KAJANG, SELANGOR – 10 NOVEMBER 2024: Masyarakat peneroka bandar dan peniaga kecil di Batu 16, Jalan Reko, Kajang, Selangor, membuat aduan polis pada hari ini terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang mengancam untuk mengusir mereka. Aduan polis ini dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Komuniti peneroka bandar dan peniaga kecil di kawasan Batu 16, Jalan Reko, Kajang, sudah wujud selama 55 tahun. Kawasan komuniti ini terletak sepanjang landasan kereta api dan tepi Jalan Reko. Sebelum ini, apabila Keretapi Tanah Melayu (KTM) membina landasan berkembar, perbincangan diadakan antara komuniti ini dan pihak KTM, di mana mereka telah mengalihkan sebahagian bangunan mereka dari tempat asal atas nasihat KTM, dan kemudiannya pagar sempadan telah dibina.

Kawasan ini dahulunya dimiliki oleh syarikat perladangan Paradise Estate dan ada antara penduduk-penduduk telah menyewa tanah daripadanya dan menetap di sini.  Sejak tahun 1970-an, adanya peniaga-peniaga yang mula menyewa tanah daripada syarikat perladangan yang memiliki tanah ini pada masa itu untuk menjalankan perniagaan kecil mereka. Penduduk-penduduk di sini ada membayar cukai taksiran kepada Majlis Perbandaran Kajang, dan disambungkan dengan bekalan air serta eletrik.

Namun, terdapat pelbagai khabar angin bahawa tanah ini sudah dibeli oleh syarikat MKH Berhad dan sebagainya. Komuniti ini pernah menghadapi ancaman pengusiran pada tahun 2013 apabila 35 buah keluarga menerima notis pengusiran, tetapi berjaya dihentikan selepas kes mereka dirujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bangi pada masa itu dan Kerajaan Negeri Selangor. Komuniti penempatan penduduk ini sering berhadapan dengan kerisauan ancaman pengusiran kerana pembangunan yang pesat berlaku di sekitarnya, seperti pembangunan jalan kereta api berkembar, pelebaran Jalan Reko, pembinaan kondominium serta taman perumahan baharu, dan sebagainya.

Baru-baru ini, pada 29 Oktober 2024, iaitu 2 hari sebelum penduduk-penduduk dan kedai-kedai di penempatan Jalan Reko menyambut Hari Deepavali, mereka telah dikejutkan dengan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Dalam notis itu, penduduk-penduduk di situ diberikan tempoh 14 hari untuk mengosongkan rumah yang dihuni oleh mereka. 3 orang wakil daripada RAC yang datang menyerahkan notis pengusiran itu juga menandakan setiap rumah dengan cat merah tanpa persetujuan daripada penghuni-penghuni rumah dan pekedai-pekedai di situ. Salah orang wakil RAC yang berada di situ memberitahu pada penduduk-penduduk bahawa tanah tersebut tidak akan dibangunkan buat sementara waktu, tetapi RAC akan menyewakannya kepada orang lain.

“Kami membuat aduan polis ini kerana tindakan RAC itu bagaikan ugutan yang mengancam keharmonian kehidupan penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga di sini,” kata Kalimuthu Karuppan, wakil komuniti penempatan Jalan Reko yang juga merupakan seorang penduduk serta peniaga di situ, semasa membuat aduan polis pada hari ini. “Tindakan RAC itu adalah tidak profesional. Notis tersebut mengugut bahawa pihak RAC akan menggunakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap kami, di mana kami boleh didenda RM500,000 atau dipenjarakan sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kami mempertikaikan notis itu kerana notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah. Hanya Pejabat Tanah boleh mengeluarkan notis sebegini. Pihak RAC sepatutnya memohon perintah mahkamah jika hendak mengusir kami keluar dari tanah ini.”

“RAC sebagai sebuah perbadanan yang besar seharusnya bersikap lebih profesional dan berperikemanusiaan,” ulas Kalimuthu. “Sebelum ini, pihak KTM pernah berbincang dengan kami, dan kami telah memberi kerjasama yang baik kepadanya. Mereka sudah pasti mengetahui tentang kewujudan jawatankuasa kami. Mereka tidak sepatutnya melakukan intimidasi dengan datang pada waktu perayaan. Pihak RAC juga gagal mengadakan sebarang perjumpaan atau rundingan dengan jawatankuasa kami sebelum mengeluarkan notis pengusiran.”

Para penduduk dan peniaga di penempatan Batu 16, Jalan Reko, menggesa pada pihak polis supaya menasihatkan pihak RAC supaya bertindak secara profesional dengan menggunakan prosedur yang betul. Jawatankuasa penduduk dan peniaga Jalan Reko juga menghantar surat kepada RAC, KTM dan ADUN kawasan Kajang untuk meminta supaya isu ini dapat diselesaikan secara adil dan baik.

Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga komuniti Jalan Reko pada hari ini semasa membuat aduan polis ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan penasihat kepada perjuangan komuniti Jalan Reko, Parames Elumalai selaku Penyelaras Jawatankuasa Peneroka Bandar MARHAEN, dan dan Ganesan Danapal daripada PSM Cawangan Kajang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *