka hidup dengan ancaman keselamatan setiap hari. Oleh itu, kuil-kuil dibina di tempat itu pada asalnya untuk tujuan keselamatan dan kepercayaan mereka.
Ini juga adalah satu kepercayaan yang memberikan mereka keyakinan untuk bebas daripada makhluk-makhluk halus yang mengganggu mereka. Nak katakan ini kepercayaan karut, adalah sesuatu yang boleh didebatkan. Kita juga tahu bahawa begitu banyak tayangan filem Melayu dan Indonesia yang mengisahkan isu hantu dan makhluk-makhluk ini.
Apa yang beza adalah dahulu dan sekarang. Dahulunya, kuil ini berada di pinggiran bandar atau di kawasan pedalaman. Tiada orang yang mengambil kisah dan nilai hartanya adalah terlalu rendah. Tetapi pada hari ini, disebabkan urbanisasi, kuil-kuil ini seolah-olah terletak di tengah bandar, jalan raya dan pekan.
Walaupun sememangnya kuil itu yang datang awal dan sudah lama wujud, adanya persoalan mengapa kuil ini tidak memohon tanah atau membeli tanah.
Untuk pengetahuan semua, mereka yang sembahyang di kuil-kuil ini terdiri daripada kelas pekerja buruh bawahan dan pekerja ladang, bukannya mereka yang berpendapatan tinggi dan boleh membeli tanah seperti yang sering dicadangkan. Mereka adalah daripada kelas B40 dan bawahan.
Selain itu, kuil seperti ini susah mendapat kelulusan untuk pembelian tanah. Oleh sebab sistem Torrens, kuil ini kemungkinan berada di atas tanah orang lain atau tanah kerajaan. Banyak juga kuil yang berada di kawasan jalan raya telah diberikan tempat ganti oleh kerajaan tempatan dan mereka sudah berpindah. Namun, kita perlu faham bahawa adalah tidak semudah itu untuk kuil dapat membeli geran tanah di tapak yang diduduki mereka.
Dalam suasana yang sama, memang ada beberapa buah hospital di mana adanya kuil yang sudah pun berada di dalam tapak hospital. Kuil itu memberi khidmat kepada pesakit-pesakit dan pekerja-pekerja hospital. Dengan peredaran masa, struktur kuil ini sudah pun diterima sebagai sebahagian daripada struktur hospital, dan tiada orang yang mengadu untuk berdekad-dekad lamanya. Pihak pentadbiran hospital biasanya memberikan sedikit syarat di mana kuil-kuil di kawasan hospital itu perlu mematuhi beberapa peraturan, seperti tidak boleh memainkan gendang atau menggunakan pembesar suara dan membunyikan loceng. Ini biasanya dipatuhi dan kuil-kuil ini berada di atas tanah hospital tanpa sebarang gangguan. Sejak bertahun-tahun lamanya, masyarakat Melayu, dari doktor, jururawat hingga pekerja-pekerja lain, tidak pernah mengadu tentang kuil-kuil ini kerana mereka sudah biasa dengan struktur ini. Boleh dikatakan masyarakat zaman dahulu mempunyai nilai toleransi yang tinggi berbanding dengan masyarakat sekarang yang terlalu selesa dan mendapat sumber maklumat daripada media sosial.
Kuil tanpa nilai dan tradisi kukuh
Kuil kategori ketiga, kuil yang saya tidak setuju, adalah kuil yang dibina sewenang-wenangnya, di mana ia dibina tanpa asas tradisi dan tiada pengikut yang ramai. Ramai juga orang India Hindu sendiri yang tidak bersetuju dengan kuil jenis ini. Masalah untuk orang Islam pula adalah mereka merasakan semua kuil itu sama sahaja jenisnya, tetapi ini tidak semestinya.
Terdapat juga segelintir kecil kuil yang dibina oleh kumpulan gangster, di mana kuil itu hanya menjadi satu bentuk penutup kepada kerja-kerja yang tidak baik yang dilakukan mereka. Bagi saya, jika sebuah kuil tidak mempunyai penganut atau hanya dimiliki oleh satu golongan kecil, maka ia tidak mempunyai kesahan seperti kuil yang sudah lama wujud.
Terdapat juga satu lagi kategori di mana ia adalah kuil keluarga atau kuil dimiliki oleh sebuah keluarga pada asalnya. Lama kelamaan, keluarga berkenaan mula membesarkan struktur kuil dan mengadakan perayaan-perayaan tertentu. Bagi saya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) patut bertindak terhadap kuil-kuil ini di mana struktur kuil itu seharusnya berada di dalam kawasan persendirian keluarga berkenaan dan tidak boleh sekali-kali mengganggu jiran-jiran yang lain. Kuil keluarga tidak sepatutnya ditukar status menjadi kuil awam.
Polisi kuil Pakatan Rakyat negeri Selangor
Satu polisi yang saya rasa agak baik adalah polisi kuil semasa Pakatan Rakyat (PR) menjadi Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008. Harus ingat bahawa PR yang menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu ialah gabungan parti politik yang dianggotai oleh DAP dan PAS. Mereka mempunyai satu polisi di mana semasa mereka mula membentuk kerajaan, mereka telah membuat satu kajian komprehensif terhadap semua kuil yang ada, termasuk kuil yang mempunyai geran dan tidak mempunyai geran.
Mereka kemudiannya mengelaskan kuil kepada beberapa kategori, iaitu kuil yang berusia lebih 100 tahun, kuil di tanah kerajaan dan lain-lain kawasan. Mengikut polisi ini, kuil yang telah wujud untuk lebih 100 tahun seboleh-bolehnya harus dikekalkan di tapak yang sedia ada. Jika kuil itu sudah wujud sebelum tahun 2008, maka kerajaan cuba memindahkan kuil ke tempat yang lebih sesuai atau ke tapak tempat ibadat bukan Islam. Mereka juga membuat polisi bahawa jika kuil itu dibina selepas tahun 2008 secara tidak sah, maka kuil itu akan dirobohkan dengan serta-merta. Dengan polisi sebegini, ia adalah satu cara terbaik untuk mengawal selia kuil. PAS pula ada dalam kerajaan semasa polisi ini digubal di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Penceroboh atau peneroka
Biar saya melencong perbincangan kepada satu isu lain, di mana ada persamaan dengan persoalan pencerobohan dan hak penduduk. Isu yang ingin saya teroka adalah mengenai persoalan mempunyai geran dan tiada geran supaya pembaca boleh faham bahawa isu ini sebenarnya isu kelas dan bukan isu kaum.
Apabila isu kuil ini meletup, adanya satu persepsi dan fahaman seolah-olah orang Islam membina masjid di tanah wakaf manakala orang Hindu membina kuil di tanah orang lain.
Saya dan ahli-ahli PSM pernah membela begitu banyak kampung setinggan atau yang kami panggil sebagai Peneroka Bandar yang majoritinya orang Melayu Islam, seperti Kampung Aman, Kampung Chubadak, Kampung Rimba Jaya, Kampung Sri Makmur, Kampung Berembang, Kampung Ara dan sebagainya. Di dalam semua kampung ini, ada surau atau masjid. Ia dibina oleh peneroka di situ dan juga mendapat sokongan dan dorongan daripada ahli politik. Ia dibina atas tanah tanpa geran. Masyarakat ini adalah masyarakat berpendapatan rendah yang telah berhijrah dari desa ke bandar pada awal tahun 1970-an untuk menyahut seruan Perdana Menteri kedua.
Setelah beberapa dekad duduk di tanah mereka, tiba-tiba satu hari wujudnya konflik apabila pemaju hartanah yang kaya seperti YTL, Sentul Murni, Nakon, Bangsar South dan sebagainya, membeli tanah yang diduduki mereka selama beberapa generasi. Oleh itu, tiba-tiba syarikat maha kaya akan bersekongkol dengan ahli politik dan peneroka akan diberikan notis pengusiran. Surau dan tempat ibadat mereka akan dipanggil surau haram, sementara peneroka bandar yang telah membangunkan kawasan tersebut kini dipanggil penceroboh.
