(foto: BERNAMA)

oleh Suresh Balasubramaniam

13 Oktober ialah Hari Antarabangsa untuk Pengurangan Risiko Bencana (IDDDR – International Day of Disaster Risk Reduction). Sebelum tahun 2009, IDDRRR disambut pada hari Rabu kedua setiap bulan Oktober. IDDDR disambut sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat Rangka Kerja Sendai dalam mengurangkan risiko dan kerugian bencana global.

Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 20152030 ialah perjanjian sukarela global yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan risiko bencana dan membina ketahanan terhadap bahaya daripada alam semula jadi akibat aktiviti ekonomi kapitalis. Ia ditandatangani oleh negara-negara anggota PBB semasa Persidangan Dunia PBB mengenai Pengurangan Risiko Bencana yang ke-3yang diadakan di Sendai, Jepun pada bulan Mac 2015.

IDDRR 2024 menyeru negara-negara di dunia untuk memanfaatkan sektor pendidikan bagi mengurangkan risiko bencana terhadap kanak-kanak bersekolah dengan:

  1. Menyediakan sekolah dan kemudahan pendidikan yang selamat. Ini bermula dengan memastikan sekolah tahan bencana serta menjadi sebahagian daripada sistem amaran awal bencana. 
  2. Memperkasakan kanak-kanak melalui pendidikan yang sesuai supaya mereka kekal selamat dengan memahami dan bertindak terhadap risiko yang mereka hadapi.
  3. Menyokong dan melaksanakan Rangka Kerja Keselamatan Sekolah Komprehensif 2022-2030 yang dibangunkan oleh Perikatan Global untuk Pengurangan Risiko Bencana dan Ketahanan dalam Sektor Pendidikan (GADRRRES), dipengerusikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF).

Bencana banjir merupakan ancaman terbesar di Malaysia, dengan anggaran kos kerugian mencecah purata RM250 juta setiap tahun. Banjir besar yang melanda Johor pada tahun 2006 dan 2007 menelan belanja hampir RM4.3 bilion, manakala banjir di Pantai Timur pada tahun 2014 mengakibatkan kerugian sekitar RM3 bilion. Kos ini meliputi pembinaan semula infrastruktur, kehilangan nyawa, harta benda, serta kesan jangka panjang terhadap pendapatan masa hadapan (sumber: Disaster Risk Reduction in Malaysia – Status Report 2020 – UNDRR).

Bersempena dengan tema IDRR dan sejarah banjir di Malaysia, kerajaan MADANI perlu mengambil langkah komprehensif bagi menangani punca-punca banjir. Usaha ini amat penting untuk melindungi komuniti terpinggir dan kanak-kanak, yang sering menjadi golongan paling terkesan akibat bencana banjir.

Selain itu, aktiviti pelupusan hutan untuk pembalakan dan aktiviti komersial, seperti yang berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong, Kuala Kangsar, Perak, harus dikaji semula. Kesan kerosakan ini akan menjejaskan kampung Melayu dan perkampungan Orang Asli di kawasan sekitar, menambah lagi kesengsaraan komuniti-komuniti yang sudah pun terdedah kepada risiko bencana.

Penerokaan hutan yang tidak terkawal untuk aktiviti ekonomi di Gua Musang, Kelantan, turut memberikan kesan banjir yang ketara, terutama kepada komuniti Orang Asli (OA) dan keluarga-keluarga B40 yang tinggal di sepanjang sungai. Pada tahun 2014, hujan lebat selama tiga hari di Gua Musang menyebabkan paras air sungai di Kelantan meningkat dari 10 meter kepada 38 meter, jauh melebihi paras bahaya yang hanya 9 meter.

Kerajaan Negeri Kelantan perlu mengambil tindakan tegas dengan menghentikan pemberian permit baharu untuk pelupusan hutan di Gua Musang. Selain itu, permit lama juga tidak sepatutnya dibenarkan untuk diperluaskan lagi bagi mengelakkan pelupusan hutan secara berleluasa. Adalah penting untuk menjalankan kajian terperinci mengenai keperluan sebenar pembukaan hutan di kawasan ini bagi mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta keselamatan komuniti setempat.

Perbelanjaan berbilion-bilion ringgit dalam tempoh 10 tahun untuk projek mitigasi banjir sememangnya perlu diteliti secara mendalam. Penting untuk memastikan bahawa dana ini dibelanjakan dengan efektif dan membawa manfaat kepada masyarakat yang terkesan. Pihak kerajaan harus telus dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk tempatan, terutamanya mengenai kos dan bagaimana projek-projek tersebut dapat menangani masalah banjir di kawasan mereka. Tanpa mekanisme pemantauan dan maklumat yang jelas, perbelanjaan besar ini boleh menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya, seperti yang dilihat dalam kes banjir di Shah Alam, Selangor, yang masih belum selesai walaupun pelbagai projek mitigasi dilaksanakan.

Fenomena ini dikenali sebagai kapitalisme bencana, di mana krisis bencana digunakan sebagai alasan untuk melaksanakan projek yang memakan perbelanjaan besar tanpa melalui proses semakan yang biasa. Dalam keadaan kecemasan, kerajaan dan syarikat swasta mungkin menggunakan peluang ini untuk meluluskan projek atau dasar yang menguntungkan pihak tertentu, dengan mengalihkan dana awam kepada agenda tertentu tanpa pengawasan yang mencukupi.

Dalam konteks mitigasi banjir, ini bermakna perbelanjaan besar yang diumumkan mungkin tidak mencapai tujuan utama untuk mengurangkan impak banjir, sebaliknya lebih kepada menguntungkan pihak yang terlibat dalam projek tersebut.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap agar pada Hari Antarabangsa untuk Pengurangan Risiko Bencana ini, kerajaan MADANI dan kerajaan-kerajaan negeri seperti Perak, Kelantan dan Selangor, memastikan bahawa langkah-langkah pengurangan bencana yang diambil tidak hanya menguntungkan segelintir pihak sahaja. Hutan memainkan peranan penting sebagai benteng awal dalam mitigasi banjir, terutamanya di kawasan luar bandar.

Untuk kawasan bandar yang tiada hutan, PSM menyeru agar sebarang projek mitigasi banjir harus dibincangkan secara terbuka dengan penduduk tempatan sebelum pelaksanaan. Proses pelaksanaan juga perlu dilakukan dengan lebih telus, melalui komunikasi yang jelas antara kerajaan, pemaju projek dan penduduk setempat. Kerajaan MADANI dan kerajaan negeri perlu sentiasa mengutamakan komuniti terpinggir dan kanak-kanak, kerana mereka sering menjadi mangsa awal dalam bencana yang berlaku.

==========

Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *