(gambar arkib)

oleh Suresh Balasubramaniam

Hari ini, 9 Ogos, merupakan hari yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “Hari Antarabangsa Orang Asli/Asal Sedunia” untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan melindungi hak Orang Asli/Asal (OA) Sedunia. Tarikh 9 Ogos dipilih selari dengan hari mesyuarat pertama pada tahun 1982 oleh Kumpulan Kerja PBB mengenai Populasi OA. Tema sambutan tahun ini ialah “Melindungi Hak OA untuk Hidup Dalam Pengasingan dan Hubungan Awal Secara Sukarela”.

OA merupakan pelindung hutan semula jadi di dunia, di mana wilayah adat OA merangkumi 28% daripada muka bumi dan 11% daripadanya ialah hutan. Namun, wilayah adat dan hutan ini semakin digondol oleh ketamakan sistem ekonomi kapitalis dunia, dibantu oleh golongan elit politik yang tidak progresif langsung.

Malaysia tidak ketinggalan dalam isu sebegini. Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak merupakan antara negeri di mana saban hari kita terdengar tentang konflik di mana masyarakat OA terpaksa bertarung untuk mempertahankan wilayah adat mereka. Kerajaan negeri yang berpegang dengan undang-undang pemilikan tanah melalui Sistem Torens yang kuno serta digunakan untuk menjaga kepentingan kapitalis nasional dan antarabangsa, dengan menganaktirikan OA di negeri sendiri.

Banyak penentangan oleh masyarakat Orang Asli terhadap penggondolan ini sedang berlaku, namun banyak OA juga tidak dapat berbuat demikian akibat kekangan kapasiti dan perpecahan dalam kalangan masyarakat OA sendiri. OA juga merupakan manusia, dan apabila corak pemikiran zaman moden sekarang cuba diterapkan ke dalam minda mereka, perpecahan berlaku mengikut aliran hubungan-awal dengan masyarakat OA.

Sempena hari antarabangsa ini, kami daripada PSM berharap masyarakat OA dan semua aktivis yang sedang bekerja di lapangan bersama masyarakat OA, dapat mengambil sedikit masa untuk mula merangka satu dasar perlindungan wilayah adat OA yang lebih holistik. Melawan pencerobohan terhadap wilayah adat OA masih perlu diteruskan, tetapi apakah kerja jangka masa panjang untuk memperjuangkan isu ini? Bagaimana perubahan boleh dibawa ke atas undang-undang tanah setiap negeri yang berasaskan Sistem Torens yang lapuk? Bagaimanakah perubahan ini boleh diangkat dari bawah ke atas oleh masyarakat OA sendiri, dan bukannya oleh segolongan elit yang mengelar diri mereka sebagai pelindung masyarakat OA.

Kebanyakan kerajaan negeri yang dinyatakan di atas adalah Kerajaan Perpaduan (kecuali kerajaan Kelantan) yang mempunyai komitmen berkonsep Madani. Kerajaan negeri ini harus bertindak segera melaksanakan tanggungjawab fidusiarinya terhadap OA dengan memetakan semua tanah wilayah adat OA dan mengazetkannya sebagai rizab Orang Asli. Ini boleh mengurangkan isu-isu wilayah adat OA dilupuskan kepada syarikat perlombongan, pertanian dan pembalakan.

Kepada kawan-kawan daripada masyarakat OA, selamat menyambut Hari Antarabangsa OA Sedunia. Kami daripada PSM sangat menghargai peluang dapat bersama dalam mengharungi perjuangan anda.

==========

Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *