(foto: Chung Sung-Jun / Getty Images)

Yoon Suk-yeol, Presiden Korea Selatan yang berhaluan kanan, cuba meniru pemimpin diktator sebelum ini, seperti Park Chung-hee dan Chun Doo-hwan, untuk mengekalkan kekuasaannya melalui pelaksanaan undang-undang tentera, tetapi menemui kegagalan dalam tempoh masa 6 jam sahaja kerana rakyat Korea bangkit melawannya dengan tegas.

Pada 3 Disember 2024, kira-kira jam 10.30 pm waktu tempatan Seoul, Yoon Suk-yeol mengejutkan rakyat Korea Selatan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera dalam ucapannya yang disiarkan melalui televisyen seluruh negara itu. Yoon menggunakan alasan bahawa dia perlu membasmi “kuasa-kuasa anti-negara” yang “pro-Korea Utara”, tetapi tiada orang di Korea Selatan mempercayai alasannya, termasuk pemimpin-pemimpin parti pemerintahnya sendiri, kerana tindakan ini jelas merupakan cubaan terdesak Yoon untuk terus memegang pada kekuasaannya yang semakin dicabar.

Ini merupakan pengisytiharan undang-undang tentera yang pertama dalam tempoh 45 tahun di negara Korea Selatan. Pasukan tentera dikerahkan untuk menyekat bangunan Perhimpinan Kebangsaan (iaitu Parlimen Korea Selatan), dengan helikopter terbang berputar di ruang udara dan kereta kebal menduduki jalanan bandar raya Seoul, ibu negara Korea Selatan.

Pihak berkuasa tentera di bawah undang-undang tentera mengeluarkan arahan untuk melarang semua aktiviti politik, termasuk persidangan Perhimpunan Kebangsaan, demonstrasi jalanan, permogokan pekerja dan sebagainya. Semua media juga tertakluk di bawah kawalan Perintah Undang-undang Tentera. Namun, ini langsung tidak dapat menghalang rakyat Korea Selatan daripada turun ke jalanan Seoul untuk membantah cubaan rampasan kuasa oleh Presiden itu sendiri.

(foto: AP)

Pasukan tentera memecah masuk ke dalam bangunan Perhimpunan Kebangsaan dan cuba untuk memasuki dewan persidangan utama, tetapi dihalang oleh petugas-petugas parlimen yang menyembur anggota tentera dengan alat pemadam api. Rakyat Korea yang marah turut berhimpun di luar bangunan Perhimpunan Kebangsaan untuk mempertahankan demokrasi. Konfrontasi tercetus antara para demonstran dan pasukan keselamatan di pintu masuk utama Perhimpunan Kebangsaan.

Rakyat Korea yang berprotes di jalanan melaungkan slogan seperti “Mansuhkan undang-undang tentera!”, dan menyanyikan lagu “Mara ke Depan untuk Yang Tercinta”, sebuah lagu perjuangan demokratik yang lahir daripada Pemberontakan Rakyat Gwangju pada tahun 1980. Aksi protes juga tercetus di bandar Gwangju, di mana ramai rakyat Korea tidak dapat melupakan apa yang berlaku di situ 44 tahun dahulu.

(foto: Chung Sung-Jun / Getty Images)

Kira-kira dua jam kemudian, pada pukul 1 am, 4 Disember 2024, 190 daripada 300 orang ahli parlimen dapat memasuki dewan persidangan Perhimpunan Kebangsaan dan mengundi sebulat suara untuk membatalkan undang-undang tentera itu.

Semua parti politik utama, termasuk parti pemerintah Parti Kuasa Rakyat yang dianggotai oleh Presiden Yoon sendiri, membantah undang-undang tentera. Han Dong-hoon, pemimpin Parti Kuasa Rakyat, berkata, “Pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden itu adalah salah. Kami akan menghentikannya bersama rakyat.” Lee Jae-myung, pemimpin Parti Demokratik, parti pembangkang yang berhaluan tengah dan menguasai kerusi terbanyak dalam Perhimpunan Kebangsaan, menyeru pada rakyat Korea supaya berhimpun beramai-ramai di Perhimpunan Kebangsaan.

(foto: Yonhap)

Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea (KCTU) membantah tindakan Yoon Suk-yeol yang anti-demokratik. “Undang-undang tentera ialah alat yang digunakan oleh pemerintahan kediktatoran Park Chung-hee dan Chun Doo-hwan untuk menghancurkan demokrasi dan hak asasi manusia demi memanjangkan kekuasaan mereka. Ia merupakan langkah yang tidak diambil lagi selama 44 tahun sejak masyarakat kita mencapai sekurang-kurangnya sebuah sistem demokratik yang formal,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh KCTU sejurus selepas pengisytiharan undang-undang tentera. “Berhadapan dengan krisis kekuasaannya sendiri, Yoon Suk-yeol pada dasarnya telah mengakui pemerintahan kediktatorannya yang anti-demokratik melalui langkah undang-undang yang tidak rasional dan anti-demokratik ini.”

