oleh PSM Pulau Pinang
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang amat kecewa dengan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang yang memberhentikan bayaran bantuan kebajikan bulanan, seperti Bantuan Warga Emas (BWE) dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja, kepada beberapa orang yang tinggal di Ganapathy Senior Citizen Home, atas alasan yang tidak munasabah, iaitu mereka tinggal di pusat jagaan yang tidak berlesen.
Mereka yang tinggal di rumah jagaan Ganapathy Senior Citizen Home sekarang ini kebanyakannya merupakan pesakit terdampar tanpa waris yang dirujukkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Pulau Pinang untuk ditempatkan di situ. Mereka diluluskan bantuan kebajikan selepas mereka mula tinggal di Ganapathy Senior Citizen Home.
Ganapathy Senior Citizen Home telah menerima penempatan pesakit terdampar tanpa waris yang dirujukkan oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Pulau Pinang sejak 6 tahun yang lalu. Pengusaha Ganapathy Senior Citizen Home sedang dalam proses mendapatkan pendaftaran untuk pusat jagaan berkediaman ini.
Namun, baru-baru ini, kira-kira 10 orang yang tinggal di Ganapathy Senior Citizen Home mendapati bahawa bantuan kebajikan kepada mereka telah diberhentikan. Apabila bertanya dengan pihak JKM Negeri Pulau Pinang, mereka diberitahu bahawa mereka tidak akan mendapat bayaran selagi masih tinggal di Ganapathy Senior Citizen Home yang dikatakan tidak berlesen. Mereka juga disuruh keluar dari Ganapathy Senior Citizen Home.
Tindakan pihak JKM Negeri Pulau Pinang yang memberhentikan terus pembayaran bantuan kebajikan kepada orang yang layak dengan alasan mereka tinggal di sebuah pusat jagaan yang tidak berlesen ialah sesuatu yang tidak munasabah, tidak peka pada keadaan sebenar, dan tidak berperikemanusiaan.
Sekiranya golongan warga emas dan OKU yang sedang tinggal di Ganapathy Senior Citizen Home diusir keluar dari tempat sekarang, di manakah mereka akan tinggal? Adakah pihak JKM mempunyai pusat jagaan percuma untuk mereka? Adakah mereka dibiarkan untuk terus hidup di tepi jalan?
PSM Pulau Pinang berpandangan bahawa, sekiranya pihak JKM mendapati sebuah pusat jagaan tidak berdaftar, tindakan yang sewajarnya ialah memberi panduan yang sesuai kepada pihak pengelola pusat jagaan sosial untuk mendapatkan pendaftaran, bukannya terus mengusir keluar orang yang memerlukan perkhidmatan pusat jagaan.
Kami juga kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada masalah yang dihadapi oleh pusat-pusat jagaan berkediaman warga emas di Pulau Pinang. Pusat-pusat-pusat jagaan warga emas yang memberi perkhidmatan kepada golongan termiskin memerlukan sokongan institusi daripada kerajaan supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang sesuai dan bermutu kepada semua golongan warga emas yang memerlukannya. Adalah tidak bermakna bagi Pulau Pinang menggelar dirinya sebagai “Bandar Mesra Usia” (Age Friendly City) sekiranya masalah yang dihadapi oleh pusat jagaan berkediaman warga emas tidak diberi perhatian.
PSM Pulau Pinang menggesa pada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarayat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memulihkan segera bayaran bantuan kebajikan kepada mereka yang diberhentikan bayaran atas alasan mereka tinggal di pusat jagaan yang tidak berlesen.
Berkenaan isu pendaftaran Ganapathy Senior Citizen Home dan pusat-pusat jagaan lain yang serupa, kami meminta pada pihak berwajib supaya membantu dalam melicinkan proses pendaftaran pusat-pusat jagaan ini supaya mereka dapat terus memberi perkhidmatan penempatan dan penjagaan kepada golongan yang memerlukannya.