oleh Karthiges Rajamanickam
Penyelaras Gabungan Penternak Nasional Marhaen, Vijayagandi dan isterinya Rajeswary telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis daripada IPD Putrajaya pada 14 Ogos 2024, dan telefon bimbitnya dirampas polis. Siasatan ini adalah berkaitan dengan penyerahan memorandum oleh Jaringan Penternak Marhaen di Kementerian Pertanian pada 25 April 2024 yang lalu. Walaupun pihak polis sudahpun menyiasat dan mengambil keterangan daripada beberapa orang aktivis termasuk Vijayagandi berkenaan perhimpunan tersebut pada bulan Mei yang lalu, pihak polis masih berdegil mahu memanggil Vijayagandi dan isterinya untuk diambil keterangan rakaman percakapan.
Pada 25 April 2024, Gabungan Penternak Marhaen bersama 150 orang penternak dari seluruh negara menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu. Memorandum ini diserahkan berikutan tindakan Sime Darby Plantation yang hendak mengusir keluar secara paksa semua penternak dari ladang mereka. Tujuan memorandum ini adalah untuk meminta campur tangan Kementerian supata membawa Sime Darby ke meja mesyuarat dan menyelesaikan isu-isu berbangkit. Kementerian Pertanian kemudiannya telah mengadakan mesyuarat susulan dengan Gabungan Penternak Marhaen pada 10 Julai 2024 yang dihadiri bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mazlan bin Othman, Pengarah Jabatan Veterinar dari semua negeri dan wakil penternak daripada Gabungan Marhaen Nasional. Jadi, sudah wujudnya satu usaha yang diketuai oleh pihak kerajaan untuk mencari jalan penyelesian kepada masalah yang dihadapi para penternak.
Namun, pihak polis masih memanggil aktivis Marhaen, iaitu Gandi, Sugu, Dr Kumar dan Arul, untuk memberi keterangan berkaitan program penyerahan memorandum pada 28 April 2024 yang lalu dan semua aktivis telah pun memberi keterangan masing-masing. Malangnya, Rajeswary (isteri Vijayagandi) dipanggil polis pula pada 27 Julai 2024, iaitu tiga bulan selepas itu, untuk turut diambil keterangan. Walaupun Vijayagandi sudah memaklum bahawa isterinya tidak terlibat langsung dalam program penyerahan memorandum tersebut, pihak polis masih mendesak Rajes untuk diambil keterangan. Inspektor Atikah memberitahu bahawa keterangan perlu dirakamkan mengenai laman facebook Jaringan Penternak Marhaen dan bukannya mengenai penyerahan memorandum. Selepas peguam pihak penternak, Shashi Devan, menghantar surat kepada IPD Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan kerana Rajeswary langsung tidak terlibat dalam perhimpunan atau pengendalian laman facebook, pihak polis memberi maklum balas rasmi melalui ASP Nur Azam Shah bahawa mereka perlu menyiasat Vijayagandi dan Rajes di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada 14 Ogos 2024, Vijayagandi dan Rajes sudah memberi kenyataan kepada polis di IPD Putrajaya dan telefon Vijayagandi dirampas. Ini amat jelas merupakan satu taktik kotor dan zalim yang sering digunakan pada zaman sebelum ini dan berterusan sehingga kini.
Mengapakah pihak polis menggunakan taktik kotor dan berlidah dua dalam mengintimidasi dan mengheret ahli keluarga aktivis yang memperjuangan hak rakyat? Mengapakah taktik mengheret dan menakutkan ahli keluarga aktivis masih digunakan sepertimana yang biasa dilakukan oleh diktator pemerintahan terdahulu? Mana perginya laungan Reformasi oleh Kerajaan Madani kita untuk memperbaiki kepincangan sistem kepolisan negara. Amat jelas, PMX Anwar Ibrahim tidak mahu melakukan perubahan yang dilaungkannya. Persoalannya sama ada dia tidak mahu atau tidak mampu?
Apa pun jawapannya, mangsa hanyalah rakyat biasa yang mahukan reformasi yang dijanjikan. Gabungan Marhaen menggesa pihak polis supaya menghentikan segera tindakan intimidasi ini dan biarkan proses perbincangan antara Jaringan Penternak dan kerajaan berjalan dengan lancar untuk mencari penyelesaian yang sewajar kepada tuntutan mereka.
==========
Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Nasional Gabungan Marhaen.