PELABUHAN KLANG, SELANGOR – 14 DISEMBER 2024: Kira-kira 220 orang pekerja dari Bangladesh berprotes di luar kilang Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd yang terletak di Kawasan Perusahaan Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor, pada hari ini untuk menyuarakan keluhan mereka kerana tidak dibayar gaji selama 7 bulan! Lebih-lebih lagi, sekarang ini syarikat hendak menggulung tikar.
Syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd milik seorang majikan dari Taiwan ini mengeluarkan bahagian elektronik yang dibekalkan kepada syarikat-syarikat elektronik besar seperti Sony, Panasonic, dan Daikin. Pekerja-pekerja yang bekerja di situ tidak menerima gaji mereka sejak bulan Mei 2024.
Selepas berbulan-bulan tidak menerima gaji, sebahagian pekerja telah memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menuntut gaji yang tidak dibayar dan pemotongan gaji yang tidak sah untuk bayaran levi. Namun, pekerja-pekerja ini bimbang bahawa proses tuntutan di JTK mengambil masa yang lama sedangkan syarikat sekarang ini sudah hendak menggulung tikar, maka mereka mungkin tidak akan mendapat wang yang sepatutnya diterima oleh mereka.
“Pekerja-pekerja ini tidak dibayar gaji selama 7 bulan tetapi kilang masih beroperasi,” kata Sivaranjani Manickam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir di situ untuk bersolidariti dengan pekerja-pekerja migran yang dianiayai oleh pihak majikan ini. “Semalam pihak pengurusan telah memutuskan untuk menutup syarikat, dan hari ini pihak pengurusan syarikat sedang menguruskan satu perbincangan dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.”
Pekerja-pekerja yang berhimpun di luar kilang tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis kilang lagi. Hanya 4 orang wakil pekerja dibenarkan masuk untuk menyertai mesyuarat dengan pihak majikan dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.
Pekerja-pekerja di kilang Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd pernah bermogok untuk menuntut gaji yang tidak dibayar, tetapi pihak majikan masih enggan menunaikan tanggungjawab asasnya dalam membayar gaji pekerja. Syarikat ini juga pernah disiasat oleh JTK pada bulan September 2024, dengan pihak JTK mendapati majikan memang tidak membayar gaji berbulan-bulan lama dan menahan pasport pekerja, maka sudah melanggar undang-undang buruh negara kita. Tiga buah syarikat elektronik Jepun yang memperoleh bekalan daripada syarikat Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd juga dikatakan sudah mengetahui tentang masalah kelambatan pembayaran gaji dan pelanggaran hak asasi manusia di kilang ini.
“Pihak syarikat sepatutnya memaklumkan lebih awal jika ia hendak menutup kilangnya kerana tidak mendapat keuntungan,” komen Sivaranjani tentang kemelut yang dihadapi oleh pekerja-pekerja ini. “Pihak syarikat sepatutnya dari awal lagi sudah ada rancangan untuk menguruskan pekerja-pekerja yang diupahnya apabila mengetahui bahawa ia tidak mendapat keuntungan. Bukannya tidak membayar gaji tanpa memberitahu sebab dan kemudian terus hendak menutup kilang.”
Perbincangan antara pihak pengurusan syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh bersama dengan wakil pekerja pada hari ini masih tidak dapat mencapai apa-apa penyelesaian. Pekerja-pekerja diberitahu bahawa majikan besar dari Taiwan akan datang ke Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan pekerja-pekerja. Pekerja-pekerja yang berhimpun pada hari ini sudah bersurai buat sementara waktu. Nasib pekerja-pekerja migran ini masih tergantung…
“Masalah ini bukan sahaja berlaku secara terasing di syarikat ini sahaja,” ulas Sivaranjani. “Jika kita perhatikan baru-baru ini, terdapat banyak pekerja dari Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia, tetapi tidak diberikan kerja berbulan-bulan, disimpan di dalam asrama, tidak memberikan makanan, tidak membayar gaji dan sebagainya. Isu-isu ini terus berlaku! Kerajaan harus serius dalam mengendalikan isu-isu ini dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya.”
“Proses yang sedia ada sebenarnya tidak membantu pekerja,” tambah Sivaranjani. “Oleh itu, kami berpendapat bahawa Kementerian Sumber Manusia harus mencampur tangan segera dan mewujudkan kaedah-kaedah khusus untuk mengendalikan isu-isu kecemasan sebegini.Pekerja-pekerja migran ini datang ke Malaysia untuk membantu pembangunan ekonomi negara kita. Adalah tidak patut untuk kita melayan mereka seperti ini! Kerajaan kita harus mempunyai proses yang sewajarnya dalam pengurusan pekerja migran.”