Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menganjurkan persidangan Sosialisme 2024 yang bertemakan “Madani untuk Siapa?” pada 30 November dan 1 Disember 2024 di Kuala Lumpur. Persidangan yang berlangsung pada hujung minggu lalu itu merupakan edisi ke-18 bagi siri persidangan Sosialisme yang telah dianjurkan sejak tahun 2005. Siri persidangan ini diadakan pada setiap tahun dan berselang-seli antara fokus peringkat kebangsaan dan peringkat antarabangsa. Persidangan Sosialisme mengetengahkan perspektif politik kiri dalam isu-isu semasa serta membentangkan analisis dan perbincangan yang pro-rakyat dan anti-kapitalisme. Persidangan ini disertai oleh pelbagai golongan, seperti para aktivis, ahli akademik, mahasiswa, penggerak rakyat akar umbi, dan sebagainya.
Edisi persidangan Sosialisme kali ini diadakan dengan fokus pada isu-isu peringkat kebangsaan, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sebanyak 70 orang hadirin telah memenuhi dewan auditorium di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) untuk menyertai sesi-sesi menarik yang dibarisi para panelis yang dihormati dan mempunyai pengalaman atau kepakaran yang berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan. Para hadirin juga diberi peluang untuk bertanya dan bertukar pendapat dengan para panelis, merancakkan lagi suasana perbincangan yang berilmu.
Persidangan Sosialisme 2024 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM. “Sudah dua tahun Kerajaan Madani berkuasa. Adakah sepanjang dua tahun ini, Kerajaan Madani benar-benar mengangkat aspirasi rakyat dan menunaikan segala janji yang dibuat dalam Manifesto Pilihan Raya? Inilah yang akan kita kupas dalam persidangan Sosialisme kali ini” kata Sivaranjani. “Kami harap perbincangan dalam Sosialisme 2024 akan menajamkan fikiran rakan-rakan sekalian dan terus mendorong untuk membina kuasa rakyat di negara kita.”
Tajuk perbincangan untuk sesi pertama ialah “Madani untuk Siapa?”. Sesi ini dipengerusikan oleh Dashran Yohan, penyampai radio di BFM, dengan panelis yang terdiri daripada Dr Jeyakumar, Pengerusi PSM, dan Charles Santiago yang merupakan mantan Ahli Parlimen Klang daripada parti DAP dan kini menyandang jawatan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Kedua-dua panelis ini masing-masing membentangkan analisis mereka mengenai kerajaan hari ini dan sama ada dasar-dasar ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan hari ini benar-benar akan memberi manfaat kepada rakyat marhaen.
“Kerajaan Madani gagal mengenal pasti punca masalah yang sebenar,” begitu katanya Dr. Jeyakumar mengenai dasar-dasar yang sedang dibawa oleh kerajaan hari ini. “Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak berfikir tentang kesan buruk yang dibawa oleh dasar-dasar neoliberal yang diamalkan selama ini sejak kerajaan sebelumnya. Struktur dan hala tuju ekonomi sedia ada yang didominasi oleh pemikiran dasar neoliberal adalah bercanggah dengan aspirasi untuk membasmi kemiskinan dan mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif.”
Sesi berikutnya yang bertajuk “Madani dan Alam” menyentuh mengenai hubungan antara dasar dan pendirian kerajaan berkaitan isu alam sekitar. Sesi dikendalikan oleh Hamizah Shamsudeen daripada Greenpeace, dengan panel yang dibarisi Tijah Yok Chopil, penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Shakila Zen daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA), dan Suresh Balasubramaniam, penyelaras Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim, dan Orang Asli (BAKO) PSM. Tijah berhujah bahawa usaha masyarakat Orang Asli untuk membela hak wilayah tanah adat bukan sekadar demi kelangsungan ekonomi mereka, tetapi juga demi memelihara alam sekitar dan kerohanian masyarakat Orang Asli secara menyeluruh. Tijah juga mengatakan bahawa konsep pemilikan swasta terhadap tanah adalah tidak seiras dengan pegangan kehidupan masyarakat Orang Asli, kerana bagi Orang Asli, tanah itu milik komuniti.