Dalam kes-kes ini sebegini, kami di PSM berdiri teguh besama peneroka bandar dan turut mempertahankan tempat ibadat merela. Biasanya pihak pemaju yang rakus akan merobohkan surau dahulu untuk melemahkan semangat masyarakat Melayu. Imej kanak-kanak merantai diri mereka di surau Kampung Berembang masih jelas dalam ingatanku. Mereka dihina manakala tempat ibadat mereka yang selama ini memberikan mereka keyakinan dan kekuatan, kini dirobohkan dengan zalimnya oleh pemilik tanah yang kaya, atau dalam istilah PMX, golongan maha kaya.
Jadi, kami di PSM cukup sedar dan tidak senang termakan dengan hujahan yang berpandangan sempit. Tuan tanah baharu itu boleh memiliki tanah kerana dia ada duit, bukannya hebat apa pun, dan masyarakat yang selama ini duduk di tanah tersebut tidak boleh dipanggil penceroboh. Persoalannya adalah, sistem Torrens hanya mengakui siapa tuan tanah dan bukan siapa datang dahulu?
Posisi undang-undang dalam isu tiada geran tanah
Dalam beberapa kes yang melibatkan peneroka bandar di Lembah Klang, mendiang Hakim Besar Malaya Tan Sri Harun Hashim telah menafikan hak merobohkan rumah secara terus, kerana beliau berpandangan bahawa perlu mengambil kira aspek seperti siapa yang duduk tempat itu dahulu, sama ada pejabat tanah memberikan peluang kepada penduduk asal untuk memiliki tanah, dan persoalan ekuiti iaitu sumbangan seseorang kepada tanah tersebut.
Kampung Bumi Hijau, Kampung Pasar Baru, Kampung Pandan, Kampung Chubadak dan Kampung Kerinchi adalah kampung-kampung di mana pemaju gagal mengusir penduduk asal melalui Aturan 89 kerana mahkamah berpandangan bahawa peneroka asal mempunyai hak. Selain itu, Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan pula berkata, “Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang, dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang memadai”.
Dalam kes Kampung Chubadak, Mahkamah Rayuan telah memberi keputusan bahawa penduduk Kampung Chubadak bukanlah setinggan dalam kes “Sentul Murni Sdn Bhd – vs – Ahmad Amirudin Kamarudin”. Dalam kes tersebut, mahkamah mengakui bahawa sungguhpun Sentul Murni Sdn Bhd adalah pemilik tanah pada masa itu, tetapi syarikat pemaju Sentul Murni juga tahu bahawa terdapat kepentingan pada tanah tersebut yang wujud lama sebelum Sentul Murni Sdn Bhd menjadi pemilik. Selain itu, mahkamah berpendapat bahawa penempatan tersebut telah diketahui secara jelas oleh Kerajaan Negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dalam kes-kes lain, Hakim Besar Malaya pula pernah bertanya kepada Pejabat Tanah mengapa ia memberikan tanah kepada pemaju padahal ada penduduk yang masih menetap di situ, dan sama ada mereka dimaklumkan terlebih dahulu.
Ini sebenarnya adalah hujah-hujah yang dibawa oleh peguam Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang duduk di atas tanah milik Jakel. Debat undang-undang mengenai kuil ini juga adalah hujah yang sama kami gunakan untuk mempertahankan kampung-kampung tradisi peneroka bandar yang dilabel sebagai haram.
Rumusan
Dalam isu kuil, ramai yang termakan dengan perasaan perkauman sehingga mereka lupa tentang fakta. Apabila kita lihat ada satu gerakan dalam media sosial yang membuta tuli meminta semua kuil dirobohkan, termasuk kuil yang dah lama wujud, adalah tidak rasional dan bukannya untuk kebaikan bersama. Pada masa yang sama, perlu ada pengawalseliaan supaya kuil-kuil tidak dibina sesuka hati. Aspek sejarah, tradisi dan undang-undang harus kita bicara bersama. Sebagai seorang insan yang biasa mempertahankan rakyat marhaen pelbagai kaum, yang berada di hadapan penilaian saya hanyalah: siapa kaya, siapa miskin? Siapa menindas dan siapa ditindas? Dan, akhirnya siapa yang perlu dibela?
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).