
KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 orang wakil daripada pelbagai organisasi masyarakat sivil hadir bersolidariti bersama ‘Alyaah Hani, seorang aktivis pelajar yang juga merupakan mangsa gangguan seksual pihak polis, semasa menyerahkan satu memoradum kepada Ahli-ahli Parlimen pada 25 Februari 2025, dengan seruan menuntut keadilan bagi mangsa gangguan seksual polis dan mereformasikan institusi polis.
Semasa ‘Alyaah Hani hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 6 Februari 2025 untuk memberi keterangan berhubung sebuah himpunan solidariti untuknya di hadapan IPD Wangsa Maju, dia telah diganggu secara psikologi oleh pegawai polis lelaki di situ. Pada masa yang sama, beberapa orang yang hadir bersolidariti di luar IPD Wangsa Maju pada masa itu turut ditangkap untuk diambil keterangan polis. Himpunan solidariti untuk ‘Alyaah Hani pada 19 Disember 2024 di mana ‘Alyaah Hani turut disiasat itu adalah berkaitan siasatan polis terhadap satu lagi himpunan bersolidariti bersama Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 13 Disember 2024.
‘Alyaah Hani telah membuat aduan polis pada hari itu juga mengenai kejadian gangguan seksual itu. Laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menuntut keadilan bagi ‘Alyaah Hani.
Dalam memorandum yang ditujukan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, masyarakat sivil, gerakan mahasiswa dan organisasi yang prihatin mengetengahkan isu gangguan seksual, intimidasi dan salah guna kuasa oleh anggota polis seperti yang dialami oleh ‘Alyaah Hani pada 6 Februari 2025 di IPD Wangsa Maju.
11 orang Ahli Parlimen telah keluar menerima memorandum daripada ‘Alyaah Hani.
“Saya mengharapkan kehadiran Ahli-ahli Parlimen itu untuk menerima memorandum bukannya hanya aksi kosong,” kata ‘Alyaah Hani. “Saya mengharapkan Ahli-ahli Parlimen yang turun menerima memorandum itu menyuarakan isu saya ini di Parlimen! Saya harap mereka melaksanakan janji mereka.”
Dua tuntutan utama yang dibawa dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ahli-ahli Parlimen, iaitu:
- Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menggantikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC): Rang Undang-undang IPCMC pernah dibentangkan dalam Parlimen tetapi tidak diteruskan. IPCC dalam bentuknya sekarang tidak mempunyai kuasa yang mencukupi untuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku polis. Kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang lebih kuat diperlukan bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya dalam pasukan polis.
- Menyegerakan pemasangan kamera badan dalam kalangan anggota polis: Kementerian Dalam Negeri harus mempercepatkan pemasangan kamera badan kepada semua anggota polis dalam semua interaksi dengan orang awam, khususnya semasa soal siasat, pengambilan keterangan, penangkapan dan penahanan. Ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, mengurangkan ruang penyalahgunaan kuasa, serta melindungi kedua-dua pihak, iaitu orang awam dan anggota polis itu sendiri.
Turut hadir bersolidariti bersama ‘Alyaah Hani semasa penyerahan memorandum di luar Parlimen ialah wakil-wakil daripada organisasi-organisasi seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), UM Feminisme Club, All Women’s Action Society (AWAM), MANDIRI, GEGAR, Liga Mahasiswa UM, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebagainya.
“Adalah memang mengejutkan bagi orang ramai apabila orang awam menghadapi gangguan seksual di balai polis yang sepatutnya sebuah tempat yang selamat bagi rakyat,” kata Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir bersolidariti bersama ‘Alyaah Hani. “Segelintir anggota polis yang tidak profesional telah merosakkan keprofesionalan Polis Diraja Malaysia (PDRM).”
“Kes ini bukannya satu kes individu yang terasing. Banyak kes yang serupa pernah berlaku, tetapi mangsa-mangsa tidak tampil ke depan dan tidak membongkarkan isu ini secara terbuka,” ulas Chong Yee Shan. “Kami menyeru pada Kerajaan Madani supaya menubuhkan IPCMC dan memberi kuasa kepadanya untuk menyiasat anggota-anggota polis yang tidak profesional itu. Kami amat berharap Kerajaan Madani boleh mengambil serius tentang isu ini dan melaksanakan reformasi dengan segera.”