Persidangan kemudian diteruskan dengan sesi yang bertajuk “Madani, Bangsa, dan Agama”. Tajuk perbincangan ini agak padat dan telah menyentuh banyak perkara, antaranya mengenai polarisasi kaum dan agama yang berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan hari ini dan bagaimana untuk menangani keretakan dalam hubungan antara kaum dan agama, serta bagaimana naratif politik kiri dapat membantu dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Moderator bagi sesi ini ialah Noor Netusha Nusaybah daripada Islam and Liberty Network, sementara para panelis terdiri daripada Rozana Isa daripada Sisters in Islam (SIS), Faisal Aziz selaku Pengerusi BERSIH yang juga merupakan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Nik Aziz Afiq yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
Pada waktu malam 30 November 2024, Malam Solidariti Palestin dijalankan dengan kerjasama GEGAR Amerika. Acara ini dimulakan dengan tayangan beberapa buah filem pendek berkenaan Palestin, diikuti dengan bengkel advokasi dan diakhiri dengan sebuah aksi solidariti (candlelight vigil) demi Palestin. Acara ini diadakan untuk membina solidariti yang lebih kuat dengan saudara-saudari kita di Palestin yang sedang bersengsara atas tindakan kejam oleh rejim Zionis Israel, serta mengetengahkan aspek anti-imperialisme dan anti-kapitalisme dalam perjuangan Palestin menentang Israel.
Pada hari berikutnya, persidangan diteruskan dengan tajuk perbincangan “Madani atau Tirani?”. Topik yang agak hangat ini dibincangkan oleh Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty, Wan Shakila daripada Borneo Komrad, dan Nalini Elumalai daripada PSM. Sesi ini dipengerusikan oleh Muhammad Yazid Mohammad Naim, Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM. Sesi ini membincangkan sama ada kerajaan hari ini betul-betul ikhlas dalam menegakkan hak asasi manusia dan menjamin kebebasan rakyat memandangkan undang-undang yang regresif seperti Akta Hasutan masih wujud dan tiadanya usaha untuk memansuhkan undang-undang tersebut. “Selagi adanya pencabulan hak asasi manusia, selagi adanya diskriminasi yang berasaskan gender, kelas, agama, kaum dan sebagainya, selagi adanya institusi yang gagal menghormati hak asasi, selagi kita masih takut bersuara di dalam sesebuah negara, selagi media masih diancam kerana menulis apa yang benar dan menyampaikan maklumat, kita belum lagi menjadi manusia yang bebas,” kata Nalini. “Mengambil daripada kata-kata Anwar Ibrahim, satu-satunya cara untuk membebaskan rakyat kita daripada pencabulan hak asasi manusia adalah ‘lawan tetap lawan!’.”
Sesi terakhir bagi persidangan Sosialisme 2024 ialah “Madani dan Masa Depan”. Barisan panelis terdiri daripada kalangan anak muda: Wong Kukui daripada MUDA, Zaim Zulkifli daripada Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), dan Cheong Huei Ting daripada PSM. Mereka bersama-sama membincangkan mengenai sama ada wujudnya masa hadapan yang cerah untuk rakyat, terutamanya anak muda, di bawah kerajaan hari ini dan apakah aspirasi yang diidamkan supaya Malaysia yang lebih progresif dapat dikecapi. Sesi ini dikendalikan oleh Mathavi selaku moderator.
Setelah semua sesi perbincangan selesai, Muhamad Irfan bin Rusmin, Penyelaras Jawatankuasa Penganjur Sosialisme 2024, menyampaikan ucapan terima kasih dan majlis persidangan selama dua hari itu diakhiri dengan nyanyian lagu “Internasionale” yang penuh bersemangat.