“Rakyat tidak akan memaafkan ini. Mereka ingat tentang nasib rejim-rejim yang pernah mengisytiharkan undang-undang tentera,” ulas KCTU dalam kenyataannya. “Rakyat jelas ingat tentang pengakhiran rejim-rejim yang menipu rakyat dan merosakkan demokrasi. Rakyat tidak pernah memaafkan rejim-rejim yang menindas rakyat dan melanggar demokrasi.”

“Rejim Yoon Suk-yeol telah mengisytiharkan penamatan kuasanya sendiri. Pengisytiharan undang-undang sebenarnya ialah pengisytiharan penamatan rejim Yoon,” tambah lagi KCTU. “Semua warganegara dan rakyat di tanah ini, termasuk Konfederasi Kesatuan Sekerja Korea, akan mengisytiharkan penamatan Yoon Suk-yeol melalui undang-undang tentera ini. Sekarang inilah berakhirnya Yoon Suk-yeol.”

Hasil daripada ketegasan rakyat Korea Selatan mempertahankan demokrasi di negara itu, Yoon Suk-yeol mengumumkan bahawa dia akan membatalkan undang-undang darurat dalam satu lagi siaran televisyen pada jam kira-kira 4.30 am. Kabinet meluluskan usul yang membatalkan undang-undang tentera sejurus selepas itu, iaitu 6 jam sahaja selepas pengisytiharan undang-undang tentera.

(foto: Soo-hyeon Kim / Reuters)

Berikutan pembatalan undang-undang tentera, suara mendesak pemecatan Yoon Suk-yeol sebagai Presiden Korea Selatan semakin lantang lagi. Parti Demokratik mengumumkan bahawa mereka akan memulakan prosiding untuk memecat Yoon Suk-yeol jika dia enggan meletak jawatan. Selepas satu mesyuarat tergempar ahli-ahli parlimen daripada Parti Demokratik di Perhimpunan Kebangsaan, mereka menyatakan bahawa pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon Suk-yeol telah melanggar perlembagaan dan ia merupakan satu tindakan pengkhianatan yang serius serta alasan kukuh untuk pemecatannya. Parti-parti pembangkang menguasai 192 daripada 300 kerusi dalam Perhimpunan Kebangsaan, maka mereka memerlukan sokongan ahli-ahli parlimen daripada parti pemerintah untuk mendapatkan undian majoriti dua pertiga supaya badan perundangan itu dapat memecat Presiden.

Yoon Suk-yeol, seorang ahli politik yang berhaluan kanan dan berfahaman konservatif, dipilih sebagai Presiden Korea Selatan pada tahun 2022, dengan program politik yang menjanjikan pendirian lebih tegas terhadap Korea Utara. Yoon Suk-yeol merupakan Ketua Pendakwa Raya sebelum dia bertanding untuk jawatan Presiden. Dia pernah menjadi ketua pendakwa raya yang menyabitkan kesalahan Park Geun-hye, Presiden yang digulingkan pada tahun 2017 kerana aksi protes rakyat yang hebat.

Yoon Suk-yeol memenangi Pilihan Raya Presiden Korea Selatan pada tahun 2022 dengan hanya meraih undian 48.56% dan perbezaan undi yang tipis dengan pesaing terdekatnya, iaitu kurang daripada 250,000 undi. Sokongan kepada kepresidenan Yoon Suk-yeol semakin merosot sejak dia mengambil alih kuasa kerana kegagalannya dalam menangani masalah ekonomi dan juga skandal yang melibatkan isterinya.

Ketegasan rakyat Korea Selatan dalam mempertahankan demokrasi dan menolak pemerintahan autoritarian telah menumpaskan cubaan rampasan kuasa oleh Yoon Suk-yeol melalui pengisytiharan undang-undang tentera. Ini merupakan satu kemenangan kritikal bagi rakyat Korea Selatan terhadap rejim berhaluan kanan yang cuba menghasut perang dan semakin tidak popular itu.

Nampaknya gerakan rakyat Korea Selatan akan terus mendesak untuk menjatuhkan rejim Yoon Suk-yeol demi mengelakkan satu lagi kejutan cubaan rampasan kuasa. Jika Yoon Suk-yeol berjaya digulingkan, dia akan menjadi Presiden kedua yang menemui nasib sebegitu selepas Korea Selatan beralih kepada sebuah demokrasi yang formal sejak tahun 1987. Park Geun-hye, ahli politik berhaluan kanan yang merupakan anak kepada diktator Park Chung-hee, dipecat daripada jawatan Presiden Korea Selatan pada tahun 2017 selepas gelombang protes rakyat yang hebat di negara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *