oleh S. Arutchelvan
Pada 25 September 2024, saya menemani 5 orang warga emas ke pejabat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Menara Naza TTDI, Shah Alam, Selangor, untuk menerima kunci bagi unit rumah pangsa di Pangsapuri Taman Harmoni, Cheras.
Mereka ini membeli rumah kos rendah di sebuah projek yang dikenali sebagai Taman Sri Jaya, Batu 9, Cheras, pada pertengahan tahun 1989. Projek itu dibangunkan oleh Kausar Corporation Sdn. Bhd. dan dimiliki oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), sebuah badan milik Kerajaan Negeri Selangor. Keluarga-keluarga pembeli rumah yang kebanyakannya daripada golongan B40 ini membayar deposit sebanyak RM6,000, yuran guaman sebanyak RM200 kepada peguam Kausar Corporation, cukai tanah kira-kira RM127 dan perbelanjaan pendawaian sekitar RM264. Mereka menandatangani perjanjian jual beli (SNP) dan rumah-rumah tersebut sepatutnya siap dibina pada 30 Jun 1991.
Akan tetapi, hanya 33 tahun kemudian, 5 daripada 7 buah keluarga menerima kunci rumah pangsa kos rendah di Taman Harmoni yang merupakan alternatif. Ia diberikan secara percuma, di samping semua bayaran yang dibayar oleh mereka sebelum ini, seperti yuran guaman, cukai tanah dan sebagainya, telah dikembalikan kepada mereka.
Sekarang orang selalu bertanya pada saya, bagaimana PSM melakukannya? Jawapan selalunya tidak mudah. Ia melibatkan usaha yang gigih, kerja yang keras dan wujudnya jawatankuasa rakyat yang bermotivasi untuk memperjuangkan hak mereka.
Walau apapun, sentiasa adanya kegembiraan dalam melihat cahaya di hujung terowong dan wajah kejayaan daripada muka orang yang terlibat.
Izinkan saya mencatatkan secara ringkas cerita yang menakjubkan ini.
Pada tahun 2007, 17 tahun selepas membeli rumah, seorang anak muda yang bernama Muruga datang bersama bapanya Subramaniam untuk berjumpa saya. Mereka menunjukkan SNP kepada saya dan memberitahu saya tentang projek perumahan yang terbengkalai itu. Kami kemudiannya mengunjungi tapak projek, dan memang betul kawasan itu hanya semak samun. Kami ternampak bangunan lain dalam projek yang sama yang kononnya untuk memenuhi cita rasa pembeli yang lebih kaya telah pun dibina dan sebahagiannya sudah diduduki orang. Kami diberitahu tentang bagaimana pemaju membina semua harta tanah yang berkeuntungan terlebih dahulu dan kemudian pada akhirnya, jika mereka mempunyai wang dan keinginan, mereka baru akan meneruskan untuk membina unit-unit rumah kos rendah. Amalan sebegini telah berubah sekarang di Selangor di mana pemaju dikenakan syarat bahawa mereka perlu membina unit kos rendah terlebih dahulu sebelum membina rumah-rumah lain.
Pasukan PSM Kajang memberitahu pada beberapa orang yang bersama kami untuk menggantungkan sepanduk di tapak projek terbengkalai dan memanggil satu mesyuarat sebulan kemudian di tapak yang sama supaya boleh membentuk sebuah jawatankuasa untuk memulakan satu lagi perjuangan.
Apabila kami pergi ke tapak itu sebulan kemudian selepas menggantungkan sepanduk, terdapat hanya 7 orang pembeli rumah yang hadir. Yang lain mungkin sudah pun dibayar pampasan atau mereka tidak pernah membeli rumah. Jadi, selepas mendapatkan komitmen mereka, kami membentuk sebuah jawatankuasa dan memulakan kerja.
7 orang berkenaan berkata bahawa projek ini sepatutnya membina 40 unit rumah kos rendah. Apabila menyemak dokumen-dokumen yang lain, kami mendapat maklumat bahawa projek ini adalah untuk membina sejumlah 407 unit rumah kos rendah, rumah kos sederhana dan rumah kedai di Taman Sri Jaya, Batu 9, di atas lot PT14689-14722 dan PT10224-10228.
Protes di Kementerian Perumahan
Kami memulakan perjalanan pwerjuangan bersama 7 buah keluarga ini. Pada 4 Oktober 2007, kami mengadakan aksi protes kami yang pertama dan mengadu kepada Kementerian Perumahan. Kementerian dengan cepatnya menuding jari kepada Kerajaan Negeri Selangor dan berkata bahawa mereka akan mengaturkan satu mesyuarat dalam tempoh 2 minggu. Namun, 2 minggu itu menjadi setahun kemudian. Kami mendapat beberapa petunjuk bahawa pihak pemaju itu berkaitan dengan UMNO dan dilindungi dengan baik.
Pada tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor jatuh dan digantikan oleh Pakatan Rakyat. Jadi, pada bulan Oktober tahun itu, kami membawa isu ini kepada perhatian Ahli EXCO yang bertanggungjawab ke atas masalah projek terbengkalai, iaitu Saari Sungib, yang merupakan pengerusi kepada pasukan petugas mengenai projek-projek terbengkalai di Selangor. Saari juga seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa gerakan Reformasi dan beliau bersimpati dengan rayuan kami.
Saari Sungib memanggil satu mesyuarat, dan menjanjikan 3 tindakan. Yang pertama, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan melantik satu kontraktor baharu untuk menyempurnakan pembinaan rumah gantian yang merupakan rumah pangsa di tempat sama dengan harga seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli asal yang ditandatangani oleh pembeli pada tahun 1989. Yang kedua, pasukan petugas akan melawat tapak pembinaan untuk berbincang dengan kontraktor baharu yang membina pangsapuri tersebut. Yang ketiga, beliau berjanji bahawa mereka akan menuntut ganti rugi dan pampasan daripada Kausar Corporation Sdn Bhd dan PNSB kerana pemaju gagal membina rumah-rumah.
Pada 24 November 2008, Saari Sungib melawat tapak dan memberitahu kami bahawa Kerajaan Negeri telah berbincang dengan kontraktor untuk membina rumah. Walaupun ini telah membawa harapan kepada pembeli-pembeli rumah, setiap kali pasukan kami mengunjungi tapak itu, nampaknya tiada sebarang perkembangan sementara mendapatkan mesyuarat susulan dan maklum balas daripada EXCO Kerajaan Negeri mula menjadi semakin susah.
Pada bulan Mei 2010, setahun setengah kemudian, Saari akhirnya memberitahu kami bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat memulihkan projek pembinaan pangsapuri di tapak yang sama kerana masalah teknikal. Kami diberitahu bahawa tanah di situ tidak sesuai untuk dibina bangunan di atasnya. Kemarahan kami hanya dapat diredakan apabila mereka berjanji bahawa PNSB mempunyai satu cadangan baharu dalam bentuk rumah gantian.
Kemudiannya pada 21 Jun 2011, PSM bersama dengan jawatankuasa berjumpa dengan Iskandar Abdul Samad, Ahli EXCO Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas perumahan, dan menerangkan isu ini kepadanya. Beliau berjanji untuk memanggil satu mesyuarat susulan tetapi ia tidak berlaku. Pada 7 September 2011, kami membuat aduan di pejabat Lembaga Perumahan Selangor kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan isu ini. Dr. Nasir Hashim, Pengerusi Nasional PSM pada masa itu, juga membangkitkan isu ini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semasa beliau menjadi ADUN di Selangor.
Pada tahu 2012, bermula dari bulan Februari, kami mula memberi tekanan untuk berjumpa dengan Menteri Besar supaya menyelesaikan isu ini. Menteri Besar Selangor pada masa itu ialah Khalid Ibrahim. Selepas beberapa bulan cuba mendapatkan janji temu melalui setiausahanya, akhirnya kami dapat berjumpa dengan Menteri Besar pada 1 Jun 2012. Menteri Besar Selangor pada masa itu mengarahkan PNSB untuk membantu dalam menyelesaikan masalah dan mencari solusi.
Ini kemudiannya menggerakkan PNSB untuk mengadakan satu mesyuarat dengan kami pada 11 Oktober 2013. PNSB memberi komitmen dalam mesyuarat itu untuk memulangkan wang yang dibayar kepada pemaju tetapi tidak bersetuju dengan perkara-perkara lain seperti pampasan atau ganti rugi atau rumah gantian. Kami tidak bersetuju dengan ini. Kami menuntut rumah alternatif kerana ia ialah janji asal yang dibuat kepada pembeli-pembeli rumah.
Kemudiannya berlaku peristiwa “Langkah Kajang”. Azmin Ali menjadi Menteri Besar baharu dan Wan Azizah menjadi ADUN di kawasan DUN Kajang di mana projek ini terletak. Kami menghantar surat kepada Wan Azizah untuk memanggil satu mesyuarat supaya membincangkan isu ini. Kami juga menyerahkan satu surat terbuka kepada Menteri Besar Selangor baharu pada masa itu, Azmin Ali, pada 28 Oktober 2014.
Pada 7 Januari 2015, Lembaga Perumahan Selangor menawarkan jumlah wang yang lebih banyak dan berkata bahawa setiap pembeli rumah akan diberi wang ganjaran sebanyak RM2,500 seorang. Tawaran ini sekali lagi tidak memenuhi tuntutan kami, iaitu rumah ganti rumah.
Sinar cahaya baharu di penghujung terowong
Akhirnya, sinar cahaya baharu muncul pada 18 November 2016, apabila Encik Yunus daripada PNSB mencadangkan dua konsensus utama. Yang pertama, satu perumahan alternatif dicadangkan di Taman Harmoni, berdekatan dengan The Mines. Yang kedua, pembayaran balik wang akan termasuk wang deposit, yuran guaman dan sebarang bayaran yang dibuat dahulu semasa dan selepas pembelian rumah. Beliau berkata jika kami bersetuju, Lembaga Pengarah PNSB akan berbincang dan memutuskannya pada bulan Disember 2016.
Kami bersetuju dengan tawaran ini dan hanya sehingga 2 Ogos 2017, satu lawatan ke rumah alternatif di Taman Harmoni diadakan bersama 7 orang pembeli rumah dan wakil PSM. Lawatan tersebut membuahkan hasil dan pembeli-pembeli rumah bercakap tentang beberapa kerja pembaikan yang dipersetujui oleh PNSB untuk melakukannya.
Semasa semua dokumen pemindahan harta sedang diproses, kami mendapat berita bahawa salah seorang daripada 7 orang pembeli rumah itu tidak boleh ditawarkan rumah alternatif kerana mereka mendakwa bahawa dia telah menerima wang pampasan sebelum ini. Ini dipertikaikan oleh pembeli rumah tersebut. Sementara kami cuba menyelesaikan masalah ini, kami mahu rumah untuk 6 orang yang lain diselesaikan dahulu.
Pada 4 Julai 2018, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor meluluskan cadangan untuk menawarkan rumah gantian kepada 6 daripada 7 orang pembeli rumah. Surat tawaran kepada 6 orang pembeli rumah itu dikeluarkan oleh PNSB pada 22 November 2018. Selepas membaca surat tawaran secara terperinci dan mendapatkan penjelasan, kami menghantar surat penerimaan kepada pejabat PNSB pada 7 Februari 2019.
Pandemik COVID-19 telah menangguhkan perkara ini untuk 2 tahun lagi. Selepas itu, dalam tempoh 2 tahun yang lalu, kebanyakan kerja berkaitan dengan pejabat peguam dan syarikat serta beberapa pembayaran ke belakang yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah.
Akhirnya pada 25 September 2024, 5 daripada 7 buah keluarga diserahkan kunci untuk rumah alternatif mereka. Sebuah lagi keluarga perlu menyelesaikan isu waris terdekat mereka. Anak muda yang bernama Muruga itu sekarang sudah menjadi ahli PSM, dan bapanya telah meninggal dunia pada tahun lalu. Keluarga-keluarga ini menyatakan kegembiraan mereka kerana usaha mereka tidak sia-sia. Mereka mengucapkan terima kasih kepada Selvam, Sevan dan saya atas segala usaha selama ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Md Yunus Iskandar dan Puan Noraini daripada PNSB yang turut bekerja sangat rajin untuk menyelesaikan isu ini. Begitu juga dengan firma guaman Mak Farid.
Walaupun keluarga-keluarga ini mendapat pulangan mereka pada usia senja, memperoleh harta tanah bukannya satu tugas yang mudah di Lembah Klang. Beberapa minggu yang lalu, seorang anak muda mengunjungi saya dan hendak mengetahui tentang perjuangan kami. Apabila saya memberi penerangan dan menunjukkan fail-fail kepadanya… ini adalah perjuangan 25 tahun, ini 20 tahun, ini pula 30 tahun…, dia terpegun. Dia bertanya bagaimana PSM terus melakukan ini walaupun terdapat begitu banyak rintangan dan tidak berkuasa. Saya memberikan senyuman seperti biasa dan menepuk belakangnya. Tiadanya jalan pintas untuk kemenangan yang sewajar, dan di sebalik setiap kish kejayaan, terdapat banyaknya perjuangan dan kerja keras. Kita harus terus berjuang. Kita akan menang.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).