(foto: AP)

Walaupun seruan demi seruan telah dikeluarkan di seluruh dunia untuk menghentikan kezaliman perang dan genosid, rejim Zionis Israel masih berdegil untuk mengganas di rantau Timur Tengah dalam usaha terbarunya untuk meningkatkan konflik di rantau itu. Pembunuhan Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah, dalam serangan udara yang dilakukan oleh tentera Israel di Beirut pada 27 September 2024, merupakan sebahagian daripada gelombang serangan pengganas Israel yang terbaru ke atas Lubnan.

Selain meneruskan jenayah genosid di Gaza dan pencerobohan terhadap wilayah Palestin di Tebing Barat, rejim Zionis Israel telah meningkatkan serangan keganasannya ke atas Lubnan dengan niat untuk menghancurkan Hizbullah, sebuah parti politik Islam Syiah dan kumpulan penentang yang kuat melawan rejim Zionis Israel.

Pada 17 dan 18 September 2024, rejim Zionis Israel melancarkan serangan pengganas yang “canggih” dengan mencetuskan letupan ribuan alat peranti kelui dan ratusan alat komunikasi mudah alih walkie-talkie di seluruh Lubnan, sehingga membunuh sekurang-kurangnya 42 orang dan mencederakan lebih 3,500 orang. Serangan pengganas Israel terhadap negara jirannya tidak terhenti di situ. Pada 20 September 2024, tentera Israel melancarkan serangan udara yang memusnahkan sebuah bangunan pangsapuri di Beirut dan membunuh 55 orang. Pada 23 September 2024, Israel memulakan siri serangan udara ke atas Lubnan. Dalam tempoh seminggu sahaja, serangan udara Israel ke atas Lubnan telah membunuh lebih 700 orang dan mencederakan lebih 5,000 orang. Ratusan ribu orang warga awam di Lubnan menjadi pelarian kerana serangan terbaru daripada Israel.

Pembunuhan pemimpin kanan Hizbullah oleh rejim Zionis Israel dengan menggunakan serangan udara ke atas negara jirannya, menunjukkan bahawa rejim Zionis Israel sanggup melakukan keganasan melampau tanpa mempedulikan apa-apa undang-undang antarabangsa. Serangan dan pencerobohan tentera Israel ke atas Lubnan bukannya sesuatu yang baharu, kerana rejim Zionis Israel pernah beberapa kali melancarkan perang ke atas Lubnan, malah menduduki Lubnan Selatan dari tahun 1982 hingga 2000.

Hassan Nasrallah (1960-2024)

Kumpulan Hizbullah, yang merupakan salah sebuah parti politik utama dan berpengaruh di Lubnan, telah melakukan perjuangan untuk menentang rejim Zionis Israel sejak penubuhannya pada tahun 1982 semasa pendudukan Israel ke atas Lubnan Selatan. Hizbullah yang mendapat inspirasi daripada Revolusi Iran dan sokongan daripada kerajaan Republik Islam Iran, sentiasa bersolidariti dengan perjuangan pembebasan rakyat Palestin.

Sejak bulan Oktober 2023, Hizbullah bertempur dengan tentera Israel di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, Syria dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki oleh tentera Israel, untuk menentang keganasan rejim Zionis Israel yang sedang melakukan genosid di Gaza.

Keganasan rejim Zionis Israel tidak terhad dalam sempadannya dan wilayah Palestin, tetapi sedang menular ke negara lain di rantau Timur Tengah. Rejim Zionis Israel yang masih meneruskan jenayah genosid di Gaza itu sedang cuba meningkatkan lagi konflik peperangan di rantau Timur Tengah dengan melancarkan serangan yang lebih besar ke atas Lubnan. Pada 31 Julai 2024, rejim pengganas Israel membunuh Ismail Haniyeh, pemimpin utama Hamas, semasa beliau berada di negara Iran. 2 bulan kemudian, tentera pengganas Israel membunuh Hassan Nasrallah dan ramai penduduk Lubnan dengan bom yang dibekalkan oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS).

Pada 26 September 2024, kerajaan AS dan Perancis yang bimbang tentang konflik di rantau Timur Tengah akan merebak sehingga di luar kawalan telah memberi cadangan kepada Israel untuk mengadakan gencatan senjata sementara selama 21 hari, tetapi cadangan tersebut terus ditolak oleh kerajaan Israel.

Yang mengecewakan seluruh dunia lagi, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel yang begitu ghairah untuk membunuh rakyat Palestin, telah dibenarkan untuk naik ke atas podium dan berucap dalam Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 27 September 2024, ketika tentera pengganas di bawah arahannya masih menzalimi rakyat Palestin dan membunuh rakyat Lubnan. Lebih-lebih lagi, pendakwaraya daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang memohon waran tangkap terhadap Netanyahu dan anggota kabinetnya atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh mereka di Gaza. Kebanyakan diplomat yang hadir dalam Persidangan Agung PBB meninggalkan dewan persidangan sebagai tanda protes semasa Netanyahu menyampaikan ucapannya yang penuh dengan pembohongan dan propaganda perang. Beberapa jam selepas Netanyahu berucap di Bandar New York, dia telah mengarahkan serangan udara besar-besaran ke atas Beirut sehingga membunuh Hassan Nasrallah dan ramai lagi orang.

Netanyahu berucap di dalam dewan persidangan PBB yang hampir kosong. (foto: Bryan R Smith/AFP)

Genosid di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel telah meragut nyawa lebih 41,000 orang rakyat Palestin dalam tempoh setahun, antaranya lebih 11,000 orang kanak-kanak. Tentera pengganas Israel turut membunuh wanita, orang tua, doktor, petugas PBB dan wartawan. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada 10 Julai 2024, angka kematian sebenar di Gaza boleh mencecah 186,000 orang atau lebih. Lebih 1.9 juta orang penduduk di Gaza menjadi pelarian. Rejim Zionis Israel juga terus menceroboh wilayah Palestin di Tebing Barat, dan membunuh lebih 700 orang dalam setahun yang lalu.

Rejim pengganas Zionis Israel telah melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa dengan melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin dan bertindak agresif terhadap negara-negara lain di rantau Timur Tengah. Namun, nampaknya rejim pengganas Zionis Israel masih “kebal” daripada hukuman di bawah undang-undang antarabangsa, antara sebabnya rejim pengganas Zionis Israel masih mendapat sokongan kuat daripada kuasa imperialis AS dan sekutunya. Sokongan politik, kewangan dan pembekalan senjata yang berterusan daripada kuasa imperialis AS telah membolehkan rejim Zionis Israel untuk meneruskan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Ramai orang di seluruh dunia sudah sedar tentang realiti susunan dunia yang tidak adil ini dan bermobilisasi untuk mencabarnya. Di negara AS, wujudnya gerakan bersolidariti dengan Palestin yang diterajui oleh golongan anak muda. Kebanyakan kerajaan negara di dunia menyuarakan bantahan mereka terhadap genosid di Gaza. Namun, ini masih tidak mencukupi. Kita perlu memberi lebih banyak tekanan lagi, bukan sahaja kepada Israel, tetapi juga kuasa imperialis AS yang membenarkan kezaliman rejim Zionis Israel terus berlangsung. Kita perlu mendesak semua kerajaan di dunia, termasuk kerajaan Malaysia, untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dalam menegur dan memberi tekanan hebat kepada kerajaan AS supaya ia menghentikan segala sokongan kepada rejim pengganas Israel. Rejim pengganas Israel hanya dapat ditewaskan apabila ia diasingkan sepenuhnya daripada seluruh dunia, termasuk AS dan sekutunya.

Rantau Timur Tengah malah dunia kita tidak akan dapat mencapai keamanan yang berkekalan selagi rejim Zionis Israel yang disokong oleh kuasa imperialis AS itu masih bermaharajalela dan mengganas!

One thought on “Israel terus mengganas di Timur Tengah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *