(foto: Fahmi Reza)

KUALA LUMPUR – 19 DISEMBER 2024: Dua orang aktivis pro-Palestin yang menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur telah dipanggil untuk siasatan polis. Mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan percakapan pada hari ini.

Dua orang yang disiasat polis itu ialah Hani daripada Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dan Choo Chon Kai yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkenaan aksi protes bersolidariti bersama Palestin di hadapan Kedutaan Jerman dan Kedutaan AS pada 13 Disember 2024. Aksi protes anjuran GEGAR ini menggesa kedua-dua negara Jerman dan AS untuk menghentikan sokongan mereka kepada rejim Zionis Israel yang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin. Hani dan Choo Chon Kai telah mewakili organisasi-organisasi hadir dalam aksi protes tersebut untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS. Memorandum itu diterima oleh pegawai Kedutaan AS.

“Siasatan terhadap tindakan saya menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS ini, pada pandangan saya, adalah tidak perlu dan melampau,” kata Hani, aktivis HARAM selepas hadir ke IPD Wangsa Maju. “Saya telah dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 9(5) Akta, tetapi ini lebih kepada taktik intimidasi bukannya penyiasatan yang sah. Walaupun begitu, saya bersyukur bahawa proses ini berjalan lancar.”

“Walau bagaimanapun, yang menyerlahkan bagi saya adalah solidariti daripada orang awam, terutamanya fron-fron pelajar yang tampil memberi sokongan penuh di IPD Wangsa Maju,” tambah Hani. “Kehadiran mereka adalah satu peringatan yang kuat tentang perpaduan dan komitmen terhadap hak-hak demokratik di Malaysia. Saya berterima kasih kepada mereka semua, kerana berdiri bersama saya pada masa yang mencabar ini, kerana solidariti mereka memberikan saya harapan bahawa perjuangan kita untuk sebuah masyarakat yang adil akan diteruskan.”

“Saya berpandangan bahawa siasatan ini satu perkara yang membazirkan sumber, masa dan tenaga pasukan polis, kerana pihak polis mempunyai tugasan yang lebih penting untuk menangani jenayah sebenar,” kata Choo Chon Kai selepas diambil keterangan percakapan oleh pegawai penyiasat. “Penyerahan memorandum kepada kedutaan luar negara merupakan satu hak kebebasan bersuara yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ia ialah norma masyarakat yang demokratik, sama ada di Malaysia atau Amerika Syarikat yang kononnya negara demokrasi itu.” 

“Sebagai seorang insan yang prihatin pada kemanusiaan dan keamanan dunia, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk terus menyuarakan bantahan kita terhadap kezaliman rejim Zionis Israel, dan bersolidariti bersama rakyat Palestin yang memperjuangkan pembebasan,” ulas Choo Chon Kai. “Jadi, saya amat bersimpati pada pihak polis yang terpaksa melakukan kerja-kerja siasatan yang tidak bermakna ini.”

Peguam Kohila Yanasekaran dan Rajsurian Pillai menemani dua orang aktivis semasa perakaman percakapan kenyataan saksi. Turut hadir bersolidariti ialah aktivis-aktivis daripada Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), University of Malaya Association of New Youth (UMANY), Congress IIUM, Demokrat UKM, Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (ASKI), Pro-Siswa KK, Borneo Komrad, GEGAR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta individu-individu yang prihatin seperti Fahmi Reza.

(foto: Fahmi Reza)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *