(Kenyataan media daripada Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa PSM, bersempena Hari Pengibaran Bendera Bintang Kejora pada 1 Disember 2024.)
oleh Brian Khow dan Amanda Shweeta Louis
Hari ini merupakan satu hari yang penting dalam sejarah Papua Barat. Bendera Bintang Kejora, yang merupakan lambang perpaduan bagi masyarakat Papua Barat, dikibarkan pertama kali di luar bangunan Dewan Perundangan New Guinea pada 1 Disember 1961.
Papua Barat adalah bahagian barat Pulau New Guinea dan pernah dijajah oleh Belanda. Peluang penentuan nasib sendiri lenyap apabila wilayah Papua Barat diserahkan daripada Belanda kepada Indonesia pada 1 Mei 1963 di bawah manipulasi imperialis Amerika Syarikat tanpa pengetahuan dan persetujuan masyarakat asal Papua Barat.
Pada tahun 1969, satu referendum “Penentuan Pendapat Rakyat” (Act of Free Choice) diadakan oleh kerajaan Indonesia di bawah pimpinan pemerintah diktator Suharto, yang melantik lebih kurang 1,000 orang “wakil” untuk mengundi dalam referendum tersebut di bawah paksaan yang berpihak kepada Indonesia.
Pada 19 November 1969, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) “mengambil maklum” keputusan referendum tersebut, walaupun terdapat kritikan meluas bahawa proses itu tidak mewakili kehendak rakyat Papua Barat secara demokratik. Namun begitu, PBB tetap mengiktiraf pemerintahan Indonesia ke atas Papua Barat. Sejak itu, wilayah tersebut telah menjadi medan perjuangan untuk penentuan nasib sendiri oleh masyarakat Papua Barat, daripada rangkaian gerila bersenjata yang berjuang di kawasan pergunungan dan hutan kepada gerakan masyarakat sivil berasaskan prinsip bukan kekerasan di kawasan bandar dan pekan.
Dianggarkan sebanyak 500,000 orang warga Papua telah dibunuh oleh tentera Indonesia yang cuba mematahkan usaha mereka untuk menuntut pemerintahan sendiri sejak tahun 1960-an. Sentimen perkauman, penyeksaan, pembunuhan di luar undang-undang, dan pengusiran paksa, merupakan antara cara penindasan yang diatur secara sistematik oleh birokrasi dan pasukan keselamatan Indonesia. Pengerahan tambahan lima batalion infantri ke Papua Barat baru-baru ini, kononnya untuk menyokong projek pertanian nasional, telah meningkatkan lagi ketegangan di wilayah tersebut.
Di samping itu, wilayah Papua Barat yang kaya dengan sumber asli telah menjadi sasaran pemodal asing dari negara maju. Perlombongan Grasberg di Papua Barat yang terkenal dengan tembaga dan emas, dimiliki oleh Freeport-McMoRan, sebuah syarikat perlombongan gergasi Amerika Syarikat. Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature menunjukkan bahawa kegiatan perlombongan bukan sahaja memusnahkan sungai dan hutan, malah menghancurkan kawasan pertanian, perikanan, dan pemburuan penduduk asal serta memisahkan mereka daripada sumber dan mata pencarian mereka.
Sementara itu, dinamik kuasa politik dan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun menyebabkan sumber asli yang diekstrak dari negara sedang membangun dijadikan bahan mentah dalam sektor pembuatan, dan kebanyakan produk yang dihasilkan digunakan di negara maju. Oleh itu, golongan elit di negara sedang membangun sering menjadi “wakil” golongan elit di negara maju untuk memastikan rangkaian pembekalan bahan mentah tidak terputus.
Jika perlu, bahan mentah akan diekstrak di negara sedang membangun dan digunakan untuk menghasilkan senjata bagi menindas golongan yang menentang susunan kuasa tersebut, terutamanya golongan penentang dari negara sedang membangun. Sebagai contoh, tembaga diekstrak di negara sedang membangun dan digunakan untuk menghasilkan amunisi yang digunakan oleh pasukan keselamatan Indonesia dalam pembersihan etnik terhadap penduduk asal Papua Barat.
Akhirnya, bersempena dengan Hari Pengibaran Bendera Bintang Kejora pada 1 Disember, kami ingin menegaskan sokongan kami kepada perjuangan rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri.
Kami menyeru kepada kerajaan Indonesia supaya:
- Mengiktiraf dan menghormati hak rakyat Papua Barat untuk menentukan nasib sendiri, termasuk mengadakan referendum untuk menentukan masa hadapan Papua Barat;
- Menghentikan penindasan terhadap rakyat Papua Barat yang menyuarakan tuntutan mereka untuk menentukan nasib sendiri, termasuk mereka yang mengibarkan bendera Bintang Kejora;
- Membebaskan semua tahanan politik dari Papua Barat dan mereka yang menyokong perjuangan Papua untuk menentukan nasib sendiri;
- Melindungi hak untuk kebebasan bermaklumat, kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan pemikiran bagi rakyat Papua;
- Memperbaiki kehidupan rakyat Papua Barat dengan meningkatkan perlindungan sosial;
- Menghapuskan rasisme terhadap rakyat Papua Barat.
Bukan itu sahaja, kami juga menyeru rakyat seluruh dunia untuk menunjukkan solidariti bersama perjuangan rakyat Papua dalam menentukan nasib sendiri dan memecahkan susunan kuasa yang berpihak kepada golongan atasan.
==========
Brian Khow dan Amanda Shweeta Louis ialah anggota Kumpulan Kerja Papua Barat, Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM).