(tangkap layar video KiniTV)

BATU CAVES, SELANGOR: Kira-kira 200 orang berprotes di hadapan ibu pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 1 Oktober 2024 untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap projek pembinaan insinerator di kawasan Batu Arang.

Aksi yang dianjurkan oleh Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) ini mengetengahkan ketidakpuasan hati penduduk tempatan terhadap tindakan MPS yang meluluskan penukaran status tanah untuk pembinaan loji pembakaran sampah atau insinerator di tanah Lot 3847 Batu Arang, walaupun mendapat bantahan hebat daripada penduduk-penduduk tempatan.

Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk membina Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah, sebuah loji pembakaran sisa-ke-tenaga (WtE) dengan anggaran kos RM4.5 bilion, melalui KDEB Waste Management Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI). Pihak pemaju projek masih belum mendedahkan maklumat terperinci tentang loji pembakaran sampah itu dan menimbulkan keraguan bahawa mereka cuba menyembunyikan sesuatu.

(tangkap layar video facebook Jaringan Rawang Tolak Insinerator)

“Kami membantah kerana pembangunan insinerator ini akan membawa pelbagai masalah,” kata Abdul Hanan Abd Mokti, jurucakap Jaringan Rawang Tolak Insinerator, semasa berprotes di hadapan MPS. “Yang paling kami takut ialah masalah keselamatan, di mana terdapat risiko berlakunya runtuhan atau kebakaran bawah tanah di kawasan Batu Arang kerana struktur geologi yang sangat sensitif sebagai sebuah bekas tapak lombong arang batu.”

“Pembakaran bahan-bahan berasaskan petroleum, seperti plastik, minyak hitam dan sebagainya, akan menghasilkan pelbagai bahan kimia yang sangat berbahaya kepada kesihatan penduduk dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang,” ujar Abdul Hanan Abd Mokti. “Kami amat takut dengan furan dan dioksin, kerana dua jenis bahan kimia ini akan membawa masalah seperti kanser, penyakit pernafasan, kekurangan daya imun badan dan juga kecacatan kelahiran.”

Jaringan Rawang Tolak Insinerator mengkritik kelulusan MPS untuk pengezonan semula kawasan yang berkenaan tanpa mengambil serius terhadap lebih 4,000 bantahan dengan fakta-fakta saintifik yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk sebelum ini. Jaringan Rawang Tolak Insinerator mengecam sikap MPS yang mengabaikan nyawa dan kesejahteraan penduduk itu amat tidak bertanggungjawab.

“Kami berharap pihak MPS akan mendengar apa yang telah kami suarakan. Kami ialah pembayar cukai dan ini ialah kampung halaman kami,” tegas kata Abdul Hanan Abd Mokti. “Yang Dipertua MPS mempunyai amanah untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan warga di dalam kawasan pentadbiran MPS. Amanah utama itu adalah kepada penduduk yang membayar, cukai dan bukan kepada pihak syarikat atau pihak swasta yang akan mengambil keuntungan daripada pembinaan insinerator ini.”

(foto: Joselyn Pang / facebook)

Mereka yang berprotes di hadapan MPS termasuk penduduk-penduduk berbilang kaum dan merentasi generasi dari kawasan Batu Arang, Rawang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri dan Bandar Seri Coalfields, serta wakil masyarakat sivil yang prihatin pada isu alam sekitar. Turut hadir bersolidariti ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Suresh Balasubramaniam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli PSM.

Aksi protes pada 1 Oktober 2024 pada awalnya menghadapi halangan daripada pihak polis yang tidak membenarkan Jaringan Rawang Tolak Insinerator untuk berhimpun. Namun, setelah Jaringan Rawang Tolak Insinerator bertegas untuk meneruskan aksi dan mengadakan perbincangan dengan pihak polis, aksi protes berjalan dengan lancarnya.

Jaringan Rawang Tolak Insinerator akan meneruskan bantahan sehingga projek pembinaan insinerator itu dibatalkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *