oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Terdapat sesetengah pihak di Malaysia yang sedang mengadvokasi mekanisme yang dipandukan pasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon dan dengan itu beralih kepada sebuah ekonomi karbon rendah. Dan mereka telah diberikan platform untuk berbuat demikian oleh pihak-pihak yang sepatutnya lebih cerdik. Misalnya, StarBiz telah menerbitkan sebuah rencana yang memuji manfaat platform perdagangan karbon sebagai cerita muka hadapannya pada 8 Disember 2024.

Apa itu pasaran karbon?

Pasaran karbon ialah platform di mana “kredit” karbon boleh didagangkan. Syarikat-syarikat atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan projek-projek yang menyingkirkan karbon dioksida dari atmosfera, sebagai contohnya dengan menanam pokok-pokok, atau dengan memelihara hutan yang sedia ada, akan diberikan “kredit karbon” – satu kredit untuk setiap tan karbon yang dikeluarkan dari alam sekitar. Syarikat-syarikat ini kemudiannya boleh mengewangkan kredit ini dengan menjual kredit karbon ini kepada syarikat-syarikat yang hendak “mengimbangi” pelepasan karbon mereka.

Secara dasarnya, pembeli-pembeli kredit karbon itu membeli hak untuk meneruskan aktiviti-aktiviti pencemaran mereka. Syarikat-syarikat atau NGO-NGO yang mengeluarkan kredit karbon memperoleh dana untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti pengurangan karbon mereka – menurut apa yang dikatakan oleh para penyokong idea ini. Platform yang membolehkan pembeli-pembeli berurus niaga dengan penjual-penjual ialah pasaran karbon, dan Malaysia sedang mewujudkan pasaran yang sedemikian.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju sepenuhnya dengan kumpulan-kumpulan alam sekitar yang mengkritik pasaran karbon. Ia sangat “membingungkan” dan terbuka kepada pelbagai jenis penyalahgunaan. Izinkan saya berkongsi satu contoh dari negeri Perak:-

Ladang Hutan Kledang Saiong

Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan Projek Ladang Hutan yang melibatkan 4,280 hektar tanah di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong. Rancangan ini adalah untuk menebang sepenuhnya pokok-pokok yang sedia ada di kira-kira 90% kawasan keseluruhan (kawasan dengan kecerunan lebih 35 darjah akan dikecualikan) dan menanam semula kawasan yang dibalak dengan 3 spesies pokok yang boleh ditebang untuk kayu balak dalam tempoh 5, 10 atau 15 tahun. 4 buah syarikat telah diberikan kelulusan untuk melaksanakan projek ini, iaitu Seri Tualang Sdn Bhd, Rimbun Cengal Sdn Bhd, Rimba Kembara Sdn Bhd dan Syarikat Sri Kruing Sdn Bhd (nota 1 dan 2). Syarikat-syarikat ini akan mengaut keuntungan yang lumayan daripada penjualan balak yang diperolehi dalam fasa penebangan habis pada awal projek ini, begitu juga daripada penjualan kredit karbon yang diperolehi melalui penanaman semula kawasan itu dengan pokok-pokok (nota 3).

Hutan Simpan Kledang Saiong ialah sebuah hutan yang berkepelbagaian biologi dengan 62 spesies haiwan mamalia, 60 spesies reptilia dan 205 spesies burung, antaranya 249 spesies atau 76% adalah disenaraikan sebagai “dilindungi” atau “dilindungi sepenuhnya” (nota 4).  Namun demikian, laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang disediakan oleh ChemSain Konsultant Sdn Bhd (nota 5) menyifatkan keseluruhan 4,280 hektar kawasan hutan itu sebagai “hutan miskin” (severely depleted). Oleh itu, kesan negatif daripada penebangan pokok pada awalnya terhadap penangkapan karbon dari alam sekitar adalah sangat diperkecilkan, dan kredit karbon yang “dijana” oleh amalan penanaman semula pula diperbesar-besarkan.

Acah hijau korporat

Isu Kledang Saiong menunjukkan kelemahan dalam pendekatan pasaran. Sebuah projek yang akan memusnahkan hutan yang sihat dan berkepelbagaian biologi yang sudah berfungsi sebagai sebuah “singki karbon”, telah dihias sebagai sumbangan utama kepada mitigasi iklim dengan memutarbelitkan hutan itu sebagai hutan miskin. Semua agensi pemantauan, dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Perhutanan sehingga Jabatan Alam Sekitar, tidak bersedia untuk membongkarkan pembohongan ini. Pemain-pemain utama – syarikat-syarikat pembalakan, konsultan EIA dan ahli-ahli politik yang diberi kuasa untuk meluluskan projek ini – adalah didorong oleh wang besar yang akan dijana daripada projek ini. Perlindungan alam sekitar telah menjadi retorik semata-mata.

Inilah apa yang betul-betul akan berlaku dalam pasaran karbon. Pembeli kredit karbon hanya mahu kredit karbon itu untuk membolehkannya terus mencemar alam, bukannya mengambil langkah-langkah (yang mungkin kosnya mahal) untuk mengurangkan jejak karbonnya sendiri. Pembeli tidak mengambil berat sangat tentang kebenaran dakwaan pengurangan karbon oleh NGO atau syarikat yang menjual kredit karbon itu selagi ini membolehkannya untuk mengetepikan langkah-langkah yang diperlukan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau!

Kebebasan dan keobjektifan agensi-agensi yang mengira dan mengukur jumlah kredit karbon yang dikeluarkan itu adalah diragui. Dalam contoh di atas, ChemSain Konsultant Sdn Bhd ialah sebuah syarikat yang dipilih dan dibayar oleh 4 buah syarikat yang diberikan projek itu. Anda boleh mengharapkan kesetiaannya pada siapa?

Memandangkan cara kerajaan Malaysia beroperasi hari ini, agensi yang mengesahkan kredit karbon akan “diperbadankan” dan dikehendaki untuk mengutip yuran daripada pengeluar-pengeluar kredit karbon. Penilaian jumlah pelepasan karbon yang dikurangkan oleh setiap projek akan diamanahkan kepada syarikat-syarikat seperti ChemSain Konsultant, dan dibayar oleh pengeluar-pengeluar kredit karbon. Seperti yang dikatakan mereka, “Siapa yang membayar, dia yang menentukan.” Sejauh mana keobjektifan proses ini?

PSM berpandangan bahawa perdagangan karbon ialah satu idea yang teruk. Kedua-dua pembeli dan penjual berada dalamnya untuk mengaut keuntungan. Begitu juga dengan “penilai” dan “pengawal selia” yang mengesahkan dakwaan kebenaran bahawa projek itu sebenarnya menyingkirkan begitu banyak karbon dari atmosfrera. Idea perdagangan karbon mewakili penangkapan korporat terhadap usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kita! Ia tidak akan membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon sebenarnya.

Had dan cukai

Kami ingin nencadangkan satu lagi pendekatan – had dan cukai. Dalam erti kata lain, jumlah karbon dioksida yang “dibenarkan” untuk perindustrian harus dihadkan – setiap unit perindusrian akan diberikan had maksimum berasaskan jenis industri dan skala pengeluarannya. Sebarang pelepasan gas rumah hijau yang melebihi had ini akan dikenakan cukai. Wang yang diperoleh daripada cukai ini boleh digunakan untuk membiayai projek-projek (nota 6) yang mengurangkan gas rumah hijau selanjutnya, dan untuk membiayai peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. Had ini harus dikurangkan secara berperingkat dan kadar cukai ditingkatkan untuk menyediakan insentif kewangan kepada peralihan kepada amalan perindustrian yang lebih bersih dan lebih mampan.

Keperluan untuk kerjasama antara anggota-anggota ASEAN

Vietnam telah memperkenalkan cukai karbon USD 0.50 untuk setiap tan karbon dioksida. Indonesia sedang merancang untuk memperkenalkannya pada kadar USD 5.2 per tan. Kadar ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sudah dimulakan di Eropah – Perancis mencukai USD 52 per tan karbon dioksida, dan Sweden pada kadar USD 137 per tan. Kadar cukai yang terlalu rendah tidak akan mewujudkan insentif ekonomi kepada pengguna-pengguna bahan api berasaskan hidrokarbon untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

Hakikatnya adalah cukai karbon dioksida akan meningkatkan kos pengeluaran dan dengan itu mewujudkan kelemahan perbandingan untuk mana-mana negara yang cuba menarik pelaburan asing – satu strategi ekonomi yang penting untuk negara-negara ASEAN. Inilah kenapa kita perlu mengadakan perbincangan di seluruh ASEAN mengenai cukai karbon supaya ini boleh dimulakan secara bersama pada peringkat yang mewujudkan insentif kewangan bagi industri-industri mempelbagaikan sumber tenaga kepada yang kurang mencemar alam, tanpa menimbulkan keburukan kepada mana-mana negara ASEAN.

Bercakap benar kepada yang berkuasa

Perubahan iklim adalah benar dan kita perlu melaksanakan dasar-dasar yang berkesan untuk mengurangkan jejak karbon kita dengan cepat. Malang sekali, nampaknya usaha mitigasi perubahan iklim di negara kita telah terlalu dipengaruhi oleh naratif korporat, dan ahli-ahli politik yang berkuasa nampaknya telah menerima dasar-dasar yang bermasalah seperti perdagangan karbon dan “penangkapan dan penyimpanan karbon”. Kerajaan Madani sedang berada di ambang menyalurkan dana dan usaha ke dalam dasar-dasar yang amat diragui ini.

Sudah tiba masanya untuk NGO-NGO alam sekitar dan individu-individu yang prihatin menolak dengan kuat penyelesaian-penyelesaian palsu yang didorong oleh pihak korporat, dan memperjuangkan program-program yang mampan untuk membendung krisis perubahan iklim.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota:

  1. Semua pihak ini telah dinyatakan dengan jelas dalam Laporan EIA.
  2. Secara kebetulannya, kesemua 4 buah syarikat ini dimiliki oleh seorang lelaki kenamaan yang tinggal di Kajang, Selangor.
  3. Niat untuk menjual kredit karbon jelas dinyatakan dalam laporan EIA.
  4. Angka-angka ini diperoleh daripada Bab 6 Laporan EIA.
  5. Laporan EIA: Jadual 7.3.9 – Anggaran kehilangan tanah sebelum, semasa dan selepas projek
  6. Memulihkan hutan yang ditebang, mengambil metana daripada sisa buangan perbandaran organik untuk menjana elektrik, memasang panel suria di atas bumbung semua bangunan milik kerajaan, dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *