PUTRAJAYA – 1 OKTOBER 2024: Bersempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut setiap 1 Oktober, Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama dengan organisasi-organisasi masyarakat sivil yang prihatin pada nasib warga emas di negara kita menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Pejabat Perdana Menteri, untuk menggesa pada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan skim Pencen Warga Emas Sejagat.

45 buah organisasi yang mengendors memorandum ini menyeru Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk membentangkan cadangan skim Pencen Warga Emas dalam Belanjawan 2025. Cadangan yang dikemukakan dalam memorandum ini ialah kerajaan membayar pencen bulanan sebanyak RM500 kepada setiap orang yang berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan ataupun mempunyai simpanan KWSP yang melebihi RM1 juta. (Baca isi kandungan penuh memorandum di sini.)

Selain PSM, organisasi-organisasi yang menyokong memorandum menuntut pelaksanaan Pencen Warga Emas ini termasuk Gabungan Marhaen, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY), Agora Society Malaysia, Aliran, Persatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pengawal Keselamatan Semenanjung Malaysia (KESPA), Persatuan Sahabat Wanita Selangor, EMPOWER dan sebagainya. Turut hadir semasa penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional PSM, Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM, Nik Aziz Afiq Abdul selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan ramai lagi.

“Ini satu isu yang sangat penting,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj. “Lebih kurang 70% daripada golongan warga emas di negara kita tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Apabila mereka berumur 70 tahun dan ke atas, mereka terpaksa bergantung pada anak-anak mereka. Ramai anak kepada warga emas ini bukannya tidak mahu membiayai kehidupan ibu bapa mereka, tetapi mereka pun mengalami kesusahan untuk menjaga anak dan keluarga sendiri dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. 70% warga emas ini menghadapi masalah kemiskinan usia tua.”

“Kami berharap kerajaan boleh melaksanakan skim pencen warga emas ini kepada semua warga emas yang tiada pencen pada masa ini,” ulas Dr. Jeyakumar. “Negara kita kaya dan boleh menampung skim sebegini. Perbelanjaannya lebih kurang RM11 bilion setahun. Belanjawan kerajaan ialah lebih kurang RM400 bilion, maka secara perbandingan ia bukan angka yang terlalu besar. Kerajaan mampu melaksanakannya.”

“Bukan sekadar golongan warga emas akan mendapat faedah daripada skim Pencen Warga Emas, malah peniaga-peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana juga mendapat manfaat apabila warga emas kita mempunyai wang untuk dibelanjakan dalam pasaran,” tambah Dr. Jeyakumar.

Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 45/106 pada tahun 1990 untuk menetapkan 1 Oktober setiap tahun sebagai Hari Warga Emas Sedunia. Adalah tidak bermakna untuk kita menyambut Hari Warga Emas Sedunia jika kita gagal melindungi warga emas kita daripada kemiskinan usia tua. Kita tidak akan dapat mewujudkan warga emas yang berdikari, memartabatkan diri dan hidup secara bermaruah jika warga emas kita tiada keterjaminan pendapatan usia tua melalui pencen warga emas sejagat.

One thought on “45 organisasi gesa kerajaan laksanakan Skim Pencen Warga Emas Sejagat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *